Sifat negatif pihak yang menang Sifat negatif pihak yang menang

Pada tahun 8 hijrah, berlaku peristiwa Pembukaan Kota Mekah. Peristiwa penting yang sangat dinantikan oleh penyokong Rasulullah yang berjumlah 10,000 orang.

Peperangan yang besar ini berjaya dielakkan dengan kerjasama Abu Sufyan (pembesar Mekah) atas nasihat Abbas bin Abdul Mutalib (pakcik Rasulullah).

Saad ibn Ubadah, berasal dari Madinah dari suku kaum Khazraj ditugaskan sebagai ketua yang memegang panji atau bendera Kaum Ansar (Madinah).

Barangkali, bertindak atas rasa semangat bercampur marah dengan kezaliman orang Mekah selama ini, Saad berkata, “Inilah hari perang. Inilah hari halalnya darah Quraisy. Inilah hari halalnya Kaabah”.

Kata-kata beliau ini sebenarnya tidak sesuai dengan rancangan Rasulullah untuk berdamai, mengampunkan dan mengambil kuasa secara aman.

Abu Sufyan pun mengadu kepada Rasulullah dan baginda merubah kata-kata itu kepada, “Inilah hari pengampunan. Inilah hari kebaikan untuk Quraisy”.

Kemudian Rasulullah mengambil panji daripada Saad dan menyerahkannya kepada anak Saad iaitu Qais, demi menunjukkan ketidaksesuaian kata-kata Saad ini.

Tentera Islam berarak masuk dan menawan Mekah tanpa berperang. Rasulullah memaafkan semua penduduk Mekah.

Pelajaran:

* Dalam apa apa kemenangan, akan ada ahli dan penyokong yang bertindak emosional atau menggunakan kata-kata yang tidak sesuai dengan ‘manifesto’ pihak yang menang.

* Perkara ini tidak patut dijadikan alasan menidakkan kesucian niat mereka. Kerana biasanya ia timbul hasil rasa ditekan, ditindas, dizalimi sejak sekian lama.

* Saad seorang sahabat Rasulullah yang penting. Beliaulah calon Khalifah yang pertama dalam peristiwa Saqifah Banu Saadah.

* Tindakan Rasulullah mengambil panji daripada Saad ialah untuk menunjukkan kepada Abu Sufyan dan orang Mekah bahawa kata-kata Saad tidak benar.

* Tetapi, demi menjaga perasaan Saad, Rasulullah tidak menyerahkan panji kepada orang lain, malah ia diberikan kepada anaknya sendiri. Kerana kejayaan dan kemuliaan anak ialah kejayaan dan kemuliaan ayah. Sangat jarang dijumpai keadaan seorang ayah yang hasad serta dengki kepada anaknya.

* Kalau kes seumpama ini kita jumpa dalam pihak yang menang (Pakatan Harapan, contohnya), maka ketahuilah bahawa ianya normal.

Dr Jefri Irwan Harris
Global Life Centre
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan