Gaji minimum lagi lima tahun dikuatkuasa

Oleh Arif Atan

Kenaikan kadar gaji minimum RM1,500 yang akan diputuskan di Kabinet dalam masa terdekat hanya akan dikuatkuasakan dalam tempoh lima tahun.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, kadar gaji minimum akan diputuskan dalam tempoh 100 hari tetapi kerajaan memerlukan masa yang lebih lama untuk menguatkuasakannya.

Jelas Naib Pengerusi DAP itu, pelbagai proses perundangan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan secara keseluruhan.

“Memang sasaran kita adalah untuk menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 tetapi akan dilaksanakan dalam masa lima tahun, jadi soal kenaikan kadar adalah perkara kedua.

“Jadi buat masa ini kita akan memberi tumpuan kepada menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara,” kata Ahli Parlimen Ipoh Barat itu kepada pemberita dalam sidang akhbar di Putrajaya semalam.

Pada 4 Jun lalu, Kula Segaran memberitahu kerajaan akan mengumumkan kadar gaji minimum baharu sektor swasta selewat-lewatnya bulan ini selepas selesai proses semakan dan mendapat kelulusan Kabinet.

Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihanraya Ke-14 berjanji untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 dengan menggunakan pendekatan perkongsian antara kerajaan dengan majikan.
Mekanisme itu mencadangkan satu sistem bayar bersama yang akan membahagikan kos kenaikan gaji minimum antara kerajaan dengan majikan secara sama rata.

Ia mencadangkan kadar gaji minimum semasa tidak perlu naik dengan segera kepada RM1,500 tetapi meliputi tempoh lima tahun dengan kenaikan pertama pada 2019.

Sebanyak 10 janji yang perlu dipenuhi dalam tempoh 100 hari kerajaan Pakatan Harapan termasuk menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara.

Pada masa ini, gaji minimum di Malaysia adalah RM1,200 bagi sektor awam dan RM1,000 bagi sektor swasta.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam sidang akhbar pembentangan Laporan Tahunan 2017 BNM pada 28 Mac lalu menganggarkan gaji bulanan yang sepatutnya di Kuala Lumpur adalah antara RM2,700 bagi yang masih bujang, RM4,500 untuk pasangan tanpa anak dan RM6,500 pula bagi pasangan dengan dua anak.

Menurut laporan itu, anggaran gaji kehidupan wajar untuk ketiga-tiga kategori tersebut adalah di bawah pendapatan median di Kuala Lumpur sebanyak RM9,738 dengan 27 peratus isi rumah berpendapatan di bawah gaji kehidupan wajar.

Walau bagaimanapun, berbeza dengan gaji minimum, gaji kehidupan wajar merujuk kepada pendapatan yang diperlukan oleh isi rumah agar mampu memperoleh taraf hidup minimum yang boleh diterima.

Pelaksanaan gaji kehidupan wajar tidak begitu meluas dan sebahagian besarnya terbatas kepada beberapa negara maju.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan