IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam
Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari menegaskan beliau tidak pernah
merancang sebarang plot untuk menyingkirkan Menteri Besar, Datuk Seri
Ahmad Faizal Azumu.
Naib Pengerusi DAP Perak itu, berkata
dakwaan bahawa beliau secara sendirian merancang usaha menyingkirkan
Ahmad Faizal juga adalah tidak munasabah kerana ia bukan sesuatu yang
mudah.
Katanya,
pelantikan Menteri Besar perlu diputuskan kepemimpinan Pakatan Harapan
(PH) Perak dan memerlukan perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin
Muizzuddin Shah, sekali gus bukan sesuatu yang boleh dibuat serta diubah
begitu sahaja.
“Tidak ada plot atau apa-apa usaha untuk
menjatuhkan Menteri Besar oleh saya. Jadi tak betul kata saya nak
jatuhkan Menteri Besar. Langsung tak masuk akal dan melawan sistem.
“Macam
mana saya nak jatuhkan dia (Menteri Besar) saya sudah sebut tidak ada
undi tak percaya, kalau UMNO nak cakap, itu soal dia. Saya ‘team player’
(kerja berpasukan) dan saya tak buat keputusan seperti ini,” katanya
kepada pemberita selepas melawat Bilik Media Sidang Dewan Undangan
Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Beliau
mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris yang mendakwa beliau sanggup
menukar `baju’ dari DAP kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
bagi memastikan dilantik sebagai Menteri Besar.
Abdul Aziz
berkata dakwaan akhbar berkenaan sangat keterlaluan dan cuba
menggambarkan beliau seorang yang gila kuasa, tidak sabar dan tikam
belakang.
Ditanya hubungan beliau dengan Ahmad Faizal,
Abdul Aziz berkata hubungan mereka berdua secara peribadi adalah baik
sebagai rakan, malah dari aspek dasar kerajaan juga setakat ini tidak
ada percanggahan.
Mengulas lanjut, katanya, DAP juga tidak
merancang sebarang usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar kerana
berpegang teguh atas semangat setia kawan dalam PH.
“Jika
ia (menjatuhkan Menteri Besar) dilakukan, segala-galanya akan jatuh. Ini
kerana Menteri Besar ditukar oleh kepemimpinan dan bukan melalui undi
tak percaya,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan