Lebih 1,000 tandatangan sokong pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan P. Pinang

Lebih 1,000 tandatangan pekerja industri bagi kawasan Perindustrian Bayan Lepas dan Batu Maung telah berjaya dikumpul dan diserahkan kepada kerajaan negeri sebagai sokongan terhadap Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang atau PTMP.

Petisyen tersebut telah diserahkan oleh wakilnya, Mohd Nasarudin Sultan  bagi menyatakan sokongan terhadap projek mega tersebut khususnya melibatkan Pan Island Link 1 dan transit aliran ringan (LRT) Bayan Lepas.

Menurut Nasarudin lagi, kebanyakan pekerja di kawasan perindustrian tersebut terpaksa berhadapan dengan kesesakan teruk saban hari untuk ke tempat kerja.

Malah katanya, kesesakan yang amat dahsyat ini telah dialami sejak berpuluh tahun yang lalu dan tidak dapat diselesaikan.

“Kami berusaha bagi mendapatkan tandatangan pekerja industri sejak 7 Julai yang lalu kerana tidak mahu projek tersebut terhenti atau dibatalkan.

“Isu ini adalah kepentingan awam yang perlu dilaksanakan kerana ia memberi manfaat yang amat besar kepada pekerja industri dan pengguna jalan raya.

“Ia memberi kemudahan bukan saja kepada penduduk tempatan tetapi juga kepada pelancong kerana ia dapat menjimatkan kos dan masa,” tegasnya.

Selain itu, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang turut sama menyerahkan petisyen yang mengandungi lebih 100 tandatangan ahli jawatankuasa FMM menyokong pelaksanaan projek tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang menerima petisyen tersebut pula berkata, kerajaan negeri akan meneliti petisyen yang diterima khususnya yang berkaitan dengan kesan pelaksanaan projek tersebut kepada pekerja industri yang terpaksa
menempuh kesesakan sehingga dua jam setiap hari untuk ke tempat kerja.

Adalah difahamkan projek mega PTMP sepatutnya telah dilaksanakan sejak lima tahun yang lalu bagi menyediakan kemudahan lalu lintas dan perjalan yang lebih selesa kepada rakyat negeri ini.
Ia juga mampu mengurangkan kos dengan wujudnya pengangkutan awam seperti LRT dan seumpamanya.

Sebelum ini kerajaan negeri melaporkan bahawa projek PTMP yang diusahakan oleh kerajaan negeri menelan kos sebanyak RM46 bilion.

Ia melibatkan pembinaan terowong bawah laut yang menghubungkan bahagian Pulau dan tanah besar di Seberang Perai, lebuh raya, LRT, monorel serta pengangkutan bas.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan