Oleh Al-Abror Mohd Yusuf
Bayangkan suatu petang ada seseorang bertemu dengan isteri pemimpin
Umno di KLCC. Ia memang sudah dijanjikan. Maksudnya bukan pertemuan yang
spontan.
Katakan lagi yang bertemu itu ialah dua wanita yang sudah lama berkenalan. Pedulilah kerana urusan kerja atau tidak.
Seperti yang dijanjikan mereka pun bertemulah. Katakan misalnya
mereka berjumpa di restoran di mana-mana tingkat pusat beli-belah
berkenaan.
Kelibat si isteri pemimpin Umno itu hadir bersama sebuah beg. Bukan
beg tangan berjenama Birkin pun. Ia lebih kepada beg seperti bagasi
beroda yang selalu dibawa orang untuk menaiki kapal terbang.
Mereka berbual seadanya dan minum-minum. Kemudian - biasalah,
perempuan - mereka beraktiviti apa yang mereka mahir. Bukan
membawanglah, tetapi satu lagi kemahiran mereka, iaitu membeli-belah.
Si isteri orang kuat Umno itu - katakanlah misalnya dia dari Sabah -
berbelanja itu ini dengan tidak teragak-agak. Malah atas kemurahan
hatinya, dia membelikan satu beg tangan kepada rakannya tadi. Ia memang
ditolak. Biasalah, mana mungkin dibelanja beg tangan oleh kenalan begitu
saja.
Tetapi si isteri orang kuat Umno itu bertegas mahu berbudi. Ditolak
bagaimanapun, dia tetap mahu memberi. Maka transaksi pun berlakulah.
Marah di MARA
Dia menghadiahkan buah tangan kepada kenalan yang menunggunya di KLCC tadi.
Ia ialah beg tangan berharga kira-kira RM20,000. Dan sebelum mereka
berpisah, dia memberi hadiah lagi. Kali ini beberapa ikat wang tunai.
Semua perbelanjaan itu berlangsung dengan lancar kerana wang tersebut
diambil begitu saja dari beg tadi.
Ya, beg besar beroda itu bukan berisi pakaian atau alat solek, tetapi wang tunai.
Pada ketika yang lain, seorang peguam dihubungi oleh ahli majlis MARA
untuk berbincang. Puncanya peguam terbabit mewakili beberapa penjaja
Melayu di Kuala Lumpur yang menyaman badan pembela bumiputera berkenaan
kerana mengarahkan mereka berpindah ke gerai lain apabila tempat asal
mahu diambil semula.
Andaikanlah nama peguam itu Azwan. Dan pada hari yang dipersetujui
dia bersama anak guamnya hadir ke pejabat MARA. Tujuannya tentulah
kerana mereka mahu tahu apa yang ditawarkan oleh badan berkenaan.
"Begini Encik Azwan, cuba beritahu saya apa yang you boleh tawarkan kepada kami," kata ahli majlis MARA tersebut.
Ia tentulah mengejutkan peguam terbabit.
"Eh saya datang ke sini sebab you yang ajak berjumpa. Kami yang menyaman MARA, maka you yang sepatutnya beri tawaran kepada kami," kata peguam berkenaan.
Pertemuan itu berlangsung tidak seperti yang diharapkan. Ia bukan
disebabkan oleh salah faham atau tersilap komunikasi. Perbualan itu
berlanjutan lagi dengan ahli majlis MARA itu - yang masih muda - mula
menyerahkan kad bisnesnya. Ia tertera nama beliau serta nama Umno
bahagian di Kuala Lumpur.
Dia kemudian bercerita tentang penglibatannya dalam Umno. Tidak
banyak bercerita tentang kedudukannya sebagai ahli majlis MARA. Mungkin
baginya susuk peribadi dia sebagai pemimpin Umno bahagian jauh lebih
mustahak - dan besar - berbanding kerusi ahli majlis itu sendiri.
Susahnya nak terima Merdeka
Peguam itu dan penjaja terbabit akhirnya pulang tanpa ada sebarang
penyelesaian - sehinggalah mahkamah menentukan hakim memihak kepada
mereka.
Apakah punca Umno ditolak rakyat semasa pilihan raya umum (PRU) lalu?
Banyak, tetapi antara puncanya ialah rungutan bahawa parti itu semakin
bersifat elitis, selain ia dipandu hala tujunya oleh orang bangsawan.
Semasa ia ditubuhkan dulu, memang orang bangsawan jualah yang
berusaha membangunkan Umno. Justeru ia bersifat lunak kepada Inggeris.
Ketika si pemberani melawan penjajah dengan selayaknya pejuang
negara, Umno kekal dengan slogan "Hidup Melayu". Malah idea Malayan
Union itu hampir-hampir saja menjadi kenyataan kerana sebahagian
raja-raja Melayu sudah menurunkan tandatangan masing-masing.
Hanya selepas keadaan kelihatan tidak memihak kepada Umno barulah
pemuka-pemukanya tergerak hari melaungkan slogan "Merdeka!" bagi
menggantikan "Hidup Melayu" itu.
Bahawa perubahan sikap berkenaan tidak memadamkan sejarah bahawa
semangat mahu merdeka itu ditiupkan dengan gigihnya sejak awal oleh
pertubuhan yang lebih jantan, seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya
(PKMM).
Tapi tak apalah. Akhirnya Umno kelihatan merakyat juga. Ada juga
pemimpinnya yang mahu menundukkan kepala untuk melihat jerit dan jerih
orang marhaen di Tanah Melayu ini.
Hinggalah ia sekali lagi dirasakan kebangsawanannya. Terasa benar.
Bukan sikit-sikit punya rasa.
Buktinya, apabila rakyat mengeluh terpaksa
membayar tol di lebuh raya, ada orang Umno menyarankan orang ramai
memilih jalan lain yang tidak mengutip bayaran.
Kemudian apabila orang ramai merungut terpaksa berbelanja lebih
keraja ada lembaga bernama cukai barangan dan perkhidmatan (GST), segera
turun ilham pujangga yang amat bijaksana. Kita dilawakkannya supaya tinggal di bulan!
Kemudian ada pula yang menyarankan rakyat - termasuk penuntut
institusi pengajian tinggi - memasak sendiri hidangan sebagai jalan
paling ampuh mengatasi kenaikan kos sara hidup.
Itu belum lagi tokoh masyarakat yang membuka mulut. Bukan mereka
tidak boleh bersuara. Boleh, cuma suara mereka wajib memihak kepada
Umno. Kalau berbeza waima satu hun pun, wajiblah mereka dilabel
pembangkang.
Tak cukup cerdik
Maka mulalah diungkit-ungkit kekayaan tokoh berkenaan. Itu belum lagi
diambil kira pegawai kanan kerajaan yang menyindir, atau orang kuat
puteri Umno yang menempelak. Boleh tahan pedasnya.
"Setakat pegang telefon, picit-picit...tulis, taip...tak payah," misalnya.
Kemuncaknya ialah apabila pemimpin-pemimpin tidak nampak ada rasa
bersalah menayangkan kekayaan masing-masing ketika rakyat di bawah
menderita mahu memenuhkan perut anak-anak dengan makanan yang sihat dan
mengenyangkan.
Apatah lagi orang ramai mula menyedari pemimpin Umno itu nampak benar
ciri-ciri bangsawannya. Misalnya dia tidak tahu bahawa kangkung itu
bukanlah contoh yang cerdik untuk dipetik sebagai bukti harga barang
turun dan rakyat wajib berterima kasih kepada kerajaan.
Seseorang anak yang dibesarkan oleh keluarga berada, bangsawan dan
elit - oleh seorang perdana menteri misalnya - boleh saja memahami
kesempitan masyarakat jika dia mahu. Masalahnya dia tidak mahu. Atau,
mungkinkah dia sebenarnya mahu, cuma akalnya tidak dapat mencerap dan
memproses maklumat yang sampai ke sel-sel otaknya?
Maka apabila Umno tersungkur, berebut-rebut ahli parti mencari
formula menyelamatkan parti berkenaan. Menjelang pemilihan barisan
pimpinan Umno tidak lama lagi, setakat ini belum ada mana-mana ahli yang
kelihatan lebih cerdas untuk menyedari bahawa masalah parti berkenaan
ialah kebangsawanan itulah.
Nah, oleh satu kumpulan ditunjuknya Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon presiden. Namanya saja sudah ada gelaran bangsawan.
Apakah beza seorang lelaki yang dibesarkan dalam keluarga perdana
menteri dengan seorang ahli politik yang dilahirkan dalam lingkungan
istana?
Justeru, apakah Zahid Hamidi itu lebih marhaen sifatnya? Memanglah
dia orang Bagan Datoh. Bagi anda yang pernah belajar Ilmu Alam semasa di
sekolah rendah pada era 1970-an dulu tahu benarlah kawasan di antara
bandar Teluk Anson dan Sabak Bernam itu ialah petempatan kampung yang
menjadi pengeluar kelapa.
Zahid asalnya dari daerah itulah.
Masalahnya kebangsawanan Umno bukan lagi ditakrifkan sekadar oleh
darah yang mengalir dalam tubuh, nama bergelar atau latar belakang ibu
bapa.
Umno itu sendiri ialah istana yang menyediakan ruang buat para
bangsawan. Tengku Adnan Tengku Mansor - sebagai tokoh terkemuka memakai
gelaran Tengku itu - tentu sangat arif tentang hal ini.
Nasib baik tersungkur
Pedulilah dari mana - atau bagaimana - asal-usul istilah berkenaan,
sama ada gabungan "bangsa" dan "awan" yang menggambarkan perbezaan kasta
dalam masyarakat dulu-dulu, atau ada kaitan dengan masalah "sawan" yang
menyusahkan itu.
Dua cuplikan kisah pada pembukaan tulisan ini adalah contoh kerdil
bagaimana kebangsawanan tumbuh subur dalam sebuah istana tanpa
berstruktur fizikal bernama Umno.
Pada satu ketika memisahkan nilai-nilai kebangsawanan daripada Umno
samalah susahnya mengasingkan rasa manis pada gula dan masin pada garam.
Pada lembaga itulah sebahagian orang mahu menyandarkan harapan untuk menyelamatkan bangsa.
Mujur juga Umno tersungkur pada 9 Mei lalu, justeru mereka boleh
melihat kepada cermin yang selama puluhan tahun tidak diendahkan. Dalam
teraba-raba mencari jalan keluar dari lorong gelap-gelita itulah mereka
membayangkan jalan penyelesaian.
Setakat ini calon untuk menjadi pemimpin parti itu ialah Zahid dan
Tengku Razaleigh. Di mata Umno, barangkali itulah jawapan terbaik yang
dapat mereka kemukakan untuk kembali bernafas dalam arus perdana
politik.
Namun di mata rakyat, isu sebenar pada Umno bukan tentang "siapa", tetapi "mengapa".
Dan teguran yang diberikan ini pun bukanlah kerana kita sayangkan
sangat Pakatan Harapan (HARAPAN). Gabungan yang menguasai Putrajaya itu
masih baru, hijau dan berbedung. Ulahnya pasti ada, cuma belum nampak
ketara.
Kita tidak mahu sifat-sifat bebal dan kebangsawanan Umno itu bertelur
dan menetas dalam HARAPAN. Kesilapan, penyelewengan atau pembohohongan
tidak dapat diterima kalau dilakukan oleh BN, tetapi sebelah mata boleh
ditutup kalau menteri besar melakukannya.
Mengaburi orang ramai dengan ijazah atau taraf pendidikan, misalnya.
Maklumlah, puluhan tahun membangkang, sekali mendapat kuasa kadang-kadang tenggelam punca juga.
Mentang-mentang menjadi menteri - misalnya - maka apabila ada majlis
kenduri-kendara, atau rumah terbuka, sudah mula lupa kepada Malaysiakini.
Malaysia baru, konon...
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan