Nurul Izzah ‘racun’ Anwar-Dr Mahathir

Armada Selangor berasa dukacita dan kecewa berikutan tuduhan Nurul Izzah Anwar, dalam satu temu bual kepada akhbar Strait Times, yang menuduh pengerusi parti merangkap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai bekas diktator.

Kritikan ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut adalah tidak berasas dan boleh disalah tafsir ahli komponen Harapan serta rakyat umumnya.

Armada Selangor tertanya-tanya, adakah kenyataan Nurul tersebut berniat mendesak perdana menteri segera meletakkan jawatan dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI)?

Jika ya, maka Armada Selangor ingin memberi pesanan kepada Nurul bahawa langkah ini tidak bijak serta boleh membawa kepada perpecahan.

Nurul sepatutnya mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya rakus mengejar agenda peribadi.
Kaedah yang lebih baik adalah untuk membantu perdana menteri dan kabinetnya memulihkan negara.

Sudah diberi jawatan, laksana sebaiknya

Armada Selangor maklum bahawa Nurul turut telah melepaskan jawatan di peringkat nasional antaranya termasuk Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pemerkasaan TVET.

Kedua-dua jawatan ini, serta jawatan-jawatan lain yang telah dilepaskan, merupakan peluang yang baik untuk Nurul gunakan sebagai platform menegakkan prinsip serta reformasi institusi.
Namun, peluang ini disia-siakan semata-mata bagi mengejar cita-cita peribadi. Bukan itu sahaja, ianya umpama ‘déjà vu’ peristiwa lampau.

Janganlah Nurul cuba untuk merosakkan usaha pihak lain yang bekerja keras siang dan malam bagi memastikan perubahan yang dijanjikan dapat dilaksanakan.

Jangan gelojoh, berkomplot dengan pembangkang

Apa yang lebih merisaukan adalah waktu ‘serangan’ Nurul ini umpama telah di selaras dengan peletakkan jawatan anggota PAC dari pembangkang. Hubungan baik Nurul dengan wakil rakyat Rembau juga turut dipersoal.

Adakah wujud komplot terancang? Apakah Nurul lebih selesa berkerjasama dengan kaki klepetokrat dan konco mereka?

Nurul harus sedar bahawa kepentingan rakyat dan usaha memulihkan keadaan negara pada hari ini adalah keutamaan berbanding cita-cita politik.

Pada masa yang sama juga, bukankah kesepakatan PH telah memutuskan bahawa Anwar akan menggantikan Dr Mahathir sebagai PM? Maka mengapa perlu tergopoh-gapah?

Melalui desakan yang boleh dianggap keterlaluan seperti ini, Nurul sama sekali tidak membantu pentadbiran kerajaan untuk membela nasib rakyat.

Sebaliknya, beliau menjadi racun yang akan merosakkan hubungan Dr Mahathir-Anwar sehingga memungkinkan kesepakatan yang dicapai sebelum ini menjadi tidak sah.

*Armada Selangor dipimpin Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan