HULU LANGAT: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,
menyifatkan dakwaan bahawa parti itu dan DAP tidak membantu kempen
Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri
(DUN) Semenyih, hanyalah propaganda palsu pembangkang.
Mohamed Azmin berkata, propaganda itu dilontarkan kerana pembangkang mencemburui ikatan kukuh antara parti komponen PH.
Beliau
berkata, kerjasama itu terutama daripada PKR, juga terbukti dengan
kehadiran beberapa pemimpin tertinggi parti berkenaan di Semenyih sejak
beberapa hari lalu bagi memberi sokongan kepada calon PH, Muhammad Aiman
Zainali.
“Ini propaganda pembangkang yang tidak selesa
dengan keutuhan PH. Saya sendiri berada di sini beberapa malam, kecuali
tiga hari lalu kerana urusan kerja di luar negara.
“Begitu
juga pemimpin lain, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; (Pengerusi
Majlis Penasihat PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha
Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, semua berada di sini dan
kita ada jadual serta kawasan tumpuan tertentu.
“Kita tidak
akan terkesan dengan propaganda pembangkang ini kerana mahu Semenyih
dipertahankan PH. Kita mahu meneruskan tradisi peduli rakyat yang
menjadi dasar Kerajaan Selangor,” katanya kepada pemberita di Kampung
Pasir Baru, Semenyih, dekat sini, hari ini.
Beliau mengulas
kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bahawa parti itu
tidak boleh dipersalahkan jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
kalah pada PRK DUN Semenyih kerana mendakwa DAP dan PKR tidak membantu
kempen PH.
Sebelum ini, timbul khabar angin kemungkinan
berlaku komplot untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad, oleh pihak tertentu dalam PH.
Dalam pada itu,
Mohamed Azmin menegaskan, kempen PH di Semenyih tidak terkesan dengan
kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Tidak
(terkesan dengan kehadiran Najib). Mereka berhak datang berkempen dan
kami juga berhak mencerakinkan kejayaan dinikmati rakyat melalui dasar
yang peduli rakyat.
“Ini demokrasi. Saya melihat sokongan
rakyat dan pengundi Semenyih masih mantap (kepada PH) untuk memastikan
agenda pembangunan dapat diteruskan,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan