Kerajaan negeri sedia meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah bagi
membolehkan tempoh perkhidmatan jawatan menteri besar dihadkan kepada
dua penggal.
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata perkara itu
akan dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri untuk membuat
keputusan berhubung cadangan pelaksanaan tersebut bagi tujuan
mereformasikan sistem politik.
"Sebenarnya, perkara ini telah dibincang sewaktu rangka manifesto
Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum pilihan raya, jadi ia bukan perkara
yang baharu. Jadi, kami alu-alukan cadangan tersebut kerana boleh beri
peluang kepada orang baharu dengan idea yang lebih segar," katanya
selepas merasmikan persidangan perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(BERSATU) Bahagian Jerlun di Kedah, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan Kajian Separuh
Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 di Dewan Rakyat berhubung cadangan
mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri, menteri besar dan ketua
menteri selama dua penggal.
Mukhriz yang juga Timbalan Presiden BERSATU berkata beliau berharap
setiap pertukaran di kalangan pemimpin tertinggi dalam kerajaan tidak
akan memberi kesan kepada dasar sedia ada kerana ia merugikan masa dan
sumber.
"Saya harap ada kesinambungan kalau berlaku pertukaran. Jangan kerana
hanya tukar menteri besar, dasar pun sekali bertukar dan berubah kerana
itu tidak sepatutnya berlaku kerana dasar dibuat bukan untuk tempoh
tiga, empat tahun tetapi 10, 20, 30 tahun jadi akan rugi masa," katanya.
Teruskan bina Hospital Pendang
Sementara itu, beliau menafikan khabar angin berhubung pembatalan
pembinaan Hospital Pendang, sebaliknya memaklumkan bahawa kerajaan
persekutuan bersedia untuk meneruskan pembinaan hospital terbabit
walaupun berdepan dengan kekangan kewangan.
Ditanya mengenai isu kereta rasmi menteri besar yang baharu yang
viral di laman sosial baru-baru ini, Mukhriz berkata beliau membuat
keputusan untuk melupuskan beberapa kereta lama yang dimiliki di bawah
nama pejabat menteri besar sebelum ini.
"Banyak kenderaan yang lama-lama disimpan, duduk sahaja tak buat apa
dan banyak yang rosak tak boleh pakai jadi saya buat keputusan mana-mana
kereta yang terlampau lama kita lupuskan dan ganti dengan sebuah kereta
baharu jenama asing yang dipasang di Malaysia.
"Kita gantikan dengan kereta hybrid maksudnya yang jenis bateri harga
tidak terlalu mahal dan saya fikir ini cara kita buktikan kepada rakyat
bahawa kerajaan prihatin soal alam sekitar.
"Saya lupuskan dua biji kereta untuk gantikan dengan kereta ini jadi tak adalah belanja banyak sangat," katanya.
- Bernama
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan