Oleh HAYAR HASSAN
Tanggal 14 Oktober 2018 lalu(Ahad), pimpinan Jawatankuasa-Jawatankuasa Parti Amanah Kawasan-Kawasan Pulau Pinang hadir dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agong Kawasan-Kawasan parti Amanah yang diadakan di Dewan Muhibbah Merbau Kudung, Sungai Dua, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Amanah Pulau Pinang, YB Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof Rawa(DMYR), Menteri Agama Kerajaan Pakatan Harapan(PH) dan juga Ahli Parlimen Parit Buntar.
Ada beberapa perkara menarik yang boleh dibawa balik oleh pimpinan-pimpinan kawasan Amanah untuk disampaikan kepada masyarakat awam atas isu-isu yang berkisar berkaitan Islam yang sentiasa dibangkitkan oleh pengkritik-pengkritik PH.
Secara terus terang, YB DMYR mengakui bahawa tugas dan tanggongjawabnya sebagai Menteri Agama Kerajaan Pusat PH bukan lah mudah, apatah lagi sebelum ini beliau sekadar berperanan sebagai seorang Ahli Parlimen pembangkang. Banyak yang perlu dipelajari dan disesuaikan. Beliau berharap ahli-ahli Amanah dapat memahami tugas berat beliau sekarang ini.
Seperti yang kita maklumi, dari zaman awalnya kedatangan Islam ke Nusantara, ajaran dan amalan Islam yang kita terima bukan lah sepenuhnya berlandaskan Al-Quran serta Sunnah Rasulullah SAW .
Banyak yang kita amalkan adalah berdasarkan kepada pemahaman secara konservatif dan bercampurbaur dengan adat resam pelbagai etnik di Nusantara. Pedagang-pedagang Islam yang datang ke Nusantara dahulu banyak dipengaruhi oleh budaya-budaya Parsi dan fahaman Syiah. Kadang kala ianya juga dipengaruhi oleh agama Hindu dan kepercayaan karut marut.
Realitinya orang-orang Melayu yang rata-rata beragama Islam secara keturunan kurang sekali didedahkan berkaitan dengan ilmu serta adab-adab Islam yang tepat untuk berinteraksi secara berkesan dengan orang-orang bukan Islam. Kerap kali sudut pandang kita menjadi terlalu sempit dan tiada sifat toleran kepada bangsa-bangsa lain walaupun kita berada dalam sebuah negara. Realitinya bangsa-bangsa lain seperti Cina juga mempunyai sifat-sifat positif seperti bijak dan rajin berniaga. Sepatutnya orang Melayu Islam mempelajari sifat-sifat ini.
Seandainya kita diajar tatacara Islam yang tepat , indah, berinteraksi secara berkesan dengan orang-orang bukan Islam serta kita dapat mempamerkan akhlah Islam yang mulia, sudah tentu lah bilangan orang bukan Islam yang memeluk agama Islam sudah berlipat kali ganda daripada yang ada sekarang. Yang nyata, orang Melayu Islam tidak berapa berjaya menjalankan dakwah Islam kepada orang Cina, India serta kaum pribumi Sabah dan Sarawak.
Hasilnya orang Melayu Islam di negara ini kurang mempunyai sikap toleran terhadap bangsa-bangsa lain. Kadang kala ianya terlalu berlebihan dan merugikan negara .
Menurut YB DMYR, Islam yang ingin diterapkan oleh Kerajaan Baru PH tetap bersandarkan kepada sumber utamanya Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, cuma dengan pendekatan baru. Pendekatan Islam wajah baru itu berkisar kepada tiga perkara utama. Perkara-perkara utama tersebut adalah Islam sebagai Rahmatan Lil ‘Alamin, Maqasid Syariah(Matlamat Syariah) dan Islam Model Malaysia.
Ungkapan Rahmatan Lil ‘Alamin itu terdapat pada ayat 107, Surah Al-Anbiya’. Terjemahan ayat tersebut adalah,
“ Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam “.
Para pentafsir menyatakan bahawa Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW itu merupakan rahmat untuk seluruh alam.
Menurut Sahibul Samahah Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin(MAZA) dalam suatu tulisannya berkaitan dengan Islam Rahmatan Lil ‘Alamin, ungkapan ini bermaksud ajaran-ajaran Nabi Muhammad SAW , hidayah, kebaikan dan keadilannya merangkumi dan mencapai seluruh alam tanpa kecuali.
Muslim, bukan muslim, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan segalanya akan terangkum dalam rahmat yang dibawa oleh Islam. Setiap pihak akan menerima bahagian hak mereka dari kebaikan Islam ini.
Begitulah indah dan cantiknya Islam , membawa rahmat kepada semua makhlok alam maya ini.
DMYR seterusnya menegaskan bahawa Islam di Malaysia ini perlu berlandaskan kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dengan mengikut acuan kita sendiri. Kita tidak perlu mengikut Islam model Arab Saudi, Mesir, Indonesia atau negara-negara lain.
Ini adalah disebabkan struktur masyarakat, budaya dan sejarah negara ini berbeza dengan negara-negara tersebut. Kita sememangnya lebih arif akan masalah-masalah negara kita dan kita juga lah tentunya lebih arif untuk menyediakan solusi-solusinya.
Nama Malaysia sebenarnya cukup dihargai oleh masyarakat Islam negara-negara luar seperti di Bosnia Herzigovina, Arab Saudi dan beberapa negara lain kerana kebijaksanaan kita menangani masalah-masalah dalaman kita sendiri.
Akhirnya, kita amat berharap agar DMYR akan berjaya dalam usahanya membawa pendekatan baru kepada wajah Islam di Malaysia agar masyarakat Islam negara ini akan terus dihormati, tetap relevan dan tidak dicurigai oleh masyarakat dunia luar dan dalam negara.
Selepas lima bulan memegang jawatan berat ini, ternyata hasilnya tidak lah mengecewakan. Semoga Allah SWT akan terus memberikan bimbingan dan hidayah agar DMYR terus memberikan sumbangan terhadap kelangsungan Islam Rahmatan Lil Alamin kepada Malaysia.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan