Saifuddin: Kerajaan PH ‘lulus ujian’ tunai janji PRU

GEORGE TOWN, — Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah melepasi tahap lulus dalam usaha untuk menunaikan janjinya yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dalam tempoh 100 hari.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan komited untuk merealisasikan janji PRU14.

“Walaupun terdapat kategori yang kami berjaya laksanakan tetapi ada juga kategori dalam manifesto PRU14 yang belum dilaksanakan dan ada yang dalam proses pelaksanaan tetapi tidak sepenuhnya.
“Saya fikir rakyat boleh menerimanya,” katanya kepada pemberita mengenai tahap pencapaian PH dalam menunaikan janji manifesto PRU14.

Antara janji yang ditunaikan adalah penghapusan senarai hitam melibatkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan suri rumah dan menstabilkan harga minyak.

“Yang masih belum berjaya dilaksanakan adalah menghapuskan hutang peneroka Felda di mana kerajaan melaksanakan selepas kedudukan kewangan kerajaan kembali baik,” katanya.
Di peringkat jemaah menteri dipersetujui penubuhan sebuah jawatankuasa kabinet mengenai kos sara hidup iaitu Majlis Menangani Kos Sara Hidup.

“Majlis Menangani Kos Sara Hidup ini akan dipengerusikan timbalan perdana menteri yang bertujuan untuk melegakan kos sara hidup rakyat termasuklah kos perumahan, kos pengangkutan, bil utiliti, kesihatan, harga barang dan pendidikan,” katanya.

Saifuddin, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, berkata pemimpin Pakatan Harapan harus memberi penerangan kepada rakyat kenapa terdapat janji dalam manifesto PRU14 yang belum dilaksanakan.

“Kerajaan mesti bersikap terbuka terima teguran dalam hal ini dan kita harus ‘communicate’ dengan baik kenapa kita tidak dapat laksanakan dan tidak menyembunyi atau bersikap ‘denial syndrom’,” katanya.

Beliau berkata kekuatan kerajaan Pakatan Harapan yang berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan ini terbuka dengan teguran dan kritikan.

Terdahulu, Saifuddin memberikan Sumbangan Penghargaan Ibu Emas sebanyak RM100 kepada 954 penerima di kawasan Pantai Jerejak. — Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan