Makin ramai desak Waytha Moorthy letak jawatan

KUALA LUMPUR, 21 Nov — Makin ramai mendesak senator P. Waytha Moorthy meletakkan jawatan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam petisyen yang ditandatangani secara atas talian.

Setakat 7.45 petang semalam, petisyen yang dilancarkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) di Change.org ditandatangani 151,171 orang, lebih separuh daripada 300,000 tandatangan yang ingin dicapai, lapor BH Online.

Petisyen dilancarkan kerana pemimpin Hindraf itu menyokong ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menteri yang memegang portfolio perpaduan itu juga dalam satu video yang tular mendakwa kononnya rakyat beragama Hindu di negara ini ditindas.

Ketua Pemuda Umno ketika mengulas lanjut berharap kerajaan memandang serius petisyen itu.

“Kalau petisyen sudah ditandatangani lebih 100,000 bermakna ia menunjukkan rakyat Malaysia sebenarnya tidak merestui apa juga budaya yang hakikatnya boleh menjejaskan kestabilan dalam negara yang berbilang kaum dan agama,” kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan