Kemenangan Anwar dianggap sejarah
PORT DICKSON - Kemenangan calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson malam tadi, dianggap satu sejarah dalam kalangan pemimpin parti itu.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemenangan itu satu kejayaan manis apabila Anwar berjaya ‘menakluki’ kesemua lima kerusi Dun dalam Parlimen Port Dickson.
“Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, kita menang di Dun Chuah, Lukut dan Sri Tanjung dan kalah di Bagan Pinang dan Linggi sebab dikatakan orang Melayu tidak sokong PH tetapi hari ini (semalam) kita turut menang di dua tempat yang kita kalah sebelum ini.
“Sebab itu saya katakan ini suatu kemenangan manis membuktikan penduduk yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India telah hantar isyarat jelas kepada seluruh negara bahkan seantero dunia mereka mahu Anwar wakili mereka ke Parlimen,” katanya dalam ucapan di sini, semalam.
Dalam pada itu, Pengerusi PH yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, sejarah sudah tercipta di Port Dickson dan rakyat ingin melihat perubahan terhadap kawasan berkenaan.
“Dengan kejujuran kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, saya yakin kita mampu bawa perubahan.
“Tidak ada rasuah dan salah guna kuasa, saya harap dengan sejarah tercipta ini kita ke hadapan dengan lebih telus. Pemimpin juga harus bekerja lebih keras,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata respons daripada penduduk Port Dickson amat positif dan terbukti dengan majoriti lebih 23,000 undi, lebih hampir 6,000 undi berbanding PRU14 lepas.
“Keputusan ini juga jelas menunjukkan warga Port Dickson mahu Datuk Seri Anwar menjadi wakil mereka dan boleh dikatakan, tujuh daripada 10 rakyat di sini sokong beliau,” katanya.
Pemimpin veteran yang juga Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata kemenangan Anwar menunjukkan sokongan rakyat bukan sahaja kepada beliau sebagai Anggota Parlimen Port Dickson, tetapi bakal Perdana Menteri kelapan.
“Ia juga sebagai sokongan kepada usaha membina Malaysia Baharu. Majoriti besar yang diperoleh Anwar juga menunjukkan sokongan kuat rakyat kepada beliau,” katanya.
Sementara itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi membolehkan Anwar bertanding pada PRK tersebut, gembira dengan kemenangan Anwar dan akan berganding bahu dengan Ketua Umum PKR itu untuk menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan Port Dickson.
“Bila beliau menang dengan majoriti lebih besar daripada saya, ia menunjukkan sokongan rakyat kepadanya sebagai bakal perdana menteri kita...kita nak beliau menang supaya Anwar dapat tunjukkan keupayaannya,” kata beliau.
Bagi Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, kemenangan itu merupakan kejayaan untuk rakyat dan beliau amat berterima kasih kepada penduduk Negeri Sembilan khususnya warga Port Dickson kerana memberi mandat kepada bapanya.
PH berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Port Dickson apabila Anwar memperoleh majoriti 23,560 undi, sekali gus menewaskan enam pencabarnya daripada parti Pas dan lima calon Bebas pada PRK itu.
Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Anwar yang memenangi PRK berkenaan.
“Kejayaan Datuk Seri Anwar memperoleh mandat rakyat dengan majoriti lebih besar dalam pilihan raya kecil ini membuktikan sokongan pengundi kepada Pakatan Harapan terus kukuh,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu dalam mesej di laman Facebook beliau.
“Saya percaya kembalinya Datuk Seri Anwar sebagai anggota Dewan Rakyat akan memperkukuhkan lagi muafakat Pakatan Harapan di bawah teraju YAB Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya yakin gandingan mantap kedua-dua pemimpin ini akan memberi impak positif kepada rakyat dan negara,” katanya.
Muhyiddin juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera PH yang bekerja keras untuk memastikan kemenangan PH.
“Terima kasih tidak terhingga juga kepada pengundi Port Dickson yang membuat pilihan yang bijaksana,” katanya. - Bernama
0 comments:
Catat Ulasan