Membangun jiwa, membina semula negara

Oleh USTAZ HJ. AHMAD AWANG

Bersempena dengan kedatangan Ramadan Al Mubarak yang penuh dengan keberkatan ini, saya ingin mengucapkan ‘Ramadan Kareem’ kepada semua umat Islam.

Ramadan mempunyai kemuliaan yang hebat. Di bulan ini, Allah SWT telah menetapkan kurikulum khusus buat kita bagi mendidik jiwa manusia. Ramadan membangun jiwa kita untuk bersedia bersusah payah, berlapar dahaga di siang hari, dan bersengkang mata di malam hari _berqiamullail_ dan membaca Al-Quran demi pengabdian yang tulus kepada Allah SWT.

Ramadan juga membangun jiwa umat Islam agar sentiasa peduli dengan kesengsaraan dan rintihan manusia lain. Ramadan melahirkan jiwa yang sentiasa cakna sedia berjuang untuk kesejahteraan semua manusia.

Ramadan membina jiwa yang hidup, sentiasa berusaha melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Pada Ramadan ini, rakyat Malaysia telah membuktikan keberanian dan tekad melakukan perubahan bersejarah dalam PRU14 pada 9hb Mei 2018 bersamaan 23 Syaaban 1439H, yang menyaksikan mereka menyerahkan mandat pemerintahan negara kepada Pakatan Harapan.

Saya mengucapkan tahniah kepada semua jentera pilihan raya parti yang sanggup berkorban masa, wang ringgit dan tenaga bagi melakar kejayaan ini. Juga syabas kepada rakyat Malaysia khususnya para pengundi yang telah bersama Pakatan Harapan untuk membina semula negara.

Peralihan kuasa di Putrajaya daripada BN kepada Pakatan Harapan juga di negeri-negeri berjalan lancar hasil kematangan kita dalam berpolitik.

Di kesempatan ini, saya juga ingin merafak sembah menjunjung kasih kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu kerana memainkan peranan penting memastikan pertukaran kerajaan berjalan dengan tenang dan lancar seperti mana yang dihasrat oleh rakyat.

Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan inayah-Nya ke atas DYMM Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Sekarang adalah masanya untuk kita menumpukan usaha membina semula negara. Allah SWT telah mentakdirkan usaha ini bermula dengan kedatangan Ramadan yang penuh berkat. Bulan yang padanya diturunkan Al-Quran dan bulan kemenangan tentera Islam dalam perang Badar.

Sempena bulan yang penuh berkat ini dan semangat Badar, marilah kita menunjukkan solidariti bersama rakyat Palestin yang sudah lebih enam dekad dihalau keluar dari bumi tumpah darah mereka untuk kembali ke Palestin.

Kita juga membantah tindakan biadap Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump yang secara terang-terangan menyalahi Resolusi PBB apabila memindahkan kedutaan Amerika Syarikat daripada Tel Aviv ke Baitul Maqdis pada 15 Mei lalu.

Maka itu, marilah kita sama-sama mengambil peluang dengan kehadiran Ramadan ini dengan membangun jiwa yang hebat untuk mengisi kemenangan yang Allah SWT kurniakan ini.

Membina semula negara dimulai dengan usaha membangun jiwa-jiwa yang subur dengan pengabdian yang tulus kepada Allah SWT.

*Penulis adalah Penasihat Umum AMANAH.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan