Umno dan Pas bakal menjadi pembangkang untuk tempoh 61 tahun lagi,
sekiranya gabungan dua parti terbesar orang Melayu dan Islam itu
benar-benar berlaku, kata penganalisis politik Dr Mazlan Ali.
Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam Fakulti Perdana,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, terdapat lima faktor
mengapa gabungan Umno dan Pas itu akan menguntungkan Pakatan Harapan dan
bakal menghancurkan Umno-Pas.
Beliau berkata faktor pertama akan berlaku peralihan orang Melayu dan
faktor keduanya di mana parti-parti di Sabah dan Sarawak menyokong
perjuangan Pakatan Harapan.
“Orang bukan Melayu terutama kaum Cina sangat takut kepada Pas. Pas
dilihat sebuat parti yang ekstrem dan tidak boleh berunding dalam
keabsahan perjuangannya mahu menubuhkan negara Islam dan melaksanakan
hukum hudud.
“Keputusan PRK Balakong menunjukkan MCA kehilangan sepenuhnya
sokongan dari masyarakat Cina walaupun parti itu cuba menjarakkan diri
dari Umno dan Pas, namun kehadiran pemimpin Pas dipentas MCA memberi
gambaran buruk di kaca mata masyarakat Cina.
“Parti-parti di Sabah dan Sarawak pula akan lari kepada Pakatan
Harapan ekoran kekalahan BN pada PRU14 yang lalu. Banyak komponen BN di
Sarawak dan Sabah mula meninggalkan atau menjarakkan diri daripada BN
secara beransur.
“Suasana hubungan dan toleransi agama yang tinggi di Sabah dan
Sarawak amat bertentangan dengan cara dan pendekatan Umno-Pas yang suka
bermain dengan isu agama dan perkauman.
“Gabungan Umno-Pas yang kelihatan semakin serasi dengan isu agama dan
kaum akan mendorong parti dari Sabah dan Sarawak bakal meninggalkan
terus BN dan bersekutu dengan PH yang dilihat lebih bersifat toleransi
dan demokrasi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Faktor ketiga katanya, lagi, jika gabungan itu berlaku,Umno-Pas akan menjadi parti yang berasaskan luar bandar.
Ini kerana isu-isu yang menjadi tumpuan Umno-Pas sekarang lebih
menarik minat segmen pengundi Melayu yang banyak mendiami
kawasan-kawasan luar bandar.
Isu-isu kaum dan agama kurang disenangi oleh masyarakat bandar yang lebih berpendidikan.
Ini bakal menyebabkan pengaruh Umo-Pas ujarnya lagi akan merosot di
kawasan bandar, sebaliknya sokongan terhadap mereka hanya tertumpu di
luar bandar.
Lantas keadaan itu akan memungkinkan membawa kepada faktor keempat,
iaitu sokongan terhadap Umno-Pas tertumpu kepada Melayu luar bandar.
“Hanya Melayu luar bandar/desa/felda sahaja yg tertarik dengan isu
yang menjadi teras perjuangan Umno-Pas mutakhir ini. Kebergantungan
terhadap pengundi luar bandar sahaja tidak mungkinkan Umno-Pas mampu
menawan Putrajaya,” ujarnya.
Dan faktor kelima, sekiranya Umno-Pas bergabung, beliau menyebut PH
pastinya akan menikmati sokongan bersifat rentas kaum, sesuatu yang BN
nikmati sejak sekian lama dulu.
“Peluang PH mengekalkan kuasa semakin meluas apabila kolisi itu mula
mendapat sokongan bersifat rentas kaum, sebaliknya Umno-Pas bakal
mendapat sokongan satu kaum sahaja.
“Dulu BN mampu mengekalkan kuasa selama 61 tahun disebabkan sokongan
rentas kaum yang diterimanya, tetapi hari ini keadaan sudah berbeza di
mana giliran PH pula mendapat sokongan semua kaum,” terangnya dalam
kenyataan itu.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan