Anwar harus diberi peranan dalam kerajaan


SUNGAI PETANI - Pesiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus diberikan tempat dan peranan dalam pentadbiran kerajaan selepas beliau memenangi PRK Port Dickson, Sabtu lalu.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, perkara itu harus dipertimbangkan sebagai permulaan sebelum Anwar diberi mandat untuk menerajui negara.

“Perubahan struktur dalam kerajaan mungkin perlu penelitian semula kerana Anwar merupakan presiden kepada sebuah parti terbesar dalam komponen PH.

“Dalam konteks ini, kita melihat adakah Anwar akan menerjah masuk dalam Kabinet? Itu yang menimbulkan persoalan.

“Sekiranya perkara ini tidak diselesaikan segera, maka kemungkinan ia akan mewujudkan desas desus yang boleh menyebabkan ketidakstabilan kepada arus tadbir kerajaan,” katanya.

Menurutnya, kegagalan selesaikan perkara itu boleh timbulkan kecurigaan di kalangan orang politik.
“Kita tahu bahawa hasrat Anwar bertanding di Port Dickson adalah untuk melayakkan dirinya menjadi anggota dewan dan mewarisi jawatan perdana menteri.

“Dalam hal ini, perlu ada kesediaan kalau benar Anwar nak dinobatkan sebagai perdana menteri. Maksudnya segala elemen, institusi dan penjawat awam mungkin perlu menempatkan peranan Anwar itu berada di mana.

“Kalau Anwar tidak menyertai Kabinet, mungkin ada jawatan utama lain bagi membolehkan beliau berinteraksi dalam konteks pentadbiran negara.

“Contohnya memperkasa GLC (syarikat berkaitan kerajaan). Mungkin Anwar boleh terlibat dalam institusi yang penting seperti mewujudkan satu kelompok GLC dan digabungkan.

“Sebagai contoh Khazanah, KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), Tabung Haji dan PNB (Permodalan Nasional Berhad) boleh diletakkan di bawah pengawasan Anwar,” katanya.

Penganalisis politik itu berkata, cadangan itu seolah-olah tahun orientasi kepada Anwar sebelum kembali ke Kabinet dan terajui negara.

“Kita kena faham bahawa Anwar telah meninggalkan Kabinet pada 1998. Dalam hal ini, PKR harus bersedia untuk menerima arus perubahan baru yang mungkin boleh menguatkan parti itu dan PH pada masa depan.

“Cuma dilemanya ialah terlalu banyak sangat keluarga Anwar dalam politik. Tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana seorang suami, isteri dan anak berada dalam Dewan Rakyat secara berkelompok.

“Perkara ini mungkin boleh menimbulkan suatu dilema peribadi bukan sahaja kepada keluarga, tetapi imej kerajaan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Ditanya kemungkinan akan berlaku percanggahan pendapat dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya Anwar diberi peranan dalam kerajaan, beliau menyerahkan perkara itu kepada dua tokoh tersebut untuk menanganinya dengan sebaik mungkin.

“Ini yang kita akan saksikan. Bagaimana elemen Anwar dan Mahathir dapat disesuaikan dalam fenomena Malaysia baharu.

“Sudah tentu rakyat nak melihat adakah wujud suatu jaringan pertemuan personaliti antara dua tokoh besar ini.

“Kalau kedua-dua pemimpin ini dapat menjalinkan kerjasama baik dan wujudkan persefahaman selesa, maka saya melihat ia akan menyumbang kepada kestabilan yang lebih kukuh buat kerajaan dan parti pemerintah,” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan