Kemenangan berterusan bukti penerimaan rakyat
PORT DICKSON - Kemenangan berterusan diperoleh PH pada empat PRK yang diadakan tahun ini membuktikan rakyat terus yakin dengan kepimpinan kerajaan baharu.
Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, biarpun pelbagai tohmahan dan kritikan dilemparkan pembangkang terhadap PH yang dikatakan gagal mengemudi kerajaan, namun ia tidak mempengaruhi rakyat.
"Rakyat memahami apa masalah dihadapi oleh PH setelah mengambil alih kerajaan yang alami banyak kerosakan disebabkan kerajaan dulu.
"Sebab itu mereka bagi kita tempoh untuk buktikan segala janji. Lagipun kerajaan hari ini bersikap terbuka dan tidak selindung apa-apa dengan rakyat," katanya
Menurutnya, kemenangan PRK Parlimen Port Dickson membuktikan penerimaan warga Port Dickson terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan bakal Perdana Menteri kelapan.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, apa yang lebih memuaskan apabila peratusan keluar mengundi pada PRK kali ini adalah lebih tinggi berbanding PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.
"Saya punya sasaran adalah 60 peratus, tapi yang direkodkan 58.25 peratus. Kira, 'oklah' dan saya berpuas hati kerana kita memperoleh 70 peratus undi popular mengatasi 48 peratus yang dicapai pada PRU14 di kawasan sama.
"Faktor Datuk Seri Anwar itu juga saya lihat telah menarik hati warga Port Dickson tanpa mengira kaum untuk pergi mengundi dan lebih menarik peratusan undi Melayu di sesetengah kawasan juga meningkat," katanya.
Sehubungan itu beliau mengharapkan kehadiran Anwar di Negeri Sembilan akan dapat merancakkan lagi pembangunan dan pelancongan bukan sahaja di Port Dickson, tapi keseluruhan kawasan.
Aminuddin juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera setiap parti PH yang sama-sama bekerja keras bagi mencapai kemenangan itu.
"Terima kasih juga kepada seluruh media yang buat liputan menyeluruh dalam tempoh 15 hari ini," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan