Mahathir rancang malukan lima negara supaya serahkan kuasa veto

NEW YORK, — Beberapa jam selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-73, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beliau merancang untuk memalukan “lima negara kuasa besar” dalam PBB agar menyerahkan kuasa veto mereka.

“Lima kuasa besar” itu merujuk kepada negara-negara anggota tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. dan mempunyai kuasa veto. Mereka ialah Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Russia dan China.

Selepas kembali semula di PBB setelah 15 tahun, beliau menyatakan rasa kecewa dengan PBB kerana gagal untuk membawa reformasi terhadap sistem veto itu.

“Saya berharap dapat memalukan mereka sehingga melepaskan kuasa veto mereka. Masyarakat hendaklah memberitahu mereka ia adalah amat tidak demokratik,” katanya kepada media Malaysia di sini, Jumaat.

Dr Mahathir berkata, kuasa besar di PBB tidak layak untuk bercakap mengenai perubahan rejim di negara lain “jika anda sendiri tidak boleh berikan kami sedikit demokrasi dalam sebuah badan antarabangsa.”

“Ia suatu yang tidak elok, ia hipokrit. Pada satu pihak anda kata mereka semua mesti demokratik, dan anda menyebabkan perubahan rejim dan begitu banyak peperangan sivil untuk mempertahankan demokrasi.

“Tetapi di sini, apa yang perlu anda lakukan hanyalah serahkan kuasa veto anda tetapi tidak gembira untuk melakukannya,” katanya.

Dr Mahathir ditanya mengenai harapan beliau selepas menyampaikan gesaan terbaru beliau agar sistem veto PBB diperbaharui.

Dr Mahathir mencadangkan agar veto itu bukan setakat oleh satu anggota tetap sahaja tetapi sekurang-kurangnya dua dan disokong oleh tiga anggota tidak tetap Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung itu pula menyokong keputusan itu dengan majoriti mudah.

Sebelum ini, Dr Mahathir membuat gesaan yang seumpama apabila beliau menghadiri Perhimpunan Agung PBB pada 2003.

Hari ini, beliau mengakui bahawa situasi dunia kini semakin teruk.

“Banyak perkara menjadi semakin teruk. Pada 2003 tidak ada peperangan di Timur Tengah meskipun terdapat hanya perang Iraq tetapi tidak merebak luas. Kini kita menyaksikan perang di Yemen, Syria dan keseluruhan masalah mengenai rakyat Palestin dinafikan hak di negara mereka sendiri  masih berlaku, dan ia agak buruk.

“Dunia nampaknya tidak mempunyai sebarang arah tuju sebenar. Pada mula, bila mereka membentuk PBB ia adalah untuk mengawal peperangan. Namun Eropah dan Amerika Utara nampak seperti mengelakkan peperangan yang serius di Tengah Asia, jadi saya tidak berpendapat kita telah belajar untuk hidup bersama.

Dr Mahathir berkata beliau bingung bahawa negara-negara berkenaan kelihatan tidak lagi mahu bekerjasama.

“Mereka sebelum ini mahu bersatu padu dan bekerjasama tetapi sekarang ini berpecah belah.

“Kesatuan-kesatuan serantau kini amat lemah. Nafta (Kawasan Perdagangan Bebas Amerika Utara) tidak lagi berfungsi. Kesatuan Eropah (EU) berpecah dengan Britain bertindak keluar. Malahan  dalam kalangan anggota yang selebihnya dalam EU kelihatan tidak ada kesepakatan dalam idea dan tindakan.

Ditanya mengenai dasar luar Malaysia baru di bawah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Dr Mahathir berkata: “Dasar luar Malaysia mudah. Kami mahu berbaik kepada semua tetapi mengekalkan hak kami untuk menyuarakan pandangan kami. Jadi ada sesetengah perkara saya perkatakan mungkin  diterima baik tetapi saya perlu katakannya dengan jelas bahawa itulah pendirian Malaysia.

“Saya berharap saya tidak memalukan sesiapa, tidak jika anda perlu bercakap benar, anda perlu bercakap perkara yang mungkin tidak sedap didengar oleh sesetengah  pemimpin  tetapi jika saya perlu katakannya, saya akan katakannya,” kata beliau.

Dr Mahathir juga membayangkan bahawa Malaysia akan mencontohi perlembagaan Jepun yang menghalang mereka terlibat dalam peperangan.

Beliau berkata, pindaan kepada perlembagaan itu akan dibuat bagi menghalang tentera daripada  dihantar di mana-mana tempat berlakunya konflik.

“Jepun adalah satu-satunya negara yang tidak mahu terlibat dalam peperangan agresif. Jepun perlu pertahankan diri sendiri jadi tenteranya dikenali sebagai pasukan pertahanan.

“Kami bercadang untuk mengikuti perlembagaan terkini Jepun bagi mengelak kami daripada  pergi berperang,” katanya.

Lawatan kerja lima hari Dr Mahathir ke New York berakhir hari ini.

Perdana Menteri dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dijadual berlepas dari sini hari ini (Sabtu 10 pagi masa New York) ke London untuk meneruskan siri kedua lawatan kerja beliau dari 29 Sept-1 Okt sebelum pulang ke tanah air.

Dr Mahathir melawat Britain dari 21-25 Sept semasa sesi pertama lawatan. — Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan