Maszlee akui timbalannya bantu buat kenyataan media dalam bahasa Cina

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada sidang Dewan Rakyat kelmarin mengakui Timbalannya, Teo Nie Ching membantu beliau menyediakan kenyataan media dalam bahasa Mandarin berhubung isu peruntukan kerajaan Persekutuan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

“Jawapan balas saya kepada akhbar Cina itu dan bukan kenyataan rasmi tetapi maklum balas kepada akhbar berbahasa Cina tersebut, yang saya jawab di dalam bahasa Mandarin dengan bantuan Timbalan Menteri saya.

“Jadi itu yang timbulnya. Malangnya ada pihak yang mengambil itu dan mengatakan bahawa saya sengaja menjawabnya dalam bahasa Mandarin kerana tidak mahu akhbar berbahasa Melayu tahu.

“Itu tidak benar,” kata Maszlee dipetik dari hansard Parlimen, 31 Julai lalu.

Wakil rakyat Bersatu itu juga memohon maaf kerana jika penjelasannya yang hanya dalam bahasa Mandarin itu merupakan kesalahan.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai isu kenyataan media oleh Menteri Pendidikan yang tanpa ada dalam bahasa kebangsaan.

Ka Siong mempersoal penjelasan hanya dalam bahasa Mandarin itu yang bercanggah dengan jawapan bertulis asal seperti dibentangkan pada 26 Julai lepas.

Terdahulu, Maszlee dalam jawapan bertulis itu menyatakan Kementerian Pendidikan tidak menyediakan peruntukan bagi sekolah dan murid yang belajar di SMPC yang tidak tergolong di bawah mana-mana kategori institusi pendidikan dalam sistem pendidikan nasional.

“Peruntukan operasi melibatkan perbelanjaan dalaman kerajaan. Kebanyakan peruntukan adalah untuk emolumen kakitangan awam dan guru.

“Disebabkan SMPC bukan sekolah awam atau di bawah bidang kuasa kementerian dan guru-gurunya bukan kakitangan awam, kementerian tidak boleh menggunakan peruntukan operasinya untuk SMPC, sekolah agama persendirian dan agensi pendidikan swasta lain,” katanya.

Walau bagaimanapun pada hari sama, Malaysiakini mendedahkan Maszlee hanya mengeluarkan kenyataan media berkenaan isu kontroversi itu dalam bahasa Cina sahaja sebagai tambahan kepada jawapan bertulis pertanyaan lisan Ka Siong itu dengan berjanji menyediakan peruntukan kepada SMPC melalui peruntukan kerajaan persekutuan.

“Berdasarkan kepada prestasi ekonomi keseluruhan, kami akan berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi memutuskan keperluan dan bentuk peruntukan,” kata Maszlee dilapor beberapa akhbar Cina.

Menurutnya, kerajaan PH akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap SMPC seperti dapat dilihat di Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Johor apabila kerajaan PH menyediakan peruntukan kewangan kepada SMPC mengikut kemampuan.

Katanya, peruntukan kerajaan PH kepada SMPC akan dimasukkan ke pelan kewangan holistik kebangsaan dalam bentuk perbelanjaan pembangunan.

Penjelasan bekas pensyarah universiti awam itu disiar di akhbar Sinchew Daily, Oriental Daily, Kwong Wah Jit Poh, Guang Ming Daily, Nanyang Siang Pau, China Press dan The Malaysian Insight (edisi bahasa Cina) tanpa dimuatkan dalam mana-mana media berbahasa Melayu atau Inggeris pada hari yang sama.

Nie Ching yang juga wakil rakyat DAP turut mengongsikan kenyataan Maszlee yang disiarkan Oriental Daily dan Sinchew Daily di Facebook miliknya.

Dalam masa sama, Maszlee pada sidang Dewan Rakyat, 31 Julai lalu turut memberitahu permohonan mengenai peruntukan kepada SMPC itu bukan diputuskan oleh kementeriannya.

“Sebarang permohonan keputusan diputuskan oleh Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi. Ia tertakluk kepada keadaan ekonomi semasa negara,” jelasnya
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan