Ketua Pengarahnya, Shaharuddin Khalid berkata, jawatankuasa khas yang ditubuhkan minggu lalu itu diberi tempoh 2 minggu untuk menyediakan laporan dan cadangan penambahbaikan terhadap prosedur serta amalan kerja ketika ini.
“Jawatankuasa khas yang diketuai pengarah Bahagian Integriti JPJ itu akan melihat semula setiap prosedur dan amalan kerja serta mengenal pasti ruang yang membolehkan gejala rasuah berlaku.
“Mereka diberi ruang secukupnya untuk menyediakan laporan serta cadangan penambahbaikan, dan kita juga akan berkongsi laporan itu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Ops Khas Lebih Muatan di sini, hari ini.
Beliau berkata, penahanan 46 penguat kuasa jabatan itu oleh SPRM tidak merencatkan operasi JPJ di Pulau Pinang.
Katanya, walaupun ia di luar jangkaan, pihaknya akur penahanan secara beramai-ramai SPRM itu adalah baik sebagai permulaan perubahan secara menyeluruh prosedur dan amalan kerja JPJ.
Selasa lalu, SPRM menahan 24 penguat kuasa JPJ yang dipercayai terbabit dalam kegiatan rasuah dengan melindungi pemandu lori melakukan kesalahan jalan raya, khususnya membawa muatan lebih.
Hari ini, SPRM mengesahkan 22 lagi penguat kuasa JPJ Pulau Pinang ditahan di Ibu Pejabat SPRM negeri itu kerana disyaki terlibat rasuah.
Mengenai Ops Khas Lebih Muatan, Shaharuddin berkata, operasi di sekitar Lembah Klang itu menahan 20 lori yang melanggar Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana membawa muatan lebih.
Katanya, 30 lori ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, antaranya meletakkan kenderaan di lorong kecemasan, tiada lesen memandu dan lesen kenderaan perdagangan.
0 comments:
Catat Ulasan