3 Tahun Amanah :Harus Buka Pintu Kepada Bekas Pemimpin Pembangkang


Perkembangan mutakhir politik yang menyaksikan kerjasama politik antara UMNO dan PAS telah membuka lanskap baru politik tanahair. Kerjasama politik ini yang berpaksikan kepada ideologi ketuanan Melayu-Islam telah menimbulkan reaksi berbeza di kalangan ahli dan pemimpin kedua-dua parti. Kerjasama politik ini telah mengiyakan dakwaan ramai pemimpin Pakatan Harapan terutama Parti Amanah Negara (AMANAH) bahawa telah wujud hubungan ‘cinta baru’ antara kedua-dua parti itu.

2. Cinta baru ini yang telah mewujudkan perpecahan dalam PAS dan membawa kepada penubuhan AMANAH dan perpecahan Pakatan Rakyat. Justeru, kewujudan AMANAH telah berjaya menyelamatkan koalisi pakatan pembangkang sebelum ini dengan penjenamaan baru ‘Pakatan Harapan’. Penubuhan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah menyuntik kekuatan tambahan kepada perjuangan rakyat menumbangkan Barisan Nasional pada 9 Mei 2018. Walaupun AMANAH dan PPBM mempunyai jumlah kerusi yang lebih kecil di dalam Pakatan Harapan, namun sumbangan besar kedua-dua parti inilah yang berjaya mengangkat Pakatan Harapan sebagai kerajaan baru pimpinan Tun Mahathir Mohamad.

3. Dengan kemenangan 11 kerusi Parlimen dalam Pru ke-14 yang lalu dan 10 jawatan dalam menteri kabinet, ia merupakan satu kejayaan dan pencapaian yang besar bagi sebuah parti yang hanya berusia 3 tahun. Pencapaian ini sudah pasti hasil kolaborasi usaha gigih ahli amanah samaada di lapangan atau sosial media dan strategi bijak pemimpinnya. Namun, AMANAH tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan itu dan harus bergerak lebih aktif dan efisyen bagi meluaskan pengaruh dan sentiasa berada di dalam mainstream politik tanahair.

4. Konsep ‘houlier than thou’ mesti dibuang dari benak pemikiran ahli dan pemimpin AMANAH. AMANAH harus membuka pintu dan bersedia menerima kemasukan mana-mana ahli dan pemimpin pembangkang termasuk Ahli Parlimen yang kini UMNO dan PAS. AMANAH harus bijak mengambil peluang di atas ketidakpuashatian mereka kepada halatuju baru UMNO-PAS sekarang. Konsep ‘rahmatan lil alamin’ yang diperjuangkan AMANAH akan diangkat sebagai suatu ideologi baru merentasi perbezaan kaum dan fahaman politik jika dasar inklusif dan progresif ini benar-benar diimplementasikan.

5. Kemasukan mereka tidak akan mengubah dasar perjuangan AMANAH, sebaliknya mereka akan memahami dan bersama-sama mengangkat dasar perjuangan AMANAH. Dasar tadbir urus baik dan integriti tetap menjadi tunjang pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. Kemasukan mereka tidak merosakkan amalan demokrasi kerana bukannya bertujuan menjatuhkan kerajaan. Ia juga suatu amalan yang dibenarkan demokrasi dan undang-undang di mana ‘anti-hopping law’ diputuskan tidak berperlembagaan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan v. Nordin Salleh.

6. Kemasukan mereka ke dalam AMANAH juga akan memberikan dimensi baru kepada AMANAH dan seterusnya menguatkan parti ini. Pengajaran daripada kisah Abu Sufian memeluk Islam dalam ‘fathul Makkah’ telah menguatkan perjuangan Islam ketika itu. Sebagai sebuah parti politik, AMANAH harus bergerak mengikut kehendak masa dan massa selagi mana tidak tergelincir dari orbit perjuangannya. Politik harus berpaksikan relativism dan bukannya absolutism, realis mengatasi idealis. AMANAH perlu mencari ruang dan peluang baru untuk sentiasa relevan di mata rakyat. Politik adalah ‘art of possible’. AMANAH perlu berubah untuk mengubah.

SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN KETIGA AMANAH
FAIZ FADZIL
TIMBALAN KETUA PEMUDA AMANAH

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan