Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun) Hanipa Maidin menegaskan
dakwaan kononnya Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menaiki helikopter
milik kerajaan untuk kegunaan keluarga sebagai seratus peratus fitnah
jahat.
Menurutnya, Mohamad yang mesra dipanggil Abag Mat dikenali sebagai
seorang yang amat sensitif dalam menggunakan harta awam untuk kegunaan
peribadi atau keluarga sendiri.
“Kini, Alhamdulillah seorang pramugari Malaysia Airlines tampil membela Abang Mat. Alhamdulillah. Apapun, terima kasih.
“Saya agak rapat dengan Abang Mat sejak sekian lama. Boleh kata semua
kes beliau, saya yang kendalikan kerana mungkin kepercayaan dia pada
khidmat saya.
“Sedikit sebanyak hubungan yang begitu lama dan agak personal itu
menyebabkan wujudnya ‘kepercayaan yang agak jitu’ antara kami berdua,”
katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, seorang pramugari Malaysia Airlines tampil membela Mohamad
ekoran timbulnya dakwaan Menteri Pertahanan itu menggunakan helikopter
milik kerajaan untuk kegunaan keluarga di Hari Raya.
Enggan dinamakan, beliau dipetik Malaysiakini berkata, bersimpati
dengan Mohamad dan isteri memandangkan ada sahaja fitnah yang
ditimbulkan kepada mereka.
Pramugari itu turut berkongsi gambar kapten dan krew bersama Mohamad
di luar pintu pesawat selepas pesawat dari Kuala Lumpur mendarat di
Pulau Pinang pada Hari Raya pertama lalu.
Mengulas lanjut, Hanipa yakin Mohamad yang merupakan Presiden AMANAH
itu tidak akan teragak-agak untuk meminta maaf jika alpa dan tersilap.
“Bagi beliau (Mohamad), mengakui kesilapan bukan suatu kelemahan!
Tetapi , dalam isu terbaru ini, beliau memang tak lakukan sama sekali
dakwaan dan tuduhan jahat tersebut,” tegasnya.
Sehubungan itu, Hanipa menasihatkan pemfitnah Mohamad supaya berhenti
daripada bersikap sedemikian memandangkan Ahli Parlimen Kota Raja
berkenaan bukan individu yang agak gemar mengenakan tindakan saman.
“Beliau (Mohamad) juga agak pemaaf orangnya. Tapi, jika berlebihan sangat tuduhan palsu dan fitnah, mungkin lain jadinya.
“Justeru itu, saya nak nasihat kepada pihak yang suka fitnah Abang Mat, kena berhati-hati.
“Terlepas hari ini tidak bermakna akan terlepas esok hari. Jadi, berhati-hatilah!” tegas Ahli Parlimen Sepang itu lagi.
Kelmarin, pengguna Facebook atas nama Mohamad Nazri Abdul Kadir
memuat naik rakaman video berdurasi 27 saat dan dua foto dengan
mempersoalkan sama ada Mohamad dan keluarganya menggunakan helikopter
milik kerajaan untuk menyambut hari raya di Jejawi, Perlis.
Walau bagaimanapun, imej Mohamad seperti yang didakwa dalam mesej
yang tular di laman sosial itu tidak jelas ekoran gambar dan rakaman
yang diambil dari jauh.
Sehubungan itu, Mohamad menafikan dakwaan tersebut bahkan memberitahu beliau tiada di Perlis pada sambutan Hari Raya.
“Tidak benar sama sekali. Saya tidak akan menggunakan aset kerajaan
untuk kepentingan diri sendiri dan tidak berada di Perlis pun. Semuanya
palsu dan dusta semata-mata,” tegas Mohamad di Twitter.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan