Rakyat bakal nikmati harga murah jalur lebar akhir tahun ini


PUTRAJAYA - Harga jalur lebar tetap di Malaysia dijangka turun sekurang-kurangnya 25 peratus akhir tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Ini berikutan pelaksanaan Standard Mandatori bagi Harga Capaian (MSAP) sejak 8 Jun lepas, katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat pasca Kabinet di kementeriannya di sini, hari ini.

"Pihak-pihak yang berkaitan kini sedang dalam perbincangan dalam penetapan harga borong dan proses tersebut dijangka berakhir pada Julai atau Ogos yang mana selepas itu pakej jalur lebar pada harga lebih rendah akan diperkenalkan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah melaksanakan MSAP pada 8 Jun lepas (2018) yang berkuat kuasa mulai 1 Jan tahun ini.

"Perbincangan akan diadakan di antara telco (syarikat telekomunikasi) tentang sama ada rebat akan diberikan kepada pelanggan,” katanya.

Gobind berkata, SKMM turut diminta mempertimbangkan langkah lain yang boleh menurunkan lagi harga jalur lebar dan memantau harga jalur lebar di negara ini supaya harga pakej permulaan adalah munasabah untuk semua rakyat.

Katanya, berdasarkan perbandingan antara negara jiran, Thailand menawarkan harga permulaan 50 megabit per second (Mbps) sebanyak RM74 dan Singapua RM134 untuk 1 gigabit per second manakala Malaysia menawarkan harga RM120 untuk hanya 10 Mbps.

“Ini menjadi punca banyak tanda tanya yang timbul, jadi usaha sedang dijalankan oleh kerajaan untuk membolehkan harga jalur lebar yang lebih rendah untuk negara dapat bersaing dengan negara jiran lain,” katanya.

Beliau berkata polisi MSAP mengenakan harga siling borong bagi pihak pembekal kemudahan dan perkhidmatan yang digunakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi dalam pasaran.

"Penurunan harga borong ini bakal mengurangkan harga pasaran kepada pengguna,” katanya.
Jelasnya SKMM telah mengkaji polisi MSAP selama setahun sejak 2017 dan semakan harga sepatutnya diperkenalkan pada 1 Jan 2018.

"Bagaimanapun ia tidak dilaksanakan disebabkan rayuan daripada Telekom Malaysia untuk SKMM mengkaji semula beberapa butiran komponen harga,” katanya, sambil menambah keputusan untuk mengkaji semula harga jalur lebar ditangguhkan sementara menunggu pertimbangan Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu  Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Gobind berkata selepas dilantik sebagai menteri, beliau berpendapat kajian harga tersebut yang akan menurunkan harga pasaran jalur lebar sepatutnya dilaksanakan. - Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan