Oleh Tun Mahathir
1. Orang PAS amat marah kepada saya. Selain dari mendakwa saya kafir,
penyokong PAS tidak langsung sanggup mendengar kritik saya terhadap
PAS. Saya percaya sebarang pendapat saya tidak akan dibaca oleh orang
PAS termasuklah rencana ini. Tetapi saya harap mereka yang tidak fanatik
terhadap PAS akan baca. Terpulanglah kepada pembaca samada menerima
atau menolak pendapat saya.
2. Sesungguhnya orang Melayu dahulu tidak bermasalah berkenaan
pegangan mereka kepada agama Islam yang semua mereka anuti. Mereka
semuanya berpegang kepada tafsiran dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah
(Sunni) dan berimam dengan Imam Shafie.
3. Mereka juga tidak menolak ajaran tiga lagi Imam Sunni, iaitu Maliki, Hambali dan Hanafi.
4. Oleh kerana semua orang percaya dan pegang kepada ajaran dan
tafsiran yang sama, mereka tidak berpecah dan berpuak-puak. Sudah tentu
mereka tidak bermusuh sesama mereka seperti yang berlaku antara Sunni
dan Syiah di beberapa negara Islam. Di banyak negara Islam permusuhan
disebabkan tafsiran yang berlainan berlaku sepanjang masa sehingga
mereka berpuak-puak dan kerapkali mereka berperang pun.
5. Tetapi di Malaysia, walaupun dahulu ada ajaran yang berlainan,
umpamanya kaum muda dan kaum tua, kumpulan Hj. Ahmad Matahari, dan
lain-lain, tetapi tidaklah sampai kepada permusuhan dan perpecahan yang
teruk. Sesungguhnya orang Melayu Islam bersaudara dan mengamalkan ajaran
Islam yang sama. Mereka bersatu padu sebagai orang Islam sehingga
bangsa Melayu dikaitkan dengan agama Islam. Dalam perlembagaan pun
tafsiran orang Melayu ialah orang yang berbahasa Melayu, beradat
istiadat Melayu dan beragama Islam. Jika seseorang itu tidak Islam maka
ia tidaklah Melayu, walaupun bahasa ibunda mereka adalah bahasa Melayu.
6. Keadaan persaudaraan orang Melayu Islam ini kukuh sehingga dengan
mudah mereka bersatu padu diwaktu menentang rancangan British untuk
menakluk negeri-negeri Melayu secara langsung melalui Malayan Union.
Demikianlah rapatnya perpaduan orang Melayu sehingga British yang baru
sahaja menang perang, terpaksa tunduk kepada tuntutan orang Melayu.
British mengakui kekuatan orang Melayu dan mengiktiraf parti yang
mengalahkan Malayan Union dengan memberi hak kepada pemimpin mereka,
Tunku Abdul Rahman menamakan calon-calon badan perundangan seperti
Federal Legislative Council dan State Council (Dewan Undangan
Negeri-negeri) dalam Persekutuan Tanah Melayu yang mengganti Malayan
Union pada 1948.
7. Dalam parti UMNO pada masa itu terdapat semua aktivis Melayu dari
yang berpelajaran Melayu, Inggeris dan yang berpelajaran agama. Mereka
yang berpelajaran agama dikenali sebagai “ulama UMNO”.
8. Apabila British memberi hak kepada Tunku Abdul Rahman, Yang
DiPertua UMNO menamakan calon, Tunku telah pilih pemimpin UMNO yang
berpengalaman dalam bidang pentadbiran. Hampir semua dari mereka ini
berpelajaran Inggeris. Yang berpelajaran agama, “ulama” hampir tidak
dipilih sama sekali.
9. Maka kecewalah pemimpin yang berlatar belakang agama. Hasilnya
ialah desakan untuk keluar UMNO dan menubuh Pan Malayan Islamic Parti
(PMIP). Kemudian namanya dialih kepada PAS, Parti Islam SeMalaya.
10. Orang Melayu semuanya memang kuat pegangan mereka kepada agama
Islam. PAS berharap dengan kaitan parti kepada agama Islam maka akan
berjayalah PAS dalam pilihan raya.
11. British mencadang diadakan PRU pada 1955 untuk 52 dari 98 kerusi
Federal Legislative Council. Bantahan oleh UMNO supaya semua 98 kerusi
ditandingi ditolak. Pendapat British ialah tidak mungkin mana-mana parti
memenangi lebih dari separuh, iaitu 50, untuk mengambil alih Kerajaan
dari British.
12. Dalam PRU itu isu utama ialah kemerdekaan. Sementara UMNO dalam
Perikatan tuntut kemerdekaan selepas PRU, PAS mendakwa Malaya belum
layak mendapat kemerdekaan.
13. Hasilnya ialah kemenangan besar Perikatan. Dengan Perikatan
mendapat 51 kerusi, British terpaksa beri kepada Perikatan, pimpinan
Tunku Abdul Rahman, home rule atau Pemerintahan Dalaman. Hanya
Kementerian Luar dan Pertahanan sahaja dikuasai oleh British. Maka
bermulalah perjuangan untuk kemerdekaan secara bersungguh-sungguh.
14. PAS memenangi hanya satu kerusi. Jelas penolakan kemerdekaan
merugi PAS. Maka bermulalah Agama Islam diperalatkan sepenuhnya untuk
menarik sokongan orang Melayu.
15. PAS mendakwa bahawa orang yang bekerjasama dengan orang kafir
menjadi kafir. Oleh kerana UMNO bekerjasama dengan orang Cina (Buddhist)
dan India (Hindu) dalam Perikatan, maka PAS mendakwa orang UMNO tidak
Islam, orang UMNO kafir.
16. Akibatnya ialah orang Melayu bukan PAS yang semuanya beragama
Islam dan mengikut ajaran yang sama, iaitu ajaran Ahlul Sunnah Wal
Jamaah, berimam dengan Imam Shafie, tiba-tiba dikafirkan. Perpecahan
yang teruk dan mendalam berlaku.
17. Orang PAS tidak pun boleh bersama dengan orang UMNO, kenduri
orang UMNO diboikot oleh orang PAS. Perkahwinan antara orang PAS dan
UMNO tidak boleh diadakan. Mereka tidak boleh sembahyang bersama, tidak
boleh diimamkan dengan imam yang sama. PAS sembahyang dengan lain imam
di masjid dan mendirikan masjid berasingan dari orang UMNO.
18. Ada juga yang berpendapat perkahwinan ibu bapa mereka tidak sah dan ibu bapa mereka yang tidak jadi ahli PAS adalah kafir.
19. Kemudian Hj Hadi sebagai seorang dari pemimpin PAS telah
mengeluarkan “Amanat” yang secara langsung mendakwa bahawa pemerintahan
Barisan Nasional pimpinan UMNO adalah kafir. Pejuang-pejuang yang
melawan Kerajaan UMNO/BN, jika mati, mereka mati syahid.
20. Dengan kepercayaan kepada amanat Hadi, pengikut Ibrahim Libya
telah serang dan membunuh empat orang anggota polis. Dalam pertempuran
antara polis dan pengikut Ibrahim Libya, 14 orang pengikutnya dan dia
sendiri terbunuh.
21. Maka PAS pun dakwa pengikut Ibrahim yang mati adalah syahid. Mereka dikebumi sebagai syahid tanpa dimandi.
22. Adalah jelas bahawa PAS memecah belah orang Melayu Islam dengan
amat mendalam. Sehingga ke hari ini masih ada sembahyang berjemaah
berasingan di masjid yang sama.
23. Tiada ada ulama di Malaysia yang berani mendakwa bahawa
pengkafiran orang bukan PAS adalah salah dan tidak menepati ajaran
Islam. Pegawai-pegawai pemerintah yang bertanggungjawab berkenaan agama
Islam juga membisu seribu bahasa.
24. Inilah perbuatan PAS yang tidak boleh dimaaf. Sebelum adanya PAS
orang Melayu tidak berpecah kerana agama. Hanya apabila PAS ditubuh
barulah orang Melayu berpecah dan terpisah kepada dua puak yang bermusuh
ketat. Perpecahan ini jugalah yang melemahkan orang Melayu. Demikianlah
kelemahan orang Melayu sehingga PAS juga terpaksa meminta pertolongan
orang-orang kafir. Tetapi apabila PAS bekerjasama dengan parti kafir,
PAS dakwa mereka tidak jadi kafir.
Sebab kononnya, kerana kerjasama PAS
dengan orang kafir adalah “Tahaluf Siyasi”. Apa dianya Tahaluf Siyasi
jika diterjemah ke bahasa Melayu. Maknanya ialah “Kerjasama politik” dan
ini adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh UMNO apabila bekerjasama
dengan MCA dan MIC. Jelaslah bahawa Bahasa Arab (Bahasa Quran) diguna
untuk mengIslamkan kerjasama PAS dan orang kafir.
25. Dikalangan ahli PAS, penerimaan ajaran pemimpin dan parti lebih
utama dari ajaran Islam. Sebab itu walaupun Al Quran menyebut bahawa
orang Islam itu bersaudara, ahli PAS sanggup bermusuh dengan orang Islam
lain kerana ajaran oleh pemimpin PAS. Kerana sikap inilah orang Islam
(Melayu) di Malaysia berpecah sehingga sekarang. Bukan Islam yang
memecah orang Melayu tetapi politik PAS yang membawa perpecahan kepada
mereka.
26. Walaupun sebahagian dari ahli PAS sudah tinggal PAS tetapi ramai
dari ahli PAS yang masih taksub dengan PAS dan ajarannya. Dan perpecahan
yang mendalam dikalangan orang Melayu adalah berterusan. Dia akan
berterusan selagi PAS menyalahtafsir dan menyalahguna ajaran Islam.
27. Inilah sebabnya yang saya tentang PAS.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan