Rakyat mahu reformasi institusi menyeluruh, kata Pemuda AMANAH Sabah


Oleh Arif Atan

Ketua Pemuda AMANAH Sabah, Khairuddin Daud mengingatkan bahawa rakyat di negeri itu tidak hanya ingin membuat perubahan pada pemimpin atau parti politik.

“Rakyat tidak hanya ingin sekadar menukar Najib Razak kepada Mahathir dan seterusnya Anwar Ibrahim, tetapi apa yang rakyat mahukan adalah sebuah reformasi institusi yang menyeluruh, adil, serta tadbir urus yang cekap dan amanah,” katanya pada Konvensyen Pemuda AMANAH Sabah di Sandakan semalam.

Menyentuh kemenangan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan di Sabah pada pilihan raya umum lalu juga, beliau menggesa pemimpin-pemimpin kerajaan untuk berusaha memenuhi janji serta manifesto yang telah dikempenkan.

Tambahnya, pemimpin kerajaan PH juga harus kritikal terhadap isu-isu penyelewengan kuasa dan hak rakyat.

“Peranan Pemuda AMANAH untuk menjadi ejen semak dan imbang kepada pelaksanaan manifesto kerajaan baharu. Apa juga dasar atau polisi yang dibawa oleh kerajaan, dikaji dan disampaikan kepada rakyat dengan berkesan.

“Sekiranya berlaku penyelewengan wang rakyat, tadbir urus yang korup kita perlu menyatakan perkara ini kepada pemimpin kerajaan.

“Jangan ada sikap melindungi koruptor hanya kerana mereka pimpinan, kawan atau kerana ingin menjaga periuk nasi kita,” kata Khairuddin dalam konvensyen bertemakan “Mengukuh Idealisme Mengisi Kemenangan” itu.

Mengulas tentang imej Islam pada AMANAH dalam masyarakat berbilang etnik dan agama di Sabah, Khairuddin berkata, Pemuda AMANAH negeri itu menonjolkan imej Islam yang lebih ramah serta menolak pemikiran melampau.

“Pendekatan yang ekstrem akan mencalarkan imej serta menjauhkan orang ramai daripada Islam,” jelasnya.

Dalam hal berkaitan, ujarnya, Pemuda AMANAH Sabah turut meraikan pengumuman Jawatankuasa Khas Kabinet untuk mengkaji Malaysia Agreement 1963 yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dianggotai antaranya Datuk Seri Shafie Apdal.

“Hal ini selaras dengan janji Pakatan Harapan untuk mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi pembentukan Malaysia,” kata Khairuddin lagi.

Seramai 80 anggota Pemuda AMANAH dari kawasan-kawasan yang berdaftar di seluruh Sabah hadir dalam konvensyen yang kali ketiga diadakan sejak penubuhan sayap parti itu pada 2015.

Dirasmikan Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional merangkap Pegawai Khas kepada Speaker Dewan Rakyat, Wan Anwar Wan Ibrahim, Kelab Anak Muda Layan Bola cawangan negeri Sabah turut dilancarkan.

Sementara itu, Anugerah Aktivis Muda turut disampaikan kepada Timbalan Ketua Pemuda, Yunizam Yusof atas bakti yang dicurahkan kepada masyarakat setempat.

Lebih mesra dengan panggilan ‘Abam Botak’, Yunizam telah melaksanakan beberapa inisiatif membantu golongan yang memerlukan.

Antaranya, perkhidmatan kereta percuma untuk menghantar pesakit ke hospital, menyantuni gelandangan dan membantu fakir miskin.

Terbaharu, Yunizam menyediakan khidmat kereta jenazah tanpa sebarang bayaran kepada masyarakat sekitar Sandakan.
https://denyutreformasi.blogspot.com/
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan