Tengku Razaleigh paling layak - UMNO Gua Musang

GUA MUSANG: UMNO memerlukan ketua yang ‘bersih’ bagi mendepani kemelut selepas parti berkenaan berdepan kekalahan teruk pada PRU14.

Bagi memulihkan keadaan, Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Gua Musang sebulat suara menyokong sekiranya Ahli Parlimen, Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan akan datang.

Wakilnya, Mahamad Napi Nasir berkata, Tengku Razaleigh dilihat sebagai pemimpin bersih dan mampu menaikkan semangat ahli untuk meneruskan perjuangan.

“Selain mampu menyatukan orang Melayu, beliau (Tengku Razaleigh) juga mampu menangkis dakyah mengenai isu 1MDB kerana kepimpinan beliau tidak terlibat dalam kemelut berkenaan,” katanya.

Bagi AJK Bahagian, Wan Zawawi Wan Zain, tiada pemimpin lain yang lebih layak mengisi kekosongan tersebut selain Tengku Razaleigh.

“Seluruh kepimpinan UMNO sedang mencari dan mengintai siapa yang akan jadi presiden. Dalam pada itu, ramai yang mahukan Tengku (Razaleigh) mengisi kekosongan tersebut.
“Saya dan seluruh kepimpinan AJK Bahagian terutamanya kepimpinan muda menyokong penuh Tengku untuk menjadi calon jawatan itu,” katanya.

Terdahulu, Tengku Razaleigh menegaskan, beliau masih mempertimbangkan cadangan bertanding jawatan presiden kerana ia bukan satu keputusan yang mudah.

Menurutnya, jawatan tersebut merupakan tanggungjawab besar dalam keadaan baharu yang tidak pernah dilalui UMNO sebelum ini.

BACA: Disaran bertanding presiden UMNO, Ku Li sukar buat keputusan 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Amran Ariffin berkata, UMNO perlu berubah dan memerlukan pemimpin yang berwibawa bagi memulihkan keadaan secepat mungkin.

Katanya, beliau cukup yakin, Tengku Razaleigh adalah tokoh paling layak dan perlu diberi kepercayaan serta peluang untuk menerajui parti.

“Di bawah kepimpinan Tengku, UMNO akan pulih dengan cepat selepas mengalami sedikit ujian dalam kekalahan baru-baru ini.

“Ini kerana, Tengku tidak pernah berdepan dengan sebarang masalah sepanjang kepimpinannya. Keputusan ini juga mampu meraih sokongan padu orang Melayu terhadap UMNO,” katanya.

Bagi Adun Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, UMNO perlu mendengar suara rakyat iaitu akar umbi agar kesilapan yang sama tidak berulang.

“Tengku tidak mempunyai sebarang rekod yang tidak baik dan tidak pernah terpalit dalam isu yang kontroversi. Pemimpin sebeginilah yang kita perlukan.

“Malah, dengan kredibiliti yang ada pada beliau, kita akan mendapat sokongan dan tarikan ahli untuk kembali mempercayai UMNO.

“Beliau juga merupakan tokoh yang paling lama dan pengalaman serta pemikirannya juga tidak perlu dipertikaikan lagi,” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan