Oleh Hayar Hassan
Seusai berlalunya Pilihan Raya Kecil(PRK) Seri Setia dan Balakong,
pengundi-pengundi Parlimen Port Dickson (P132) pula akan menghadapi PRK.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) merancang untuk menurunkan Datuk Seri Anwar
Ibrahim (DSAI) sebagai calon Pakatan Harapan(PH).
PKR berpandangan sudah sampai waktunya DSAI berada di Parlimen
sebelum mengambil tugas dan tanggungjawab sebagai bakal Perdana Menteri
ke-8. Menurut Perlembagaan Malaysia, Perdana Menteri hendaklah seorang
daripada Ahli-Ahli Parlimen Malaysia. Suka atau tidak, DSAI wajib
menjadi Ahli Parlimen Malaysia dahulu, sebelum boleh berangan-angan
untuk memegang jawatan Perdana Menteri ke-8. Ini adalah fakta, bukannya
auta.
Ini adalah PRK ke-3 yang melibatkan DSAI. Banyak pihak yang
mempertikaikan kewajaran diadakan PRK P132. PRK Langkah Kajang dan
Permatang Pauh beberapa tahun lalu masih segar dalam ingatan kita.
Pastinya PRK terbaru ini akan mengundang kontroversi dan polemik
daripada semua rakyat, terutamanya daripada politikus-politikus
parti-parti pembangkang. Masing-masing punya hujah dan alasan.
Apapun
kita difahamkan bahawa PKR telah mendapat restu dan persetujuan
rakan-rakan komponen dalam Pakatan Harapan(PH) untuk mengadakan PRK P132
ini.
Di samping PRK Parlimen Port Dickson, ahli-ahli PKR juga akan
terlibat dalam pemilihan barisan pimpinan baru PKR. Kelihatannya PKR
sentiasa akan mewarnai berita-berita politik semasa tanah air. Begitulah
resam parti-parti politik dan politikus-polikusnya, sentiasa
berpolitik, bercakap dan bertindak semuanya berkisar kepada politik
tanah air tercinta ini. Apapun itulah faktanya. Penamaan calon PRK P132
adalah pada hari Sabtu ini, 29 September 2018. Hari mengundi pula adalah
pada 13 Oktober 2018, hari Sabtu juga.
Seperti yang telah dimaklumkan, calon PH adalah Datu Seri Anwar
Ibrahim daripada PKR. Sebelum ini pula Umno, MIC dan MCA, parti-parti
yang masih bergabung dalam Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan untuk
tidak meletakkan calon mereka. BN seolah-olah ingin memboikot PRK P132
ini dengan alasan bahawa ia adalah PRK yang membazir dan sesuatu yang
dipaksakan kepada pengundi-pengundi Parlimen Port Dickson.
Memang benar mereka terpaksa sekali lagi turun untuk mengundi hanya
selepas lima bulan mengundi dalam PRU ke-14 tempoh hari. Apatah lagi
kekosongan kerusi Parlimen P132 ini bukanlah kerana kematian Ahli
Parlimennya seperti Dun-Dun Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. Ia
diadakah hanya sekadar untuk membolehkan DSAI kembali menjadi seorang
Ahli Parlimen Malaysia, sekali gus membolehkan beliau menjadi calon
Perdana Menteri Malaysia ke-8 ! Itulah strategi PKR untuk bakal Presiden
baru mereka.
Terkini, Pas telah mengumumkan Mohd Nazari Mokhtar, pesara anggota
Tentera Udara Malaysia berpangkat Leftenan Kolonel sebagai calon untuk
memeriahkan pesta demokrasi PRK P132 – Port Dickson, walaupun sebelum
ini Pas seolah-olah ingin turut serta juga memboikot PRK P132 ini.
Nampaknya strategi dan pencak silat Pas dalam politik boleh juga
berubah-ubah, fleksibel menurut keperluan semasa! Apapun kita tunggulah
hari penamaan calonnya nanti. Pengumuman tentang hal ini disampaikan
sendiri oleh Timbalan Presiden Pas. Oleh yang demikian ahli-ahli Pas
hendaklah akur saja terhadap keputusan pimpinan Pas Pusat! Tidak
bersetuju kepada keputusan parti bererti tidak wala’ kepada pimpinan
ulamak. Difahamkan juga mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri
Isa Samad akan turut serta sebagai calon bebas.
Suatu yang menarik berkaitan PRK P132 ini adalah kenyataan Pengerusi
PH dan juga Perdana Menteri Malaysia ke-7, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad
berkata beliau tidak akan turun berkempen untuk memenangkan DSAI.
Alasannya, seperti kelaziman sebelum inipun, semasa beliau menjawat
jawatan Perdana Menteri ke-4 dahulu, beliau tidak pernah turut berkempen
dalam sebarang PRK.
Alasannya beban kerja-kerja beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia
sekarang ini teramat banyak. Beliau perlu menumpukan seluruh masa, buah
fikiran serta tenaga beliau untuk memulihkan kepincangan ekonomi dan
pentadbiran kerajaan terdahulu. Walau bagaimanapun Tun Dr Mahathir
Mohamad tetap menyokong serta mendukung DSAI sebagai calon PH.
Pada hari ini tanggal 27 September 2018 sewaktu berada di Kotaraya
New York, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi persetujuan
pimpinan PH setelah memenangi PRU-14 lalu bahawa DSAI akan menjawat
jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-8, selepas beliau mengundurkan diri.
Cuma tarikhnya masih belum ada, mungkin pada bulan 10 Mei 2020, iaitu
genap dua tahun Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-7.
Inilah yang kita dengar dan maklumi selepas PRU-14.
Mengenang kembali kisah-kisah politik Malaysia pada tahun 1998,
kira-kira 20 tahun lalu cukup membuatkan ahli-ahli dan
penyokong-penyokong PH menjadi gundah gulana. Perasaan bimbang penuh
kerisauan tetap ada apabila memikirkan siapakah yang bakal menjadi
Perdana Menteri Malaysia ke-8. Apakah DSAI akan kempunan lagi? Apakah
benar-benar Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengotakan janjinya untuk
menyerahkan jawatan keramat itu kepada DSAI ? Apakah Memorandum Of
Understanding (MOU) yang telah ada dan dipersetujui secara konsensus
oleh Majlis Presiden PH itu akan tetap dihormati dan dilaksanakan?
Kalau dilihat dari sudut adat dan logik akal, persoalan ini hanya
boleh dileraikan oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri, bukannya oleh
DSAI ataupun Majlis Presiden PH. Selebihnya kita serahkan kepada Allah
SWT yang menentukannya. Kita sekadar hanya dapat berharap dan terus
berdoa agar apa yang telah dipersetujui oleh pimpinan PH akan menjadi
suatu realiti.
Melihat kepada kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi dalam
senario politik tanah air waktu ini, tidak hairanlah kalau pimpinan PKR
telah mengusahakan strategi Langkah Port Dickson (LPD) ini. Mereka
pastinya sudah tahu bahawa LPD ini akan dikritik, dicemuh dan
disensasikan oleh parti-parti pembangkang. Yang cantiknya tiada
suara-suara kritikan yang pedas dan keterlaluan yang datang daripada
ahli-ahli parti serta penyokong-penyokong PH.
Saya cukup tertarik dengan saranan Tan Sri Rais Yatim, yang katanya
bakal menerajui Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) @ Bersatu
Negeri Sembilan. Beliau telah mengesyorkan agar gandingan Tun Dr
Mahathir Mohamad dan DSAI dikembalikan semula dalam menerajui tampok
pentadbiran Malaysia selepas DSAI sah menjadi Ahli Parlimen Malaysia
nanti. Beliau berpendapat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail wajar
mengundurkan diri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan memberikan
peluang kepada DSAI untuk meneruskan tugas dan tanggongjawab sebagai
Timbalan Menteri Malaysia.
Seandainya DSAI sudah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri itu
nanti, sudah tentulah kegelisahan pimpinan PKR terhadap nasib bakal
Presiden mereka itu akan mereda dan peralihan kuasa itu bakal terjadi
dengan penuh teratur dan tanpa sebarang kekecohan. Tempoh masa gandingan
kedua-dua tokoh itu bekerja sebagai satu pasukan yang mantap boleh
sampai kepada penghujung penggal Parlimen yang ada sekarang ini.
DSAI akan lebih bersedia dalam menghadapi PRU-15 yang bakal diadakan
sekitar tahun 2023. Adalah dijangkakan bahawa ekonomi Malaysia akan
telah pulih dan banyak kemajuan telah dilaksanakan dalam pentadbiran
negara yang telah dirosakkan oleh pemerintahan dahulu.
Mengambil kira akan perkara-perkara di atas dan kelangsungan PH dalam
Malaysia Baru ini, PRK P132 ini yang juga boleh dikenali sebagai
Langkah Port Dickson adalah suatu yang wajar. PRK ini adalah dibenarkan
oleh Perlembagaan Malaysia dan tidak sekali-kali suatu pembaziran. Ia
boleh diharapkan sebagai sesuatu yang boleh menghindarkan perkara yang
lebih buruk lagi bagi kerajaan baru PH seandainya ia lambat diadakan.
Menghindarkan bencana yang lebih besar adalah lebih afdal daripada
bencana kecil.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan