Saya tak patut ambil tindakan terhadap Anwar, kata Dr M

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau membuat keputusan salah dengan “mematuhi undang-undang sepenuhnya” dalam pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalannya 20 tahun lalu.

Dalam wawancara bersama Sin Chew Daily, bekas perdana menteri itu berkata, jika boleh menterbalikkan masa, beliau tidak akan memecat Anwar.

“Keputusan salah ialah mematuhi undang-undang sepenuhnya, saya fikir saya tak patut ambil tindakan terhadap Anwar,” katanya ketika ditanya apa keputusan salah yang pernah dilakukannya sepanjang 22 tahun memimpin negara.

“Dari segi politik, saya tidak akan berbuat demikian kerana apabila saya menjadi perdana menteri, saya pernah berjanji dengan diri tidak akan melakukan perkara yang akan menyebabkan orang benci saya.”

Bagaimanapun, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau tiada pilihan kerana polis menyerahkan semua bukti kepadanya pada 1998.

Dr Mahathir memecat Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada September 1998, manakala Majlis Tertinggi Umno pula menamatkan keahlian Anwar dalam parti itu.
Anwar kemudiannya didakwa menyalahgunakan kuasa dan meliwat serta dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun dan 9 tahun. Tetapi, Mahkamah Persekutuan pada 2004 mengetepikan sabitan meliwatnya dan Anwar kemudiannya dibebaskan.

Dr Mahathir berkata, pemecatan Anwar sebagai timbalan presiden Umno ialah keputusan kolektif Majlis Tertinggi Umno.

“Demi perkara ini, kami mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno sehingga 4 pagi. Semua orang bersuara, mereka sepakat tidak mahu beliau sebagai timbalan presiden Umno dan tidak mahu beliau berada dalam parti. Ini adalah keputusan Majlis Tertinggi Umno, bukan keputusan saya.

“Saya mematuhi prosedur ditetapkan, bawa perkara itu ke Majlis Tertinggi untuk dibincangkan. Semua ahli Majlis Tertinggi hadir, hampir 40 orang, Anwar pun hadir.

“Saya yang mula bercakap, kemudian Anwar…setiap orang mempunyai peluang bersuara 2 kali. Kali ke-2 saya mahu Anwar bercakap, beliau menolak. Masa itu saya rasa beliau sudah keluar, tetapi mesyuarat diteruskan.”

Pengerusi PPBM itu turut menafikan beliau ialah seorang diktator.

“Saya sebenarnya boleh menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk tahan dia, tetapi sebelum dia didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara, seluruh proses perbicaraan selama 9 bulan, jika saya ialah diktator, saya boleh terus masukkan dia (ke penjara).

“Saya sangat tidak puas hati dengan polis. Saya tanya mereka kenapa tidak biar dia dibicarakan? Pada mulanya mereka tidak beritahu, kemudian cakap sudah beri dia mata lebam, tetapi saya bertegas mesti ke mahkamah.”

Anwar yang juga ketua umum PKR berusia 70 tahun, sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh, selepas Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan sabitan berhubung kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Anwar yang akan dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh pada 8 Jun ini, tidak dibenarkan bertanding pilihan raya atau memegang jawatan penting dalam kerajaan selama 5 tahun selepas dibebaskan, kecuali beliau mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak akan kembali ke Umno, walaupun jika Datuk Seri Najib Razak berundur dan tidak akan membentuk kerajaan campuran atau kerjasama politik dengan BN walaupun tanpa Najib.

Beliau berharap ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Najib boleh menyokong PH pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga yakin PPBM dapat membantu PH meraih lebih banyak undi Melayu untuk menawan Putrajaya kali ini.

Pemimpin yang berusia 92 tahun itu amat mementingkan kesihatan diri dan berjanji tidak akan tumbang sebelum pilihan raya umum ke-14.

















Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan