Jangan buat tuntutan ‘provokatif, remeh’, kata KPN

KUMPULAN masyarakat sivil tidak boleh membuat tuntutan provokatif dan remeh, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador hari ini.

Katanya, NGO perlu berhati-hati dalam tindakan mereka untuk mengelak ketegangan kaum dan agama di negara ini.

Hamid mengulas tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang mahukan polis memberikan perlindungan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy.

Tuntutan itu dibuat selepas beberapa orang ditahan kerana merancang pembunuhan individu berprofil tinggi. Polis bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang nama sasaran.

“Mari kita semua ambil pendekatan sederhana dalam tindakan kita. Saya faham ada kumpulan yang mahu memperjuangkan isu mereka tanpa mengira kaum atau agama.

“Tetapi jangan provoke sebab kenyataan awak akan digunakan kumpulan pelampau untuk benda lain. Kita perlu lebih faham satu sama lain.

“Kita orang Malaysia bergaduh tentang perkara remeh,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga memberikan jaminan yang polis menjalankan tugas tanpa ketakutan atau pilih kasih.

“Perlindungan kaum dan agama dijamin perlembagaan. Saya gesa semua pihak untuk bertanggungjawab dalam tindakan mereka kerana kumpulan tidak bertanggungjawab akan guna isu ini dan jadikannya isu kaum atau agama,” tambahnya.

Semalam, penasihat Hindraf Karthig Shan menggesa Hamid mempertimbangkan perlindungan keselamatan tambahan kepada Waytha Moorthy.

Tambahnya, pengganas yang ditahan awal bulan ini berhasrat membunuh beberapa individu berprofil tinggi kerana didakwa menghina agama Islam dan gagal menjaga hak agama rasmi negara itu.

Menurutnya lagi, penyokong Hindraf sangat bimbang dengan perkembangan terbaru itu, terutama selepas pejabat Waytha Moorthy diserang pada 16 Ogos 2017.

Menteri perpaduan itu juga dipersalahkan dalam isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan rusuhan kuil Seafield yang menyebabkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim tahun lepas, kata Karthig lagi.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan