PAS parti bohong - Mohamad Sabu

KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (AMANAH) yakin ahli PAS akan hilang kepercayaan terhadap parti itu berikutan pembohongan yang dilakukan pemimpin mereka.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, turut menyifatkan PAS sebuah parti yang berbohong dan tidak boleh dipercayai selain menjejaskan imej perjuangan Islam yang dibawa parti berkenaan.

“Sudah terbukti PAS sebuah parti berbohong kerana mereka sendiri mengaku berhubung isu rakaman audio.
“Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas pertemuan dengan PAS, menyatakan parti itu berkata tidak menyokong calon Barisan Nasional (BN), namun pemimpin mereka hadir pada hari penamaan.

“Saya tidak tahu sejauh mana perbincangan antara Dr Mahathir dan PAS, namun apa yang dikatakan mereka (PAS) hari ini semua berbohong.

“Bagi mereka berbohong itu wajib dan saya yakin serta percaya selepas ini, ahli PAS hilang kepercayaan kepada parti mereka kerana mempunyai pemimpin yang suka berbohong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pejabat AMANAH kawasan Pasir Mas di Kampung Jias di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi AMANAH Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Pada masa sama, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan, kesal dengan kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang mengaitkan bapanya dalam pembohongan berkaitan rakaman audio itu.

Terdahulu, Mohamad dalam ucapannya, berkata beliau bimbang pembohongan yang dilakukan PAS itu menyebabkan orang bukan Islam tidak percaya kepada Islam.

“Saya tidak bimbang orang bukan Islam tidak percaya kepada AMANAH dan PAS, tetapi saya bimbang jika mereka tidak percaya kepada Islam selepas melihat apa yang dilakukan PAS,” katanya.

PAS hari ini menafikan tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih seperti didakwa Dr Mahathir.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata PAS tetap menyokong UMNO, namun tahap komitmen serta kadar pembabitan parti itu berbeza keadaannya dengan yang dilakukan parti itu pada PRK Parlimen Cameron Highlands lalu.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan