Perkembangan mutakhir di Terengganu, Kelantan mengembirakan, kata Rafizi

Oleh AKMAL HAZIQ

Dalam ceramahnya di Kemaman baru-baru ini Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan bahawa menurut kajian terbaharu yang dibuat pihaknya mendapati tahap sokongan orang Melayu terhadap Umno dan Pas untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti merosot secara mendadak.

Ia kata beliau, merupakan sesuatu yang menggalakkan berbanding kajian yang dibuat setahun yang lepas.

Menerusi perkembangan ini tambah Rafizi, tahap sokongan orang Melayu di Terengganu dan Kelantan terhadap Umno dan Pas didapati telah seiring dengan tahap sokongan orang Melayu di negeri-negeri pantai barat, khususnya di Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Dan ia sekali gus katanya, merupakan suatu perkembangan yang sangat positif buat Pakatan Harapan (PH), bukan sahaja buat PH di Terengganu dan Kelantan, bahkan untuk PH di seluruh negara menjelang PRU14 nanti.

Setahun yang lalu, Umno dan Pas didapati begitu kuat di kedua-dua negeri tersebut, justeru sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru dalam PRU14 nanti, undi Melayu akan pecah tiga dan peluang PH untuk menang adalah tipis, jelas Rafizi.

Pada waktu kajian dibuat setahun yang lalu katanya, melalui penggilan telefon kepada pengundi Melayu di kedua-dua negeri tersebut, berhubung siapakah yang mereka undi jika berlaku pertandingan tiga penjuru, 40 peratus berkata mereka akan mengundi Umno, 30 peratus akan mengundi Pas dan hanya 20 peratus akan mengundi PH.

Dalam kajian terbaharu selepas Tahun Baharu Cina kata beliau, mendapati tahap sokongan kepada Umno telah jatuh kepada 30 peratus, Pas lebih 20 peratus dan sokongan kepada PH meningkat naik.

Justeru kata Rafizi, PH mempunyai harapan yang sangat besar pada PRU14 ini, terutama apabila terdapatnya sokongan padu daripada orang bukan Melayu terutama orang Cina terhadap PH.






Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan