Sejak itu, idea menolak kerajaan melalui demonstrasi yang dianjurkan oleh pemimpin gerakan siswa 1974 itu terus menarik perhatian ramai dan menangkap imaginasi anak muda.
Dalam puluhan tulisan dan ceramahnya, penulis blog sensasi Tukar Tiub yang dikenali melalui coretan ketawa “kah, kah, kah” malah menegaskan “jika pilihan raya boleh mengubah kerajaan, sudah pasti lama dulu pilihan raya akan diharamkan.”
Malaysia bukan seperti yang ditanggapi selama ini, akui Hishamuddin yang merancang kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad menjelang demonstrasi besar Bersih 4 pada Ogos 2015.
“[Tanggapan] ini satu pandangan saya yang silap kerana ada perubahan sebenarnya yang berlaku. Perubahan yang saya tidak baca ini telah dilakukan oleh apa yang kita katakan ‘revolusi warna’,” katanya.
“Revolusi warna” ini dimainkan oleh Bersih dan badan-badan bukan kerajaan yang lain, katanya dalam wawancara dengan ProjekMM kira-kira dua minggu selepas pilihan raya umum lepas.
“Revolusi warna ini berlaku seperti di Ukraine. Revolusi warna datang dulu, baru kerajaan berubah. Kita ini sama macam Ukraine dan Catalan [Sepanyol],” jelasnya.
“Demonstrasi datang dulu, disokong oleh populasi rakyat dan baru perubahan itu datang. Berbeza dengan Indonesia [pada Mei 1998].”
Revolusi warna satu ungkapan media dan pengamat politik untuk menggambarkan gerakan menentang kerajaan yang berlaku tanpa tindakan keganasan yang berkembang mulai 2000-an khususnya di negara-negara bekas kesatuan Rusia.
Namun ada penganalisis melihat ia juga berkaitan dengan gerakan rakyat “people’s power” menumbang presiden Filipina Ferdinand Marcos pada 1986.
Bagi Hishamuddin, faktor ekonomi negara berkembang lebih pesat daripada proses politik mendorong perubahan seumpama ini.
“Kita harus terima bahawa status ekonomi kita sangat tinggi, setanding dengan ‘standard’ Eropah.
Kita ini masih lagi Dunia Ketiga, bukan akan menjadi Dunia Kedua tetapi secara ekonominya kita ini lebih baik daripada Greece dan Sepanyol.
“Politik kita masih Dunia Ketiga. Jadi, [siri demonstrasi] Bersih 4 dan Bersih 5 itu memainkan peranan besar dalam revolusi warna. Kita tengok di Iran [pada 1979], ia tidak menjadi revolusi warna tetapi Greece dan Ukraine menjadi.”
Perubahan ini menjadikan demonstrasi di negara ini lebih sukar digerakkan tetapi ia menjadi saat-saat penting untuk mesej politik yang besar sebelum pilihan raya menjadi kata putusnya, kata Hishamuddin.
Walau terus-menerus menganjurkan politik jalan raya, beliau mengakui nampak perubahan melalui pilihan raya boleh berlaku di negara ini seperti pada 2008 dan 2013.
Malah, menjelang pilihan raya umum ke-13 lima tahun lalu, Hishamuddin menulis buku kumpulan tulisan berjudul Tipu Pilihan Raya, Turun Jalan Raya.
“Teori saya macam ini, [pilihan raya] 2008 itu tidak difahami dan tidak disengajakan berlaku, saya sendiri tidak sedar. Tetapi 2013, teori saya ialah kita ketuk pintu, orang di dalam itu dengar,” katanya.
“Sepatutnya 2013 itu sudah mengambil alih kerajaan, ketika itu suasananya betul-betul ombak, kita boleh menang pilihan raya.
“Kesilapan terbesar [pembangkang] pada malam di stadium Kelana Jaya. Malam itu, tidak ada ketua [setegas] macam Dr Mahathir, kalau beliau kata berarak, kita berarak.”
Ditanya sama ada parti lama yang memakai garis nasionalisme kaum sebagai ideologi politik, beliau berkata Umno “keliru” apabila cuba menari mengikut rentak PAS.
“Umno ini keliru, apabila ia cuba-cuba berjoget dengan PAS. Kalau ia ambil garis Melayu sahaja, ia akan popular.
Jika ia ambil garis Melayu sekular, ia popular. Kalau ia balik [asal] dan tegaskan kami Melayu, kebangsaan Melayu,” katanya.
“Apabila ia hendak berkahwin dengan PAS, liberal Melayu tidak sokong, Cina tidak sokong, Sabah dan Sarawak tidak sokong.
“Dr Mahathir selalu kata Umno ini memperjuangkan bangsa, negara dan agama, ia sudah lari daripada garis itu.”
Hishamuddin, yang terlibat menentang pelaburan kontroversi dengan China, memberi contoh pembabitan kerajaan Datuk Seri Najib Razak dengan negara itu.
“Contohnya, apabila terbukti Umno hendak jual negara ini kepada China. Walau orang ramai sudah marah, boleh pula Umno naikkan sepanduk logo [Barisan Nasional] itu ditaja oleh Shanghai!
“Perkara-perkara semacam ini membuat orang ramai bertambah yakin bahawa Umno ini sudah lari jauh [daripada perjuangannya].”
Namun beliau percaya Umno tidak akan mati seperti juga parti nasionalis lama berhaluan kiri Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang wujud sebelum merdeka.
“Sebagai satu organisasi, Umno tidak akan mati seperti PRM tetapi sama ada ia akan berkembang atau tidak, itu persoalan lain. Ia akan sentiasa wujud.
“Umno ada dua negeri sekarang, Pahang dan Perlis. Sarawak membatalkan [penyertaannya bersama] Barisan Nasional dan beralih kepada mesra PH.”
Sejauh mana Umno boleh bertahan tergantung kepada kekuatan dana yang ada pada pemimpinya, tambahnya, seperti nasib Parti Melayu Semangat 46 yang digerakkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah antara 1988 hingga 1995.
“Parti Semangat 46 dulu, yang sokong kewangannya Tengku Razaleigh, jadi siapa hendak bantu [Umno] sekarang? Saudagar-saudagar Umno ini banyak yang kaya-raya. Aset mereka banyak [kalau mereka mahu bantu].”
0 comments:
Catat Ulasan