KETUA Umum PKR, Anwar Ibrahim mengakui Perdana Menteri Dr Mahathir
Mohamad seorang pemimpin yang hebat dan usaha perdana menteri itu untuk
menghapuskan rasuah sekarang tidak mampu dilakukannya, lapor akhbar
Sinar Harian hari ini.
"Dr Mahathir juga ditakdirkan (untuk menjadi Perdana Menteri kali
kedua). Beliau kerja keras dan dengan jelas untuk membawa negara kembali
ke landasan yang betul. Saya fikir beliau adalah sebagai pemimpin
hebat.
"Saya beritahu rakyat, ia adalah hikmah Allah untuk kita bersatu. Dr
Mahathir menjalankan tanggungjawabnya untuk menghapuskan rasuah secara
besar- besaran dengan menyingkirkan pegawai kerajaan yang terlibat dan
sebagainya. Saya rasa saya pun tidak mampu melakukan sepertinya," kata
bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Kenyataan itu dibuat selepas Anwar ditanya mengenai perasaannya
tentang Dr Mahathir yang dianggap sedang menyelamatkan Malaysia,
individu yang pernah memenjarakan beliau pada 1999.
Anwar menjelaskan yang beliau sudah lama memaafkan Dr Mahathir dan semua kemelut yang berlaku ada hikmah untuk rakyat.
"Sekiranya tidak memaafkannya, kita tidak akan mengiktiraf Pakatan
Harapan. Lihat rakan- rakan kami yang lain, DAP, Amanah dan PKR, mereka
sudah lama menantikan saya. Saya seorang yang mudah untuk memaafkan. Ini
adalah masa untuk bekerja sama," katanya lagi.
Anwar turut berkata meskipun tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan beliau akan membantu untuk membangunkan negara.
"Saya telah maklumkan pada Tun Mahathir dan umum bahawa saya memilih
untuk tidak menyertai Kabinet atau pun mana-mana jabatan kerajaan.
"Itu untuk memberikan saya bebas bertemu rakyat, kemudiannya menjalin
hubungan dengan rakan-rakan di peringkat antarabangsa, meningkatkan
beberapa usaha dengan ahli perniagaan supaya dapat melabur di Malaysia.
"Tentunya beberapa bulan lagi saya harus fikir secara mendalam
kawasan untuk saya bertanding. Tetapi itu pun sebagai ahli Parlimen
biasa yang menyokong kerajaan Harapan dan tidak menyertai barisan
kepimpinan kerajaan. Bermakna bukan untuk menyertai Kabinet, perdana
menteri, itu tidak berbangkit," katanya lagi.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan