Najib sudah diberi peluang pimpin Umno, BN, tetapi gagal, kata Nazri

PETALING JAYA: Nazri Aziz terus membantah pelantikan Najib Razak sebagai penasihat Barisan Nasional (BN) dengan berkata, bekas perdana menteri itu sudah diberikan peluang 2 kali untuk mengetuai Umno dan BN, namun masih gagal.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, beliau tidak faham bagaimanakah pucuk pimpinan BN, khususnya Umno boleh melantik Najib sebagai penasihat sedangkan beliau kini didakwa di mahkamah atas kesalahan sewaktu pentadbirannya.

“Dia (Najib) sudah diberi peluang, bukannya jadi penasihat tetapi memimpin kita. Dua kali pilihan raya umum lalu bukannya bertambah baik, tetapi jadi semakin teruk.

“Dia kena sedar diri bahawa dia perlu berundur. Semasa dia jadi presiden pada 2013, BN sudah jatuh dan kini sudah kalah. Dia hendak lagi?
“Saya sebenarnya tidak faham. Dia sepatutnya fikir apa yang dia boleh bantu parti, bukannya fikir apa yang parti boleh bantu dia,” katanya dalam satu sidang media selepas berucap pada mesyuarat perwakilan Umno Padang Rengas, hari ini.

Pada 9 Julai, Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan pelantikan Najib sebagai penasihat BN bagi membantu parti itu memulihkan sokongan rakyat.

Menurutnya, keputusan berhubung pelantikan ahli Parlimen Pekan itu dibuat secara sebulat suara oleh pucuk pimpinan BN.

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata, Najib dilihat mampu menyumbang idea dan tenaga untuk menarik sokongan rakyat, memandangkan bekas presiden Umno itu kini tular dengan gelaran “bossku”.

Manakala itu, Presiden MCA Wee Ka Siong pula berkata, jawatan yang disandang Najib pada ketika ini tidak memberi kuasa kepadanya untuk mengemudi BN, sebaliknya keputusan akhir tetap akan diputuskan Majlis Tertinggi BN.

Nazri bagaimanapun berkata, Najib tidak sepatutnya menjadikan Umno dan BN sebagai perisai buat dirinya ketika berdepan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah.

Bahkan kata beliau, adalah lebih baik sekiranya Najib menyerahkan pentadbiran parti kepada pucuk pimpinan yang dipilih oleh ahli.

“Najib kena fikir, jika sayang kepada parti, jangan gunakan parti sebagai perisai. Dia kena jawab masalah dia. Sekarang ini dia bukan lagi difitnah, tetapi sudah didakwa di mahkamah. Ia bukan lagi isu yang dibawa di jalanan. Jadi serahkanlah parti kepada pimpinan yang dilantik.

“Rasanya kehadiranya itu menjejaskan parti dan ini sudah disahkan. Bossku bukan parti politik, itu slogan yang digunakan budak-budak dan tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk undi. Umno dan BN kena bangkit semula dengan kepimpinan baru,” katanya.

Dalam pada itu, Nazri berkata, beliau tidak nampak kewajaran dirinya dibawa ke lembaga displin parti hanya kerana mempertikaikan kepimpinan Najib.

“Saya tidak gentar, hendak buang saya, buanglah. Saya tidak pernah serang presiden, melainkan ada yang masih menganggap Najib sebagai presiden lagi. Kalau berani buanglah saya. Untuk saya tinggalkan Umno, ‘no way’ kerana saya sayangkan parti,” katanya.

 “Saya hendak presiden bertindak seperti presiden. Jangan dia (Najib) datangkan masalah baru. Kita tahu, sebenarnya jawatan yang dikehendaki bukannya penasihat BN, tetapi pengerusi BN. Itu betul dan ini sebenarnya tidak pernah dibincang dalam Majlis Tertinggi (Umno).”
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan