Anwar: Kalau ‘ada adab’, Lokman minta maaf dakwaan liwat

PORT DICKSON, 1 Okt — Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon seorang pemimpin Umno meminta maaf kerana membuat tuduhan palsu beliau terlibat kes liwat dengan pelajar Indonesia di Singapura.
Pemimpin PKR itu, yang bertanding di Port Dickson, berkata Datuk Lokman Noor Adam sepatutnya “cari modal lain” bukannya terus menyerangnya menggunakan taktik lama, lapor Sinar Harian.

“Saya malas nak fikir. Sumber [Media Corp Singapura] itu dah nafi,” kata ketua umum PKR, mengulas coretan di Facebook Lokman, yang juga presiden Pemantau Malaysia Baru, semalam.

“Kalau orang itu ada adab ada akhlak, kalau sumber dah nafi, dia [Lokman] minta maaflah.”
Lokman mendakwa media Singapura itu melaporkan seorang penuntut Indonesia membuat aduan polis kerana didakwa diliwat suami timbalan perdana menteri.

Beliau, anggota majlis tertinggi Umno, bagaimanapun membetulkan kenyataannya di media sosial yang sama apabila penafian tersebut dibuat.

Anwar berdepan saingan tujuh penjuru dalam pilihan raya kecil 13 Oktober ini. Selain calon PAS, beliau juga disaingi lima calon Bebas termasuk bekas menteri besar Tan Sri Isa Samad.

Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu Anwar yang menuduhnya meliwat pada 2008, turut bersaing di kerusi parlimen tersebut. Namun calon Bebas itu tidak ingin menyerang Anwar atas kes lama.

Kerusi Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen dan menyertai pasukan kerajaan Pakatan Harapan.

Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil hari ini membuat aduan polis terhadap Lokman di ibu pejabat polis daerah (IPD) Port Dickson dengan dakwaan kenyataan itu “dibuat dengan niat jahat”.

Menurut Malaysiakini, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap Lokman, bekas pemimpin awal PKR yang kemudian kembali menyertai Umno.

Presiden PKR dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menjelaskan dakwaan Lokman “itu berita palsu”.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan