Kerajaan baru berjaya banteras rasuah


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata gejala rasuah yang dilihat berleluasa sebelum ini telah dapat ditangani oleh kerajaan baru pimpinan beliau sehingga masyarakat kini sudah kurang bercakap mengenainya.

Perdana menteri berkata ini kerana orang ramai termasuk syarikat dan peniaga sekarang boleh berurusan dengan kerajaan tanpa melibatkan elemen rasuah.

“Kita dapati cakap-cakap mulut dan komplen dari syarikat dan peniaga bahawa kerajaan (terpalit) rasuah tak kedengaran lagi. Dan kalau kita pergi ke luar negara tiada lagi orang bertanya, eh apa jadi kepada negara kamu.

Ini kerana apabila kita menukar kerajaan (sebelum ini) kita sekali gus sudah banteras rasuah. Rasuah sudah hampir tidak ada kerana orang takut dengan undang undang yang kita gubal (dan dikuatkuasakan),” kata perdana menteri.
Dr Mahathir berkata demikian dalam temu bual khas yang disiarkan stesen televisyen Astro Awani, semalam.

Dr Mahathir menyifatkan usaha yang dilakukan kerajaan bagi memerangi rasuah telah membawa kepada kejayaan yang besar.

Beliau menegaskan jentera pentadbiran kerajaan juga telah dibersihkan daripada pegawai-pegawai yang didapati tidak menjalankan tugas yang diamanahkan sebaliknya disyaki melakukan penyelewengan dengan cuba mencari keuntungan buat diri sendiri.

“Kita sudah singkirkan orang macam ini dan kalau kita dapati ada unsur jenayah maka tindakan akan diambil terhadap mereka,” katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa kerajaan perlu memastikan bukti kukuh diperoleh sebelum membawa mana-mana kes rasuah melibatkan orang politik atau bukan politik ke mahkamah.

“Kita nak buat sekali (dakwa semua sekali) tak mampulah kerana setiap satu kes mesti diselidik supaya kita ada bukti jelas yang boleh diterima mahkamah…sebab itu kita tumpu kepada (kes) yang penting dulu dan yang lain akan disusuli kemudian bila kita dapat maklumat dan bukti yang cukup,” kata Dr Mahathir.

Menjawab pertanyaan lain, Dr Mahathir berkata kerajaan kini menimbang cadangan yang dikemukakan sektor swasta dalam soal penyediaan infrastruktur, misalnya dalam soal pembangunan rumah mampu milik.

“Sektor swasta ada cara membuat rumah yang boleh dijual dengan harga rendah tapi mereka masih boleh dapat keuntungan daripada projek mereka. Jadi sekarang kita terpaksa tumpu kepada peranan sektor swasta untuk (bantu) laksanakan kebanyakan janji-janji kita,” kata perdana menteri.

Mengenai peranan anak muda dalam pembangunan negara, Dr Mahathir menegaskan mereka perlu bersedia untuk bekerja keras tanpa mengharapkan insentif kerajaan dalam soal memajukan diri sendiri.

“Anak muda perlu belajar sebab daripada pelajaran mereka boleh cari pendapatan. Kalau nak buat apa (kerajaan) kena bagi insentif, ini tak kena. Mereka tak boleh harap insentif sahaja tapi perlu berusaha,” katanya.

Beliau turut berkata negara perlu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing kerana hasil pendapatan yang dihantar keluar ke negara asal masing-masing sebenarnya merugikan negara.

“Sebaliknya kalau orang kita sanggup bekerja dan wang itu tak keluar dari negara kita, bermakna pertumbuhan ekonomi akan lebih menguntungkan kita,” katanya.
https://denyutreformasi.blogspot.com/
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan