Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yakin masalah
pentadbiran serta kewangan negara yang ditinggalkan
kerajaan terdahulu akan dapat dipulihkan dalam tempoh tiga tahun.
Beliau berkata ini kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah
menyusun pelbagai perancangan yang diyakini boleh mengatasi kedua-dua
isu tersebut, justeru penjawat awam harus bersabar serta bekerjasama
dengan kerajaan semasa untuk memulihkan semula keadaan negara.
“Insya-Allah, kalau keadaan dalam negara ini aman, tidak ada tindakan
yang liar, kita yakin dalam masa tiga tahun kita akan dapat pulihkan
semula negara,” katanya pada Majlis Perhimpunan Perdana Kongres Kesatuan
Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bersama Perdana
Menteri, pada Isnin.
Perdana Menteri berkata bagaimanapun usaha memulihkan negara
tidak boleh dilakukan melalui kuasa politik semata-mata sebaliknya turut
menuntut kerjasama sektor awam bagi membantu PH yang mengambil alih
pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
“Amat penting untuk tuan-tuan dan puan-puan faham sejarah kita dan
tahu apa sedang dilakukan oleh negara yang baharu ini oleh pemerintah
baharu ini, supaya dapat menghulurkan kerjasama yang erat kepada
kerajaan demi kepentingan negara, supaya negara kita akan sekali lagi
berada di jalan ke arah negara maju pada 2025,” katanya.
Dr Mahathir berkata kerjasama yang diperlukan daripada penjawat awam
termasuk memahami masalah yang dihadapi negara khususnya berhubung
bebanan hutang melebihi RM1 trilion yang meletakkan kewangan negara
dalam keadaan sukar.
“Sebab itu kita terpaksa batal rancangan-rancangan yang besar yang
telah dilakukan, dijadualkan dan dilaksanakan oleh kerajaan lama. Kita
harus kurangkan perbelanjaan untuk projek-projek yang besar ini namun
demikian kalau kita hentikan kontrak yang lama kita juga perlu membayar
pampasan,” katanya.
Menurutnya, sebahagian pendapatan negara kini terpaksa digunakan
untuk membayar hutang negara, menyebabkan perhatian kerajaan terhadap
soal pembangunan negara berkurangan.
“Saya harap kita boleh bersabar, kalau kita bekerjasama dalam keadaan
aman dan tenteram maka kita dapat pulihkan kewangan negara kita dan
pembangunan negara kita.
“Untuk menghapuskan hutang RM1 trilion bukanlah mudah, seluruh rakyat
termasuk anggota kerajaan perlu ikat perut sedikit supaya kita dapat
kurangkan perbelanjaan biasa dan membayar hutang,” katanya.
“Insya-Allah, kita akan dapat jelaskan hutang-hutang kita dan selepas
jelaskan hutang-hutang ini maka pendapatan kerajaan akan meningkat dan
boleh digunakan untuk bantu sara hidup rakyat khususnya mereka yang
bekerja dengan kerajaan,” katanya lagi.
Dr Mahathir juga berkata pendapatan yang tinggi tidak akan bermakna jika harga barangan meningkat melebihi kenaikan gaji.
“Bagi kita yang lebih utama ialah memberi gaji yang boleh membeli
lebih (banyak) daripada dahulu…. sebab itu kerajaan sekarang sedang
mengolah cara-cara kewangan negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata beliau yakin penjawat awam akan bersama-sama
kerajaan membantu memulihkan negara khususnya dari segi kewangan.
“Kita percaya untuk mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan
kuasa beli kita perlu meningkatkan kecekapan dan disiplin dalam kalangan
anggota kerajaan pemerintahan sekarang ini,” katanya.- BERNAMA
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan