Oleh Ena Suzin
Isu hangat baru-baru ini tidak semudah seperti “berhentilah bersungut, duduki saja peperiksaan Bahasa Melayu (BM)”.
Saya fikir mereka yang beranggapan sedemikian harus memahami kisah keseluruhannya.
Kenapa isu ini dihebohkan sedemikian besar?
Disebabkan semua orang berhak menyuarakan pendiriannya sendiri, mahu
tidak mahu, mereka telah menyederhanakan isu sebagai "anak-anak diplomat
yang berasa berhak dilayani, sehingga mencabuli martabat bahasa
kebangsaan”.
Bukankah penyelesaiannya sederhana? Ia sekadar memudahkan pengambilan
peperiksaan mata pelajaran BM di institusi pengajian perubatan, dan
keizinan mengambilnya sebagai subjek tunggal Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) untuk calon aliran selain SPM?
Saya juga dibesarkan di luar negara tetapi kembali ke tanah air untuk
pengajian perubatan. Tiada kelulusan subjek BM di peringkat SPM.
Ia tidak menjadi isu dulu malah laman web Kementerian Kesihatan
Malaysia mensyaratkan kelayakan yang perlu ialah memiliki kredit BM atau
“kelulusan setaraf dengannya”.
Setelah tamat pengajian, saya ditemuduga. Tiba-tiba timbul peraturan
pada saat akhir, iaitu kelayakan-kelayakan lain tidak diterima kecuali
lulus BM di peringkat SPM.
Itu peristiwa dua tahun dahulu. Kami dalam kalangan kumpulan pertama
menjadi musykil. Syukurlah, kami dibenarkan meneruskan latihan terlebih
dulu, tetapi dengan syarat harus mendapatkan kredit BM kemudian, dalam
tempoh tertentu.
Jadi saya pun mendaftar untuk menduduki kertas BM di peringkat SPM
secepat mungkin. Bukan sedikit pengorbanan yang harus saya lalui.
Entah beberapa jumlah hari yang terpaksa mengabaikan makan tengah
hari (kerana tuntutan tugas berpanjangan di wad), kemudian tiada masa
untuk makan malam walaupun sesuap (kerana perlu menghadiri kelas
pembelajaran BM selepas kerja).
Rela kelaparan daripada tangguh pengajian
Dalam kelas BM itu, saya tidak belajar bagaimana untuk menjelaskan
penyakit lelah kepada ibu bapa yang anaknya mengidap penyakit itu.
Juga tidak belajar bagaimana menerangkan pentingnya perubatan
antihipertensi kepada warga emas yang berasa diri mereka asimtomatik.
Sebaliknya, saya belajar mengikut sukatan peperiksaan kertas sekolah
menengah. Pada masa itu juga, saya menghafal setiap perkara yang mungkin
diuji, serta menyimpan dalam ingatan setiap simpulan bahasa yang tidak
pernah saya dengar dalam percakapan seharian.
Saya masih tertanya-tanya, kenapa pihak yang bertanggungjawab tidak
mensyaratkan pengambilan peperiksaan mata pelajaran BM sewaktu saya
masih di institusi pengajian perubatan?
Walau bagaimanapun, setelah melalui pengalaman itu, saya masih tetap
lebih rela bersusah-payah membiarkan perut kosong dan menanggung
kelaparan daripada menangguhkan kerjaya perubatan selama satu setengah
tahun, seperti dicadangkan sesetengah pihak.
Bagi doktor yang baru mula menjalani kerjayanya, masa sebegitu terlalu lama untuk dibazirkan.
Saya yakin para doktor yang akan datang tidak sekali-kali memikir untuk menentang syarat mewajibkan lulus mata pelajaran BM.
Isunya ialah, kenapa tiba-tiba disyaratkan menduduki SPM bersama dengan lima mata pelajaran teras, serta lulus Sejarah?
Itu saja isu yang baru. Bukan soal tindakan keterlaluan beberapa anak diplomat. Perkara itu tidak wujud dua tahun dahulu.
Rasionalkah tuntutan bahawa doktor perubatan yang berijazah kembali
ke bangku sekolah demi mempelajari enam mata pelajaran sekolah menengah?
Rasa tidak puas hati mereka seharusnya boleh diterima.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan