Politik Pas yang membawa perpecahan kepada orang Melayu dan bukannya agama Islam, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya perbuatan Pas itu tidak boleh dimaafkan di mana sebelum ada parti tersebut, orang Melayu tidak berpecah kerana agama.
“Hanya apabila PAS ditubuh barulah orang Melayu berpecah dan terpisah
kepada dua puak yang bermusuh ketat. Perpecahan ini jugalah yang
melemahkan orang Melayu. Demikianlah kelemahan orang Melayu sehingga Pas
juga terpaksa meminta pertolongan orang-orang ‘kafir’,” katanya
menerusi catatan di blog Chedet semalam.
Bagaimanapun, beliau berkata Pas mendakwa parti itu tidak jadi
‘kafir’ meskipun bekerjasama dengan parti ‘kafir’ kerana kerjasama
tersebut adalah “Tahaluf Siyasi”.
“Apa dianya Tahaluf Siyasi jika diterjemah ke Bahasa Melayu Maknanya
ialah “kerjasama politik” dan ini adalah sama dengan apa yang dilakukan
oleh Umno apabila bekerjasama dengan MCA dan MIC,” katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata bahasa Arab (Bahasa al-Quran)
jelas diguna untuk mengislamkan kerjasama PAS dan orang ‘kafir’.
Beliau berkata penerimaan ajaran pemimpin dan parti lebih utama
daripada ajaran Islam di kalangan anggota Pas dan oleh demikian mereka
sanggup bermusuh dengan orang Islam lain walaupun al-Quran menyebut
bahawa orang Islam itu bersaudara.
“Kerana sikap inilah orang Islam (Melayu) di Malaysia berpecah sehingga sekarang,” tambah beliau.
Dr Mahathir berkata ramai lagi anggota parti itu yang masih taksub
dengan PAS dan ajarannya walaupun sebahagian anggota sudah meninggalkan
PAS.
“…dan perpecahan yang mendalam di kalangan orang Melayu adalah
berterusan. Dia akan berterusan selagi Pas menyalahtafsir dan
menyalahguna ajaran Islam.
“Inilah sebabnya yang saya tentang Pas,” kata perdana menteri.
Dr Mahathir berkata jelas bahawa Pas memecahbelahkan orang Melayu
Islam dengan amat mendalam dan sehingga ke hari ini, masih ada
sembahyang berjemaah berasingan di masjid yang sama.
Beliau turut berkata tiada ulama di Malaysia yang berani mendakwa
bahawa pengkafiran orang bukan Pas adalah salah dan tidak menepati
ajaran Islam.
“Pegawai-pegawai pemerintah yang bertanggungjawab berkenaan agama Islam juga membisu seribu bahasa,” tambah beliau.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan