Oleh DR ABDUL LATIFF MOHD IBRAHIM
Barangkali parti-parti politik dalam gabungan Pakatan Harapan tidak menjangka akan memenangi PRU ke-14 pada 9 Mei 2018.
Sebab itulah apabila keputusannya keluar secara amat perlahan
sepanjang malam hari sehingga ke awal pagi esoknya, 10 Mei, ia menjadi
sesuatu yang mengejutkan kerana skala kemenangan yang dicapai di
tempat-tempat yang tidak diduga sebelumnya terutama negeri Johor, Melaka
dan Negeri Sembilan.
Salah satu “kesan sampingan” kemenangan ini ialah pencarian atau
penetapan individu-individu dalam kalangan kepimpinan untuk “masuk ke
dalam kerajaan” iaitu memegang beberapa portfolio utama kerajaan sebagai
mewakili parti komponen PH tersebut.
Bukan sahaja jawatan menteri diberi perhatian tetapi jawatan-jawatan
lain juga bertujuan menyokong kementerian yang bakal menjadi tempat
pemimpin berkenaan ditempatkan.
Impak besar buat parti kecil
Hasilnya bagi parti-parti kecil dalam gabungan PH iatu Parti Amanah
Negara dan PPBM, boleh dikatakan hampir semua kepimpinan paling atas dan
sebahagian daripada peringkat pertengahan akan terpaksa beralih fokus
kepada jawatan-jawatan baru di dalam kerajaan.
Ini tidak pula termasuk ramai lagi yang akan terus berkhidmat kepada
rakyat sebagai wakil rakyat, iaitu ahli Parlimen dan juga ahli Dewan
Undangan Negeri.
Sebahagian daripada mereka juga akan menduduki jawatan Exco kerajaan di peringkat negeri.
Justeru, parti kecil seperti AMANAH agak terkesan dengan perubahan drastik politik negara ini.
Disebabkan AMANAH tidak mungkin mahu tertinggal dari segi menerima
tanggungjawab baru untuk sama-sama memimpin kerajaan, terpaksalah
pemimpin-pemimpin kanan yang utama dikemukakan kepada Perdana Menteri
bagi memenuhi jawatan Kabinet.
Bagi membantu menteri-menteri baru ini sebilangan besar aktivis dan
pemimpin pertengahan selain pembantu di pejabat parti ditarik ke
kementerian yang diterajui pemimpin AMANAH.
Kekosongan dalam pejabat parti
Dengan perkembangan ini berlakulah semacam kekosongan dalam pejabat
parti, kerana beberapa individu penting organisasi tidak lagi dapat
memberi tumpuan kepada kerja politik di pejabat parti.
Bagi sebuah parti baru seperti AMANAH, perkembangan ini bukanlah
sesuatu yang positif. Dengan keahlian yang agak terhad, tetapi mempunyai
potensi untuk berkembang lebih-lebih lagi selepas kemenangan yang
diraih dalam PRU14, ketiadaan aktivis parti yang mencukupi akan
membantut usaha melebarkan pengaruh parti dalam kalangan rakyat
Malaysia.
Selain itu, terdapat juga isu-isu pemerkasaan dalaman parti yang perlu diberi perhatian.
Namun parti seperti AMANAH “terperangkap” dalam situasi ‘Catch-22’ ini.
AMANAH masih dalam peringkat konsolidasi keahlian dan berusaha
menambahnya apabila PRU pun tiba. Cuma, semasa hampir ke tahun 2018,
yang merupakan tahun PRU14, persiapan seharusnya sudah dibuat untuk
“mengagihkan” pemimpin dan ahli kepada tanggungjawab baru yang mungkin
perlu dipikul sekiranya kemenangan berpihak kepada PH.
Hal ehwal parti terabai?
Siapa yang akan dibawa ke dalam kerajaan dan siapa pula akan terus menggerakkan parti ke tahap optimum.
Nampaknya, ini tidak terjadi. Malah selepas PRU14 juga apa yang
dikhuatiri memang terjadi apabila hampir semua pemimpin utama dan
pemimpin pertengahan parti ditarik ke dalam posisi-posisi utama
kerajaan, parti bagai hampir-hampir lumpuh.
Sekadar hidup sahaja tetapi tidak berfungsi pada kadar separuh optimum sekalipun.
Rungutan tentang isu ini sudah pun disuarakan di media sosial. Tetapi nampaknya tiada apa sangat yang berubah.
Dalam keadaan menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan aktivis
AMANAH yang berada dalam kerajaan sibuk dengan tugas dan tanggungjawab
baru, pastinya tiada banyak masa untuk urusan-urusan parti pada waktu
ini.
Mereka juga berada dalam dilema; sebabnya mereka juga terpaksa
belajar menjadi menteri, timbalan menteri dan pegawai sebuah kerajaan,
dan perlu belajar selok-belok pentadbiran kerajaan yang agak kompleks.
Dilema kerja parti dan tanggungjawab kerajaaan
Dan mereka juga sudah mula membina dan bergerak dalam persekitaran
yang baru. Dalam persekitaran ini, ia lebih menjurus kepada melihat ke
dalam, iaitu urusan-urusan dalaman kerajaan, sehingga akan timbul
persepsi bahawa kecemerlangan dalam kerja-kerja di kementerian merupakan
segala-galanya dan menjadi kayu ukur kejayaan pemimpin dan aktivis.
Walaupun ini tidak salah, tetapi sebagai pemimpin parti tentunya
urusan parti juga perlu diletak sebagai kayu ukur sama ada seseorang itu
benar-benar cemerlang.
Namun ini adalah hakikatnya. Parti memang bergerak seolah-olah berada dalam mod “auto-pilot”.
Sementara itu, gambaran yang barangkali diberikan ialah keadaan
adalah “terkawal”. Terjadi semacam sindrom pada mereka yang berada di
dalam satu persekitaran tersendiri yang bersifat lebih dominan daripada
persekitaran lain bahawa di luar sana semuanya adalah “okay”.
Terpisah dari realiti
Persepsi ini dibina daripada perspektif posisi baru itu. Hasilnya
mereka akan terpisah daripada realiti. Dan menyebabkan parti tidak
terurus.
Ia juga melambangkan sedikit sebanyak sistem pengurusan parti itu sendiri.
Hari ini kenyataan di bawah adalah parti-parti kecil dalam PH memang
sudah lumpuh dan tidak mempunyai keupayaan untuk mengerakkan kerja-kerja
bagi menangani sambutan masyarakat yang semakin bertambah kepada PH.
Bagi AMANAH, ini lebih merugikan kerana ia bangkit sebagai parti
Islam baru yang membawa gagasan “rahmatan lil alamin” yang bersifat
progresif dan inklusif.
Sementara menteri-menteri AMANAH berusaha menterjemahkannya dalam
kerajaan menerusi jawatan-jawatan mereka, adalah perlu bagi parti
sendiri melebarkan gagasan ini secara efektif dalam kalangan masyarakat
agar ia menjadi pilihan utama rakyat yang mahu beralih daripada fahaman
konservatif-ortodoks kepada Islam yang membawa kepada kemajuan dan
keunggulan ummah.
—-
Dr Abdul Latiff, bekas profesor madya, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur. Budang pengkhususan sosiologi politik.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan