Pengumuman itu tidak wajar diterima sebagai dasar kerajaan.

Umum menyimpulkan semacam ada dua sistem peperiksaan masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam arus pendidikan tinggi negara. Satu yang dikendalikan oleh kamar atau Jabatan Peguam Negara dan satu lagi isu UEC di bawah bidang tugas dan bidang kuasa Kementerian Pendidikan. Menteri Pendidikan (Dr. Maszlee Malik) berkata, apa yang dilakukan Peguam Negara itu tiada kaitan dengan pihaknya, justeru tiada bidang kuasa mengawalnya.

Haruskah seseorang Menteri Pendidikan berkata sedemikian tanpa usul periksa kejadian ini? Sepatutnya bawalah ke mesyuarat Kabinet dulu, baharu Peguam Negara boleh buat pengumuman berkaitan kesesuaian UEC diiktiraf di bawah piawaian di sisi pengajian amali dan sijil undang-undang. Apakah pakatan yang dilakukan antara Nie Ching dengan Tommy? Hal-hal persijilan undang-undang adalah sebahagian daripada sijil pendidikan, takkan Menteri Pendidikan tidak dibawa berunding? Nie Ching menteri atau Maszlee?

Bagaimana boleh berlaku sebegini? Menteri Pendidikan kata, isu UEC masih berada di bawah penelitian majlis khas di kementeriannya, kenapa seorang timbalan menteri boleh dan gamak membuat pengumuman berterima kasih kepada Peguam Negara dalam mengiktiraf UEC di bawah persijilan amali undang-undang? Pakatan apa yang kedua-dua pihak ini lakukan sehingga rakyat kini keliru dan waham apa sebenarnya berlaku?

Bukan setakat itu sahaja. Bagaimana Peguam Negara boleh melakukan pengiktirafan itu secara unilateral sedangkan beliau tahu isu UEC adalah isu besar nasional yang berupaya merosakkan dasar pendidikan tinggi negara? Kenapa dan bagaimana pula seorang timbalan menteri seperti Nie Ching dibenarkan membuat pengumuman besar dan melahirkan kegembiraan serta penghargaannya terhadap Peguam Negara yang lantas membuat pengumuman? Sahkah pengumuman itu tanpa keputusan Kabinet? Suara rakyat bagaimana?

Dan yang peliknya, kenapa Menteri Pendidikan macam cuci tangan sahaja, seolah-olah isu EUC ini remeh dan tidak perlu diutamakan? Isu EUC ini kalau tidak dinilai dan diolah secara bersepadu, rakyat dan negara akan terus terbelah dan berpecah melalui dasar dan arus pendidikan nasional. Nadi kebangsaan kita akan terhenti. Nadi majmuk tanpa hala akan muncul menodai sistem pendidikan kita yang kini pun sudah semacam cacamarba dan tidak tentu hala.

Yang terpenting, keadilan dari segi justifikasi pengiktirafan UEC pada saat-saat genting ini harus ditimbangtara. Bagi mereka yang hendak memasuki institusi pengajian tinggi (IPT), ditetapkan lima perolehan subjek cemerlang. Mereka yang lulus UEC, di luar sistem, hanya perlu peroleh dua mata pelajaran cemerlang termasuk bahasa Melayu.

Bagaimana halnya dengan ratus ribuan anak-anak Malaysia kita yang sudah melengkapkan diri dengan perolehan lima kredit mata pelajaran selama ini? Tiba-tiba sekian puluh ribuan pemegang UEC dengan kredit bahasa Melayu dan satu lagi subjek lain tiba-tiba boleh memasuki IPT tanah air? Yang akan terjadi ialah anak-anak Malaysia yang mengikuti arus perdana sama tarafnya dengan mereka yang baru mula muncul dengan dua kredit? Adilkah?

Asas-asas pendidikan yang menzahirkan sijil UEC berbeza dan berlainan daripada pendidikan serta arus perdana yang dikendalikan oleh pendidikan nasional. Menyamaratakan dua sistem ini mesti dilakukan terlebih dahulu. Jika tidak, murid-murid dari arus perdana selepas ini akan mengalami kesukaran lantaran disaingi ‘pendatang baharu’ yang menggenggam UEC. Lama-lama sistem kebangsaan akan jadi ibarat tali gasing: tebal di pangkal, jirus di hujung. Lama kelamaan anak Malaysia akan lebih ramai berduyun-duyun masuk arus UEC. Arus perdana atau sistem pendidikan nasional akan jadi lemah-longlai tanpa tulang belakang.

Pendidikan arus perdana mesti dikukuhkan. Guru-guru hebat mesti dilengkapkan dengan insentif yang menggalakkan. Sistem luaran seperti UEC wajib melalui proses sulingan terlebih dahulu. Bukan hanya sebab UEC diiktiraf melalui pengajian undang-undang oleh Peguam Negara dengan Timbalan Menteri Pendidikan. Kalau Maszlee kata isu ini tiada kena-mengena dengan bidang tugas dan bidang kuasanya, kenapa Nie Ching melaungkan terima kasih kepada Tommy? Takkan pakatan sulit kedua-dua pihak ini tidak diketahui oleh menteri?

Kita seru dan mohon Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya bertindak tegas dan buat kajian terperinci dahulu tentang UEC. Perkasakan pendidikan kebangsaan dahulu dengan kecemerlangan dan budaya tinggi.

Pandangan saya ini bukan pandangan Parti Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) atau PH (Pakatan Harapan). Ini pandangan dan hemat saya sendiri. Dengan simpang perenangnya sistem persijilan begini, rakyat akan terus terbelah dan terbahagi. Bila rosak dasar dan sistem pendidikan akan rosaklah rakyat dan negara.

Peguam Negara sepatutnya lebih fokus kepada masalah undang-undang yang sedang berada di hadapannya, jangan jaga tepi kain orang walaupun beliau ada kuasa di bawah piawaian sijil amali undang-undang sivil (CLP). Timbalan Menteri Pendidikan pula, beliau ada ketua - hormatlah sikit.

Kementerian Pendidikan bukan stadium politik di mana bolanya boleh disepak ke gol sendiri. Masa buat sepak itu, penjaga gol tiada.

TAN SRI DR. RAIS YATIM ialah budayawan & Pengerusi Yayasan Budi
https://shopee.com.my/BUKU-REVOLUSI-TANPA-DARAH-Susunan-Ahmad-Lutfi-Othman-i.28622176.1914221113?fbclid=IwAR2Go7aKh3yY6PvFHinUbopfJtHe8GFq1xbxu9yajJlJUa0ZCOAGFU8DBDQ