Cadangan Nama Peguam Negara : Order Lama Vs Order Baru



Oleh Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa

1. Cadangan Perdana Menteri bagi memenuhi keperluan pengurusan keadilan dalam negara ini menerima berbagai reaksi. Nama Tommy Thomas (TT) jadi perbualan.

2. Apa yang menarik dalam perbualan di media sosial ialah bagaimana cadangan ini membawa kepada satu persoalan lebih besar iaitu 'bersediakah kita masuk ke alam order baru yang diterokai oleh kerajaan PH?'

3. Order lama BN ditentukan oleh pemikiran Melayu vs bukan Melayu dalam membuat pilihan. Pemikiran ini banyak membantut peluang mendapat yang terbaik di kalangan rakyat Malaysia. Lebih buruk ialah order lama 'memperkakaskan' jawatan Peguam Negara untuk memenuhi kehendak 'menjaga PM' dari berbagai skandal antaranya 1MDB.

4. PH ialah order baru di mana asas pemilihan ialah proses undang-undang, merit serta kelayakan. Ini bertepatan dengan konsep Islam dalam menentukan perjawatan seseorang adalah di atas 'al Qawwi al Amin' iaitu Merit dan Berintegriti. Perbahasan ini berpandukan pada surah al Qasas: 26.

5. Memberikan keadilan mestilah tidak dihalang oleh prejudis kaum atau agama begitulah juga melantik mereka yang menjaga keadilan perlu dibuat tanpa prejudis kaum dan agama juga. Firman Allah dalam Al Maidah : 8,
'Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.'

6. Cadangan nama TT untuk calon Peguam Negara perlu diberi keadilan dan tidak boleh berhujah atas nama Melayu vs bukan Melayu. Sebahagian kita tidak memberi keadilan dengan mengambil alasan yang berat sebelah menyokong saki-baki pemikiran order lama BN yang terbukti 'memperkakaskan' instrumen penting negara untuk melindungi pihak berkepentingan.

7. Lebih buruk, sebahagian kita mengheret institusi raja untuk menyokong kehendak mereka yang masih berpaksikan daki order lama. Raja menjangkau sebarang perkiraan politik dan sebagai pelindung agama YDPA akan membuat keputusan berpandukan al Quran dan Sunnah berteraskan konsep al Qawwi al Amin dengan nasihat Perdana Menteri.

8. Sememangnya untuk order baru bertapak bukan mudah tetapi rakyat perlu yakin bahawa order baru datang untuk membina semula segala kerosakan yang dibuat oleh order lama BN, paling terbesar ialah mainan api perkauman dan agama sempit yang meruntuhkan fondasi negara.

9. Saya tiada masalah jika perbahasan soal calon atas merit dan integriti kerana ia menjangkau kaum dan agama. Tetapi saya tidak dapat menerima jika perbahasannya atas prejudis kaum dan agama dengan alasan-alasan yang boleh memudaratkan kesepaduan kaum dalam negara ini.

10. PH telah berjaya bergelut untuk jadi kerajaan Malaysia hari ini namun pergelutan order lama vs order baru, kini baru sahaja bermula.

Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Amanah
Ahli Parlimen PH Parit Buntar
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan