Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru rakyat
Malaysia agar bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan Pakatan
Harapan (PH) untuk menyelesaikan pelbagai masalah bawah pemerintahan
kerajaan terdahulu.
Beliau berkata kerajaan mungkin memerlukan setahun ataupun tiga
tahun, malah mungkin lebih daripada itu untuk memperbaiki negara yang
telah berada bawah amalan kleptokrasi selama 61 tahun.
“Untuk memperbaiki sesuatu yang sudah lama bukan mudah, tiada
‘tongkat sakti’, tidak ada butang automatik yang anda boleh tekan (untuk
selesaikan segala-galanya)…ia tidak berfungsi seperti itu…ia memerlukan
kerja keras dan air mata dan harus diusahakan oleh semua orang rakyat
Malaysia.
“Kita mesti bekerja keras untuk memperbaiki keadaan yang runcing dan
proses ini mungkin mengambil masa lama lagi,” katanya semasa berucap
pada Majlis Diaspora Bersama Rakyat Malaysia di Perancis di sini Ahad.
Dr Wan Azizah dalam rangka lawatan kerja empat hari ke negara ini
dengan agenda utama bagi mempengerusikan Mesyuarat Biro Pengurusan
Transformasi Sosial (MOST), Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan
Sainstifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) dan Sesi Ke-14 Majlis
Antara Kerajaan bagi MOST.
Pada majlis yang dihadiri komuniti dan pelajar Malaysia yang berada
di Perancis itu, Dr Wan Azizah juga menjelaskan bahawa perpaduan rakyat
merupakan elemen penting dalam negara mengorak langkah ke arah Malaysia
baharu.
Dr Wan Azizah berkata sebagai sebuah negara yang majmuk, tidak harus
ada mana-mana kaum merasa iri hati dan berprasangka buruk terhadap kaum
lain.
“Kita melihat New Zealand itu satu negara yang begitu stabil, sejahtera dan begitu aman, tetapi dikejutkan dengan white–supremacy (ketuanan
bangsa kulit putih) yang menyerang orang yang sedang bersolat, tidak
bersenjata…kita tidak boleh membenarkan antara kita merasakan iri hati,
marah dan benci sesama sendiri sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah turut menyeru komuniti dan pelajar
Malaysia yang berada di Perancis untuk pulang ke tanah air bagi membantu
membangunkan negara menerusi kepakaran dan pengetahuan masing-masing.
“Kita memerlukan semua diaspora Malaysia dari seluruh dunia untuk membantu membina Malaysia baharu,” katanya.- BERNAMA
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan