Oleh Rafizi Ramli
Sahabat-sahabat
Hari ini genap seminggu dari tarikh bersejarah kemenangan PRU14.
Saya mengambil masa sehingga kini untuk menulis, kerana banyak hal-hal yang lebih mendesak untuk menguruskan kemenangan itu.
Saya kini ada lebih masa bila hal-hal itu semakin diselesaikan, lalu
bolehlah saya mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan Invoke
dan rakyat Malaysia yang telah berkempen, menyumbang, mengikuti dan
menggalakkan perkembangan Invoke sehingga menjadi organisasi kempen
sukarela yang terbesar seumpamanya di Asia Tenggara.
ANGKA
Setakat 9 Mei 2018, Invoke mempunyai 40,949 sukarelawan berdaftar di
seluruh negara. Daripada jumlah ini, seramai 25,915 sukarelawan telah
menawarkan diri menjadi ejen kira undi (PACA) di seluruh negara.
Walaupun kami hanya menjejaki seramai 5,844 orang PACA yang menghantar
maklumat dokumen peribadi atas talian melalui sistem, saya yakin ada
ribuan lagi sukarelawan Invoke yang menghubungi terus calon-calon dan
menjadi PACA.
Usaha Invoke melatih beribu-ribu PACA sejak awal 2017 adalah tidak
sia-sia. Matlamat untuk meyakinkan pengundi supaya tidak patah hati
dengan kebimbangan penipuan pilihanraya apabila ramai PACA terlatih
diturunkan, nampaknya berkesan. Ramai juga yang turun mengundi
beramai-ramai.
Setakat minggu lepas, jumlah masa kempen (manhours) yang dicapai
sukarelawan Invoke telah mencecay 25,612 jam, sejak kali pertama kami
merekodkan jumlah masa kempen awal Mac 2017.
Pecahan jumlah masa kempen
yang dilakukan sukarelawan INVOKE: 7,861 jam latihan PACA; 7,689 jam
menjalankan “phone-bank” (menelefon pengundi atas pagar yang dikenal
pasti untuk memujuk mereka mengundi PH) dan 4,856 jam berkempen dari
rumah ke rumah untuk memujuk pengundi atas pagar mengundi PH.
Sejak November 2016, rakyat Malaysia telah menyumbang RM10.2 juta
kepada Invoke. Sebahagian besarnya melalui biayaramai (“crowdfunding’
sebanyak RM7.3 juta), tetapi kami juga menjual t-shirt dan buku-buku
bernilai RM1.0 juta. RM1.9 juta lagi diperolehi dari jualan tiket-tiket
ke majlis kutipan dana INVOKE.
Apabila dicampurkan dengan RM1.0 juta dari poket saya sendiri, Invoke
membelanjakan RM11.2 juta untuk membina kepakaran dan membiayai kempen
calon-calon PH di 44 kerusi parlimen dan 60 kerusi DUN di seluruh negara
sejak dua tahun lalu.
HASIL
Pakatan Harapan menang di 42 dari 44 kerusi parlimen yang dibantu
Invoke (sama ada bantuan kempen di peringkat parlimen, atau
sekurang-kurangnya di satu DUN dalam parlimen itu). Ini bersamaan kadar
kemenangan 95% yang tersangat tinggi dibandingkan dengan mana-mana
rekod.
Dua kerusi yang menerima bantuan kempen Invoke tetapi tidak
dimenangi adalah Padang Rengas (dimenangi Dato’ Seri Nazri Aziz) dan
Sembrong (dimenangi Dato’ Seri Hishamuddin Hussein).
Senarai kerusi-kerusi itu adalah:
PKR – 32 kerusi (Kangar, Alor Setar, Kuala Kedah, Merbok, Padang Serai,
Kulim Bandar Baru, Sungai Petani, Permatang Pauh, Bayan Baru, Balik
Pulau, Nibong Tebal, Sungai Siput, Gopeng, Tanjung Malim, Hulu Selangor,
Selayang, Pandan, Kapar, Kuala Langat, Lembah Pantai, Wangsa Maju,
Setiawangsa, Port Dickson, Tangga Batu, Segamat, Sekijang, Ledang, Batu
Pahat, Pasir Gudang, Johor Bahru, Kuantan and Indera Mahkota).
AMANAH – 7 kerusi (Pokok Sena, Parit Buntar, Lumut, Kuala Selangor, Shah Alam, Hulu Langat, Temerloh)
PPBM – 3 kerusi (Tambun, Muar, Simpang Renggam)
Ramalan keputusan PRU14 yang dibuat oleh Invoke juga tepat: seperti
diramalkan, PH membentuk kerajaan negeri di Kedah, Penang, Perak,
Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Ramalan bahawa PH akan
mendapat majoriti mudah sekitar 120 kerusi (termasuk kerusi Warisan)
juga tepat. Saya ingin merekodkan di sini bahawa Invoke adalah
satu-satunya organisasi yang meramalkan kemenangan PH dalam PRU14 secara
konsisten sejak Januari 2017.
PENGHARGAAN
Penghargaan paling besar tentunya kepada rakyat Malaysia yang memberi
kepercayaan yang saya dan pasukan saya perlukan untuk menjayakan
Invoke. Walaupun dicemuh dan tidak dipercayai rakan dan lawan, kami
terus cuba meyakinkan rakyat Malaysia sejak Januari 2017 lagi bahawa PH
tetap boleh menang kalau pun berlaku pertandingan tiga penjuru di
seluruh negara.
Kami mengambil masa sehingga setahun sebelum kami ada kumpulan
sukarelawan tegar di akar umbi yang yakin dengan kaedah kempen kami
(iaitu menelefon pengundi atas pagar dan berkempen dari rumah ke rumah).
Rakyat Malaysia selalunya penyegan, mereka malu untuk bersua muka
apatah lagi meluahkan kecenderungan mengundi kepada sukarelawan yang
tidak mereka kenali.
Tetapi ribuan sukarelawan Invoke memberanikan diri untuk tetap
menelefon pengundi atas pagar secara senyap-nyap dan mengetuk pintu,
untuk memujuk mereka mengundi PH secara berterusan selama 2 tahun.
Saya pernah ditanya kenapa saya tetap berkeras menjayakan kempen
melalui Invoke bila jelas sebahagian besar rakan politik dan rakyat
Malaysia tidak pun mempedulikan usaha kami.
Jawapan saya mudah: Saya ada keyakinan dengan bukti-bukti empirikal
yang dihasilkan melalui kaedah “big data analytics” dan model matematik
yang kami bangunkan. Saya juga ada keyakinan bahawa rakyat Malaysia
adalah bijaksana dan tahu menghargai usaha kami.
Kedua-dua keyakinan itu tidak menghampakan kami.
Kaedah menggunakan model matematik untuk meramalkan kecenderungan
mengundi setiap pengundi telah berjaya membantu kami meramalkan dengan
tepat kerusi mana yang wajar disasarkan.
Dalam kes Kelantan dan Terengganu, jelas bahawa pengundi atas pagar
memilih untuk mengundi secara taktikal menjelang minggu terakhir kempen:
mereka tahu mereka perlu mengundi PAS (bukannya PH di negeri-negeri
itu) untuk menewaskan BN kerana PAS adalah parti kedua terkuat di situ.
Mereka tahu jika diberikan undi kepada PH, PAS akan kalah semua kerusi
kerana kekuatan PH di tempat ketiga, lalu ada peralihan undi yang besar
kepada PAS di negeri-negeri itu kerana kebencian terhadap BN.
Begitu juga di negeri-negeri Pantai Barat, pengundi-pengundi atas
pagar (termasuk pengundi PAS) sudah ada maklumat yang tepat untuk
mengetahui parti mana yang paling kuat untuk menewaskan BN dalam
pertandingan 3 penjuru di tempat mereka; sebab itu berlaku pengundian
taktikal (terutamanya di kalangan Melayu) di seluruh negara.
Apabila pasukan analitik saya kembali dari cuti satu minggu hari
Khamis ini, kami akan menganalisa keputusan dengan lebih mendalam untuk
dibentangkan kepada rakyat bagaimana dan kenapa pengundi membuat pilihan
sedemikian dalam PRU14.
KE MANA BERDAGANG SELEPAS INI?
Saya sampai ke tempat yang paling cocok untuk saya sampaikan rasa
terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kejayaan bersejarah
ini.
Saya berharap ramai rakyat Malaysia di luar sana yang mendoakan
kesihatan dan kesejahteraan lebih kurang 100+ anak-anak muda
(kebanyakannya berumur 23 ke 27 tahun); yang mengambil risiko
meninggalkan kerja untuk menyertai Invoke sejak Ogos 2016 untuk
menjayakan #ProjekBuangNajib
Amanah saya yang terakhir ialah memastikan ada peralihan yang baik
untuk mereka: sekiranya mereka ingin kembali ke sektor industri asal
mereka; atau terus berkhidmat di Invoke untuk membangunkan lagi
pengetahuan dan kemahiran yang telah kami bangunkan selama ini.
Invoke akan beralih fokus kepada usaha-usaha lain yang sesuai dengan
niat kami dahulu: untuk memberi ruang dan menggalakkan semangat
sukarelawan rakyat Malaysia demi menyuburkan pengupayaan sosial, ekonomi
dan politik.
Dengan ini, saya, Rafizi Ramli, Sukarelawan Invoke #00001 menghantar nota Invoke PRU14 buat kali terakhir.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan