Bersih tegur calon BN, PH, PN kerana langgar etika pilihan raya


Bersih hari ini menegur calon-calon pilihan raya daripada pelbagai parti politik kerana melakukan aktiviti yang boleh dianggap sebagai kesalahan pilihan raya dan tidak menepati etika berkempen.

Dalam satu kenyataan, kumpulan reformasi pilihan raya itu turut menegur menteri sementara kerana menyalahgunakan jentera kerajaan dan melanggar konvensyen amalan kerajaan sementara selepas pembubaran parlimen dan DUN.

"Calon-calon pilihan raya, parti-parti politik, jentera kempen dan semua pihak yang terlibat termasuklah menteri-menteri sementara hendaklah berkempen dengan bersih dan mematuhi undang-undang terutamanya Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya.

Bersih berkata antara kesalahan tersebut adalah program pemberian minyak dan menukar minyak hitam motosikal secara percuma oleh BN, PN dan PH di beberapa kawasan DUN dan parlimen.

"Sebagai contoh pada 4 November, Pemuda PH Alor Gajah telah mengadakan program tukar minyak hitam percuma di Taman Vista Belimbing.

“Penyandang parlimen Pengarang, Datuk Seri Azalina Othman Said juga telah mengadakan program yang sama pada 21 Oktober 2022.

"Aktiviti ini boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya.

Selain itu Bersih berkata, DAP Pulau Pinang juga dikesan melancarkan program subsidi untuk pulang mengundi, namun telah menutup akses kepada pautan permohonan.

“Sekiranya DAP Pulau Pinang atau mana-mana parti politik yang mengadakan program yang serupa, mereka boleh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10 dan Seksyen 20 Akta Kesalahan Pilihan Raya," jelasnya.

Bersih juga mendapati calon PH di Parlimen Klang, V Ganabatirau akan mengadakan program Deepavali dan poster program tersebut menyatakan akan terdapat cabutan bertuah, yang melanggar Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

PN Muar juga juga katanya dikesan akan menganjurkan satu karnival dengan memberikan cabutan bertuah, gunting rambut percuma, pemberian minyak hitam percuma dan hadiah berupa wang tunai bagi beberapa pertandingan.

Program-program tersebut, kata Bersih, boleh menjadi satu kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Sementara itu, Bersih juga menegur calon parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin kerana menghadiri Majlis Penyerahan Peranti Komuniti di Pusat Ekonomi Digitial (PEDi) Taman Saujana Utama, Sungai Buloh bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Sementara, Annuar Musa.

"Kehadiran beliau boleh dianggap sebagai menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

"Sebelum ini Bersih telah menempelak Ismail Sabri yang mengumumkan penghapusan hutang Felcra walaupun beliau hanya perdana menteri Sementara.

"Bersih sekali lagi menekankan agar calon-calon dan parti-parti politik berkempen secara bersih dan adil, serta berdasarkan idea serta polisi yang mereka ingin tawarkan kepada rakyat untuk masa hadapan yang lebih baik," tegasnya.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan