Oleh Amran Ahmad Nor
Berdasarkan tujuh ikrar Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam tempoh 100
hari pertama selepas mengambil alih Putrajaya, eloklah dikupas kesannya
terhadap ekonomi Malaysia dari segi makro dan mikro yang akhirnya bakal
memberi impak kepada rakyat jelata dalam jangka masa panjang.
Antara ikrar yang bakal dilaksanakan segera itu ialah menghapuskan
cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menstabilkan harga petrol,
memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat dan memulakan proses
reformasi institusi secara menyeluruh.
Tiga
ikrar lain pula ialah memerangi rasuah hingga ke akar umbi,
menubuhkan
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) skandal 1MDB dan memulihkan Lembaga
Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Tidak susah untuk memahami bahawa isu-isu tersebut akan terus
dicanang HARAPAN menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana ia
menyentuh denyut nadi rakyat yang dahagakan perubahan dan memerlukan
kerajaan yang lebih baik setelah Barisan Nasional gagal untuk
menyelesaikannya.
Kesan makro
Dari segi makro, tindakan HARAPAN dalam melaksanakan ikrar tersebut
akan menjurus kepada lonjakan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ekoran
kerancakan aktiviti perniagaan di peringkat dalaman dan luaran serta
peningkatan tahap keyakinan masyarakat tempatan dan pelabur luar
terhadap ekonomi negara.
Maknanya, rakyat negara ini akan lebih yakin untuk membuka
perniagaan, pelabur asing lebih teruja untuk memasuki pasaran tempatan
ekoran pasaran yang lebih stabil dan kemampuan berbelanja yang lebih
baik bagi rakyat tempatan serta golongan profesional luar yang datang
bekerja di negara ini.
Kedua,
berbanding dengan amalan Barisan Nasional dalam perkiraan KDNK yang
bakal disusuli dengan kenaikan harga, ikrar HARAPAN itu akan menyebabkan
penurunan kadar inflasi setelah GST dihapuskan selain pendekatan
menstabilkan harga petrol dan adanya usaha-usaha ke arah meringankan
beban rakyat.
Sebelum ini, RAM Rating Services Bhd yang menyemak naik unjuran
pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 5.2 peratus tahun ini turut menaikkan
unjuran inflasi bagi tahun ini kepada 3.8 peratus daripada 3.0 peratus
pada asalnya.
Ini bermakna, pertumbuhan KDNK di bawah kerajaan BN bukan suatu
berita gembira kepada rakyat kerana bakal disusuli dengan peningkatan
harga barangan dan perkhidmatan secara tidak terkawal.
KDNK dan inflasi
Ketiga, apabila KDNK menunjukkan trend kenaikan dan kos sara hidup di
Malaysia menjadi stabil, ia akan menarik pelaburan luar terutama
daripada gergasi-gergasi ekonomi dunia seperti China, India, Amerika
Syarikat, Arab Saudi dan Turki yang semakin yakin mengenai ketelusan
kerajaan serta indeks rasuah yang semakin menurun.
Keempat, kawalan kerajaan dalam menguruskan kos sara hidup juga akan
lebih terjamin dengan ketiadaan GST yang bukan sahaja memeritkan
golongan rakyat yang hampir 90 peratus terdiri daripada golongan pekerja
malah para peniaga yang turut terhimpit dan mengalami pengurangan
keuntungan akibat pelaksanaan cukai tersebut.
Kesan
kelima pula ialah pentadbiran kerajaan akan lebih telus dengan
Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) akan melapor terus di Dewan Rakyat
mengenai aktivitinya sejajar dengan kepentingan syarikat tersebut
sebagai tulang belakang ekonomi negara.
Pengagihan ekonomi daripada perniagaan Petronas juga akan lebih adil
dengan tiada lagi campur tangan politik yang keterlaluan untuk memberi
peluang berkali-kali kepada pedagang yang sama untuk membuka lebih dari
satu stesen minyak di bawah satu individu.
Lebih dari itu, semua pihak dapat mengetahui jumlah dana yang
terdapat dalam kantung Petronas dan ke mana ianya dibelanjakan dan
bukannya seperti sekarang dengan hanya perdana menteri berhak untuk
mengetahui dana firma petroleum milik negara itu.
Kesan mikro
Dari segi mikro pula, ikrar HARAPAN tersebut mampu untuk merancakkan
pertumbuhan industri terutama berskala kecil dan sederhana selain dengan
tiada monopoli dalam industri utama.
Bayangkan betapa lebih banyak syarikat yang akan muncul jika lebih
ramai usahawan dibenarkan untuk mengedarkan barangan asas seperti gula,
beras, minyak masak, sayur-sayuran dan banyak lagi selain munculnya
lebih banyak peluang pekerjaan ekoran ketumbuhan tersebut.
Persaingan
antara pedagang tersebut juga akan menekan harga agar menjadi lebih
murah seperti mana yang berlaku kepada industri penerbangan negara
setelah adanya AirAsia Berhad kerana sebelum itu, menaiki pesawat hanya
menjadi kemampuan golongan berada sahaja.
Kesan keenam, ekoran proses reformasi institusi secara menyeluruh
termasuk ekonomi, Malaysia juga akan menyaksikan penghapusan sistem
permit import (AP) yang bukan sahaja meningkatkan bilangan usahawan
pelbagai sektor malah menjadikan pengagihan ekonomi secara lebih adil
antara semua kaum kerana sistem tersebut bukan sahaja tidak adil kepada
mana-mana kaum termasuk Melayu sendiri selama ini.
Selama ini, ramai usahawan kecil Melayu turut mengeluh apabila sistem
disalah guna oleh para taikun yang mempunyai pengaruh politik ke atas
pihak tertentu dengan membolot sebahagian besar AP yang diberikan
kerajaan sehingga menyebabkan usahawan lain terpaksa 'meminta sedekah'
hanya untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.
Limpahan IKS
Ketujuh, dengan tumbuhnya lebih banyak industri kecil dan sederhana,
kesan limpahan tersebut bukan sahaja membantu lebih ramai rakyat negara
ini merasai manfaat dari segi peluang pekerjaan dan pendapatan
sampingan, malah ia turut menambah pendapatan kerajaan menerusi kutipan
cukai perniagaan yang lebih besar.
Kelapan,
pelan pemulihan yang dinantikan oleh lebih 110,000 peneroka Felda yang
rata-ratanya berbangsa Melayu agar institusi keramat yang turut
melambangkan maruah orang Melayu di negara ini akan kembali stabil
setelah diberikan nafas baru dengan aktiviti perniagaan lebih berdaya
maju serta kebertaruhan pengurusan lebih dinamik lagi berintegriti.
Selain itu, kesan kesembilan ikrar tersebut ialah harga perumahan
dalam semua skala dan paras harga akan turun ke paras mampu dimiliki
dengan pengurangan secara drastik aktiviti rasuah yang selama ini
berlaku secara berleluasa dalam semua peringkat termasuk pemberian tanah
untuk pembangunan dan kontrak kerajaan.
Akhir sekali, ekonomi Malaysia akan lebih telus, terbuka dan diyakini
setelah sebuah RCI diwujudkan bagi merungkai ibu kepada segala skandal
ekonomi yang melanda dunia bernama 1MDB yang bukan sahaja diperkatakan
oleh rakyat negara ini tetapi juga penglibatan banyak negara luar untuk
mengadilinya.
Semoga rampasan harta yang sedang dilakukan Jabatan Keadilan (DOJ)
Amerika Syarikat dapat membantu menambah pendapatan negara bagi
melangsaikan hutang keseluruhan kerajaan Persekutuan seperti yang
dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016.
AMRAN AHMAD NOR adalah lulusan sarjana pentadbiran
perniagaan (MBA) dari universiti di United Kingdom (UK) selain bekas
wartawan meja ekonomi akhbar arus perdana. Pernah menjawat pengerusi
Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu dan masih
menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas naib pengerusi DAP
Kebangsaan.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan