Mampukah PKR jadi parti dominan PH?

Oleh Zin Mahmud

Kemenangan tanpa bertanding Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden PKR merupakan satu langkah lagi bagi pemantapan parti itu untuk menjadi kuasa dominan dalam politik negara.

Sebagai presiden, Anwar layak menjadi pemimpin utama dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH). Langkah selanjutnya ialah bertanding sebagai ahli Parlimen. Apabila menang kelak, beliau boleh dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Selanjutnya daripada itu, beliau dijangka menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri seperti termaktub dalam persetujuan parti komponen PH sebelum pilihan raya umum ke-14 yang lalu (PRU14).

Dengan menjadi presiden PKR dan selanjutnya bakal perdana menteri, ia menepati proses membawa PKR sebagai parti dominan negara ini.
Sebelum ini, walaupun PKR memperoleh kerusi paling banyak di kalangan parti komponen PH, tetapi ketiadaan Anwar dalam kerajaan menyebabkan PKR tidak menjadi dominan.

Sebaliknya, Dr Mahathir sebagai perdana menteri menjadi dominan walaupun PPBM pimpinannya memperoleh bilangan kerusi jauh lebih kecil daripada PKR. Ditambah pula hakikat beliau merupakan pemimpin yang membawa PH kepada kemenangan dalam PRU14.

Namun begitu, kemenangan PH telah berlaku atas kerjasama berkesan 4 partinya, iaitu PKR, PPBM, DAP dan Amanah melalui struktur kompleks di atas prinsip konsensus yang menyebabkan tidak ada parti dominan.

Tanpa mengira jumlah ahli, wakil rakyat dan usia parti, keempat-empat parti itu mencapai kesepakatan dengan meletakkan kuasa pada Majlis Presiden PH dengan mewujudkan 3 jawatan tertinggi bergelar Ketua Umum, iaitu Anwar, Dr Mahathir sebagai pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.

Jawatan-jawatan itu juga mencerminkan kedudukan mereka dalam parti masing-masing, iaitu Anwar juga adalah ketua umum PKR, Dr Mahathir sebagai pengerusi PPBM dan Dr Wan Azizah sebagai presiden PKR.

Kini, Anwar menyandang jawatan presiden PKR menggantikan Wan Azizah, kedudukan struktur parti itu dan PH turut berubah. Ini kerana, tanpa Anwar menjadi ketua umum, jawatan itu yang sebenarnya hanya merupakan gelaran yang tidak termaktub dalam perlembagaan parti, sudah dianggap tidak wujud.

Asalnya ketua umum itu merupakan terjemahan kepada istilah “de facto leader” yang diberikan pada Anwar ketika PKR mula ditubuhkan sebagai Parti Keadilan Nasional pada 1999, iaitu sebelum ia bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Dari segi bahasa, “de facto leader” itu sepatutnya disebut sebagai pemimpin sebenar. Maka, Anwar adalah pemimpin sebenar PKR, walaupun Wan Azizah memegang jawatan presiden.

Boleh juga dikatakan Wan Azizah hanyalah proksi Anwar, ini kerana menurut undang-undang ketika itu, Anwar tidak boleh menyandang sebarang jawatan parti.

Selepas pilihan raya umum 2008, Anwar menubuhkan Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai PKR, PAS dan DAP dengan beliau diisytiharkan juga sebagai ketua umum. Ketika itu, PAS dan DAP menerima Anwar sebagai calon perdana menteri dari PR dan sekaligus meletakkan PKR sebagai parti dominan.

Tetapi, keadaan ini berbeza dalam PH. Walaupun pada mulanya PH adalah penyambungan kepada PR, tetapi ia mempunyai sifat berbeza yang membawa kepada perubahan kedudukan PKR sebagai parti dominan.

Penubuhan PR diusahakan sendiri oleh Anwar yang dengan sendirinya meletakkan PKR sebagai parti dominan. Tunjang PR adalah kerjasama rapat PKR dan PAS dalam kerangka Barisan Alternatif.
Dalam pilihan raya umum 2004, DAP berada di luar Barisan Alternatif, walaupun ia menjalin kerjasama politik dengan PKR dan PAS.

Selepas diwujudkan PR yang mana kerjasama PKR, DAP dan PAS adalah penting bagi penubuhan kerajaan negeri Selangor dan Perak, namun struktur PR adalah longgar dan tidak dimeterai dengan perjanjian yang ditandatangani.

Sementara keadaan PH pula berbeza daripada PR. Penubuhan PH digerakkan Amanah pada 2015, sebaik saja parti pecahan PAS itu ditubuhkan. Oleh kerana Amanah adalah parti baru dan kecil berbanding PAS, maka kedudukannya tidaklah setara dengan parti lama mereka ketika berada dalam PR.

Maknanya, Amanah menjadi jauh lebih kecil berbanding PKR dan DAP apabila berada dalam PH. Akibatnya, PKR jauh lebih dominan dalam PH berbanding ketika mereka berada dalam PR, Amanah dalam PH pula tidak dapat berada pada kedudukan PAS ketika dalam PR.

Lantaran itu, menjelang PRU14, PKR masih berharap dapat bekerjasama dengan PAS ketika DAP dan Amanah sudah hilang selera dengan parti Islam itu.

Satu lagi perbezaan penting antara PH dan PR ialah perjanjian yang ditandatangani oleh parti-parti anggota.

Setelah serik dengan apa yang berlaku kepada PR, maka Amanah mendorong suatu perjanjian bertulis yang ditandatangani untuk memastikan kejelasan dan keutuhan hubungan mereka.

Maka, persetujuannya ialah Anwar sebagai ketua umum dan calon perdana menteri, serta prinsip-prinsip yang dipersetujui bersama.

Tetapi, perbezaan besar yang berlaku kepada PH ialah apabila Dr Mahathir menjadi pembangkang, menubuhkan PPBM pada 2016 dan membawanya menyertai gabungan itu pada 2017.

Walaupun PPBM yang dipimpinnya itu baru dan hanya pecahan kecil daripada Umno, tetapi ia mempunyai potensi lebih besar daripada PKR, DAP dan Amanah untuk menjadi parti dominan dalam PH.

Ini kerana lanskap politik kepartian pada 2016 menunjukkan keahlian dan sokongan yang diperoleh PKR dan DAP sudah tepu. Pencapaian PKR dan DAP dalam pilihan raya umum 2013 dianggap tertinggi dan sukar meningkat lagi.

Sementara sebagai pecahan PAS, keahlian dan sokongan untuk Amanah umumnya datang dari ahli dan penyokong parti bernama Islam itu.

Selepas setahun ditubuhkan, harapan separuh daripada ahli PAS berpindah ke Amanah tidak tercapai. Maka, dalam keadaan begini, kekuatan Amanah juga sampai ke peringkat tepu.

Sedangkan potensi PPBM masih luas dan terbuka. Umumnya, ia adalah parti yang hendak menggantikan Umno.

Berbanding PAS yang skop keahliannya kecil untuk disumbangkan kepada Amanah, keanggotaan Umno jauh lebih besar yang boleh membawa kepada potensi PPBM untuk meraih kekuatan lebih besar daripada Amanah.

Ditambah pula dengan ketokohan Dr Mahathir yang tidak dapat ditandingi pemimpin parti-parti lain, maka PPBM mampu menjadi parti dominan mendahului PKR.

Sememangnya sistem struktur politik PH mengkehendaki konsensus semua parti komponen, tetapi realistiknya gabungan itu merupakan perkongsian dominan antara PKR dan PPBM dengan disokong DAP dan Amanah.

Walaupun DAP dan Amanah tidak dapat mencabar kedudukan PKR dan PPBM, tetapi kekuatan PH tetap memerlukan kedua-dua parti kecil itu.

Maka, menjelang PRU14, PH pada asasnya merupakan kerjasama PKR dan PPBM dengan ditentukan ketua umum dari PKR, pengerusi dari PPBM dan presiden dari PKR juga.

Oleh kerana ketika itu ketua umum berada dalam penjara, maka pengerusi dicalonkan sebagai perdana menteri dan presiden pula adalah timbalan perdana menteri.

Dalam rundingan pembahagian kerusi, persaingan antara PKR dan PPBM menjadi sengit yang akhirnya meletakkan PKR mempunyai satu kawasan lebih daripada PPBM. Tetapi, asas persepakatan ini tetap antara PKR dengan PPBM.

Keputusan PRU14 menunjukkan pencapaian PKR jauh lebih tinggi berbanding PPBM. Ia meletakkan PKR berada pada kedudukan paling dominan, walaupun kerajaan dipimpin tokoh PPBM.
Dengan Anwar menjadi presiden PKR, penstrukturan semula PH dan kerajaannya akan berlaku. Jawatan ketua umum PH kini disandang presiden PKR, sementara presiden PH tidak lagi memegang sebarang jawatan parti.

Apabila Anwar menjadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir kelak, maka sistem PH mungkin membawa Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali menyandang jawatan timbalan perdana menteri.

Maka, PKR mungkin berjaya menjadi parti dominan dalam PH, tetapi kemampuannya menubuhkan kerajaan bergantung kepada kerjasama dengan PPBM dan didokong DAP dan Amanah. Inilah semangat politik PH yang tidak boleh diubah buat sementara waktu ini.

Zin Mahmud merupakan bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan