Kita mesti cepat belajar fahami sistem kerajaan

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) di semua peringkat diseru agar cepat belajar untuk memahami mekanisme pentadbiran dan sistem dalam kerajaan demi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari merangkap Pengerusi PH negeri berkata, hal tersebut penting kerana masing-masing mempunyai bidang tugas dan tanggungjawab berbeza.

Mengimbas kembali pengalaman bulan pertama menerajui kerajaan negeri, beliau memberitahu hal yang awal dipelajarinya adalah berkaitan punca kuasa.

“Bulan pertama kita belajar sistem kerajaan. Saya diajar tentang punca kuasa dalam kerajaan. Kita mesti faham sistem kerajaan.

“Tulis surat, itu pun saya belajar. Apa yang kita mesti tulis bila dapat surat? Adakah ‘dipertimbang’, ‘disokong’, ‘sila luluskan’. Semua yang ditulis memberi takrifan tertentu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Sepetang Bersama Pimpinan AMANAH di Summit Hotel KL City Centre, Jalan Raja Laut di ibu negara semalam.

Namun, Pengerusi AMANAH Melaka tersebut berpendapat sistem kerajaan yang ada tidak semestinya semua betul.

“Kita mesti hari-hari belajar sistem kerajaan yang betul dan sistem itu ada pada kita.

“Kalau kita jadi ahli majlis jangan ikut ahli majlis yang dulu buat. Kita mesti tahu apa peranan ahli majlis yang sebenar. Itu saja.

“Kita harus berbincang dan menganalisa kembali untuk mengetahui sama ada tindakan atau keputusan yang dibuat betul atau tidak.

“Itu sebab bagi saya tempoh ini adalah tempoh untuk kita menilai apa yang telah kita lakukan. Kita tidak boleh biasa melakukan kebiasaan,” jelasnya.

Adly Zahari
Sebaliknya jika gagal berbuat demikian, Adly mengingatkan pemimpin kerajaan PH sekadar menjadi ‘alat’ semata-mata.

“Kita hanya menjadi alat kepada proses sahaja. Sebab kita tidak tahu sistem itu. Setiap daerah, PBT menggunakan sistem yang berbeza walaupun dalam negeri sama.

“Kita sebenarnya memperbetulkan sistem yang kita pun tidak tahu sistem mana yang betul. Inilah masalah kita,” katanya.

Sehubungan itu, Adly menghargai kerjasama baik yang diterimanya daripada semua pihak sekali gus melancarkan penyampaian polisi kerajaan negeri kepada rakyat Melaka.

“Mungkin saya bernasib baik saya mudah bekerja. Saya mendapat nasihat yang betul daripada semua pihak. SUSK (Setiausaha Sulit Kanan) berpengalaman dengan beberapa Ketua Menteri (sebelum ini),” tambahnya lagi.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Hatta Md. Ramli merangkap Pengarah Pilihanraya AMANAH.

Hadir sama Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang merupakan Ketua Pemuda AMANAH Perak serta Pegawai Tugas-Tugas Khas Pejabat Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Wan Anwar Wan Ibrahim merangkap Timbalan Pengerusi Kanun.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan