Oleh Abdullah Zawawi Hj Wahab
Pakatan Harapan (HARAPAN) yang terdiri daripada empat parti komponen
utama iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik
(DAP), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(BERSATU) kini sudah mengorak langkah dengan lebih tersusun terutama di
peringkat nasional, apabila gabungan parti politik ini berjaya
menumbangkan rejim pemerintahan Barisan Nasional yang telah memegang
tampuk kuasa di Malaysia hampir 60 tahun pada PRU 14 yang lalu.
Kejayaan HARAPAN membentuk sebuah kerajaan di peringkat Persekutuan
dan di beberapa buah negeri ini terus menjadi bualan ramai. Rata-rata
berpendapat, inilah bukti sebenarnya pepatah "bulat air kerana
pembetung, bulat kata kerana muafakat".
Tidak dapat dinafikan, faktor utama yang melonjakkan kemenangan
HARAPAN ini adalah kerana perpaduan, kesefahaman dan toleransi yang
tinggi dikalangan parti-parti komponen dalam HARAPAN, apabila mereka
sanggup mengenepikan kepentingan masing-masing seterusnya berpadu
membentuk sebuah kesatuan yang mantap sehingga terhasilnya kemenangan
yang amat bersejarah ini.
HARAPAN di Kelantan
Begitu jualah harapan rakyat seluruh negara secara umumnya, termasuk
para penyokong HARAPAN di Kelantan, walaupun HARAPAN gagal memenangi
sebarang kerusi sama ada di peringkat Parlimen mahupun DUN di sini,
namun ia masih tidak menafikan bahawa Pakatan Harapan masih mempunyai
harapan di Kelantan terutama dalam PRU 15 yang akan datang.
Tempoh lima tahun ini tidak lama dan HARAPAN Kelantan mesti membuat
persiapan selengkapnya dalam usaha untuk menjadikan Kelantan sebagai
sebuah lagi negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan pada PRU yang
bakal tiba nanti.
Pimpinan HARAPAN Kelantan mestilah mengamalkan prinsip perpaduan dan toleransi serta membuang sikap "warlord" di gelanggang sendiri dan kembali bermuafakat membentuk sebuah kesatuan yang ampuh dalam usaha menawan hati rakyat Kelantan.
Perkara sebegini mestilah didasari atas semangat musyawarah dan
kesefahaman dalam setiap keputusan dan tindakan yang akan dilaksanakan
dalam menjadi jambatan penghubung antara Persekutuan dan Negeri dalam
usaha memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Kesetiaan dan sikap saling menghormati antara parti komponen dalam
HARAPAN Kelantan haruslah ditonjolkan, usah mengamalkan sikap bagaikan
enau dalam belukar yang saling melepaskan pucuk masing-masing, amalan
mementingkan diri dan tidak menghormati persetiaan yang dibuat pasti
akan meranapkan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan, dimana
natijahnya sudah pasti amat buruk kepada masa depan Pakatan Harapan di
Kelantan.
Penyokong HARAPAN di Kelantan sudah pasti ternanti-nanti apakah
langkah pemulihan yang akan dibuat oleh para pimpinan dalam usaha
menambah baik apa yang kurang pada setiap tindakan dan gerak kerja,
setelah keputusan yang pahit terpaksa ditelan oleh semua pendokong
Pakatan Harapan pada PRU 14 yang lalu.
Posisi strategik kukuhkan HARAPAN
Kepercayaan dan terus memberi sepenuh kerjasama kepada Husam Musa
selaku pengerusi HARAPAN Kelantan dan timbalan-timbalan pengerusinya
daripada setiap parti komponen adalah amat dituntut dalam menjayakan
agenda pemerkasaan HARAPAN untuk terus relevan dan menjadi pilihan utama
rakyat Kelantan bukan sahaja dalam hal ehwal politik, bahkan merangkumi
seluruh aspek pengurusan dan pentadbiran organisasi yang akhirnya
menatijahkan hasil yang baik kepada HARAPAN dalam PRU yang akan datang.
Dan pastinya lebih manis apabila Husam Musa selaku Pengerusi HARAPAN
Kelantan jika dilantik dalam posisi yang penting dan strategik dalam
jentera pentadbiran kerajaan persekutuan, sudah tentu perlantikan beliau
akan mengukuhkan kedudukan Pakatan Harapan di negeri Kelantan ini.
Semoga para pimpinan HARAPAN Kelantan terus diberi taufiq, hidayah,
inayah, dan semangat kebersamaan dalam memacu langkah Pakatan Harapan di
Kelantan.
Teladan dan tindakan yang baik dari pimpinan atasan akan menggembleng
semangat setiakawan dan berpasukan di kalangan ahli penyokong dalam
parti-parti komponen Pakatan Harapan dalam usaha menjayakan misi menawan
Kelantan sebagai satu lagi negeri yang ditadbir oleh parti pemerintah
di Malaysia pada hari ini.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan