Lantik senator dari Kelantan, Terengganu


KOTA BHARU – Parti Amanah Negara (Amanah) percaya Kerajaan Pakatan Harapan  (Harapan) yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan meminggirkan calon dari Kelantan dan Terengganu untuk mengisi jawatan Menteri dan Timbalan Menteri menerusi lantikan senator.

Presidennya, Mohamad Sabu bagaimanapun berkata, keputusan tersebut bergantung pada perbincangan antara rakan sekutu pakatan berkenaan selain kebijaksanaan Perdana Menteri itu menyusun barisan kabinet baharu tidak lama lagi.

“Saya yakin dua negeri ini tidak akan dilupakan, akan ada (lantikan menteri atau timbalan menteri) kerana sekarang ini jawatan barisan kabinet belum penuh lagi.

“Peringkat (lantikan) senator dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) pun belum lantik lagi, hanya baharu lantik beberapa menteri kabinet sahaja selain Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Bersama Rakyat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Harapan Kelantan, Husam Musa, Pengerusi Amanah negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir serta barisan kepimpinan tertinggi gabungan parti tersebut.

Harapan Kelantan yang bertanding di 14 kerusi Parlimen dalam PRU14 lalu tewas kesemua kerusi berkenaan sekali gus menyaksikan tiada wakil dari negeri ini tersenarai dalam barisan Kabinet kerajaan persekutuan, setakat ini.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertahanan memberitahu, satu badan telah dilantik untuk membuat kajian secara menyeluruh berhubung kekalahan teruk gabungan parti itu di negeri pantai timur.

“Kita tak beri tempoh masa, biarlah mereka berada dalam keselesaan (mengkaji) supaya keputusan yang diperoleh itu nanti kita boleh guna pakai untuk hadapi PRU akan datang.

“Melalui pandangan, kritikan, cadangan dalam 'post mortem' (bedah siasat) itu kita akan mengorak langkah lebih hebat untuk Harapan menawan Kelantan, Terengganu dan Pahang nanti,” katanya.
 
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan