Selepas lebih setahun Pakatan Harapan menjadi kerajaan, dirasakan suasana politik negara amat berbeza berbanding zaman Barisan Nasional. Perbezaan ketara adalah dari segi riuh rendah kata-kata yang dilemparkan beserta reaksi yang membawa kepada perubahan dalam perkembangan politik secara mendadak dan tidak disangka-sangka.
Akibatnya, suasana yang timbul seolah-olah keadaan politik negara tidak stabil. Tetapi setakat ini kerajaan yang ada tetap sama dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad masih berkuasa dan berpengaruh. Tidak ada rombakan Kabinet. Tidak ada kerajaan negeri yang tumbang. Hanya seorang menteri besar yang diubah.
Walaupun terdapat pergolakan politik hebat dalam PKR, siap dengan sebaran video tidak senonoh, tetapi setakat rencana ini ditulis, parti itu masih tidak berpecah, tetap diketuai oleh Anwar Ibrahim dan beliau masih dijanjikan Mahathir sebagai penggantinya.
Selain itu, pelbagai isu besar dan kecil diketengahkan. Bukan saja isu janji penggantian jawatan perdana menteri tetapi juga keputusan pentadbiran kerajaan seperti pengajaran seni khat tulisan jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu dibicarakan semahu-mahunya tanpa sebarang halangan.
Apa yang mewujudkan suasana ini adalah kerana adanya media sosial khususnya Facebook, WhatsApp dan YouTube. Segala pertarungan retorik ini ditampilkan melalui hantaran dan komen yang pelbagai bentuk, daripada sesopan bahasa hinggalah kepada celaan kejam, menggunakan kata-kata caci-maki tanpa segan silu.
Ada ketikanya, apa yang dimuat naik merupakan acara kempen politik seperti ceramah, forum dan diskusi tetapi juga ia turut membawa kepada penganjuran aksi awam seperti demonstrasi.
Maka kegiatan ini menjadi suasana politik di negara ini dirasakan bukan saja hangat dan panas, malah seperti wujudnya ketidakstabilan. Malah ada orang awam berasakan pentadbiran kerajaan PH lebih buruk berbanding semasa BN dahulu. Ini kerana sebelum Mei 2018, suasana begini tidak dirasakan. Tidak mustahil ada yang merindukan zaman “tenang” dan “stabil” BN.
Memang benar semasa pentadbiran BN dahulu, media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp sudah wujud. Tetapi penggunaan media sosial untuk berpolitik tidaklah seluas seperti yang ada pada hari ini. Media sosial semakin berkembang dengan peserta kian bertambah.
Tetapi faktor lain yang juga penting adalah suasana yang dirasakan “lebih bebas” oleh rakyat negara ini. Perasaan ini menimbulkan “keberanian” untuk orang ramai memberi komen sesuka hatinya.
Maka dirasakan tidak ada sebarang sekatan dan halangan untuk “bersuara”. Kerajaan PH bukan saja dikritik oleh penyokong pembangkang. Tetapi penyokong PH sendiri tidak keberatan mengecam ahli politik yang menjadi idola mereka. Mahathir dan Anwar sendiri turut menerima kritikan dan kecaman tetap kedua-duanya kekal “cool.”
Apa yang sebenarnya berlaku adalah demokrasi sedang berfungsi. Khususnya dari segi kebebasan politik dalam ruang bicara politik. Maka adalah tidak keterlaluan untuk menyatakan kebebasan inilah antara ciri penting dalam Malaysia Baru. Melalui kebebasan inilah ada pihak pembangkang yang menggunakan suasana ini sepenuhnya bagi menampilkan kelemahan kerajaan dan PH itu sendiri. Hingga ada penyokong PH juga bimbang kebebasan yang ada merupakan suatu polisi “membunuh diri”.
Bayangkan, dengan kebebasan bersuara politik ini, pakatan BN-PAS dapat mengalahkan PH dalam pilihan raya umum akan datang. Tidakkah itu namanya “membunuh diri”? Bayangkan selepas menang pilihan raya itu pula nanti, segala kebebasan politik yang dikecapi rakyat semasa PH dihapuskan bagi membolehkan BN kembali berkuasa dan memerintah untuk 60 tahun lagi.
Apa yang menyebabkan banyak orang tidak selesa dengan “ketidakstabilan” ini adalah mereka sudah biasa dengan pentadbiran yang mengawal maklumat. Dari sebelum negara ini mencapai kemerdekaan hinggalah pada tahun lalu, suara politik dikawal. Walaupun pengenalan internet dan media sosial adalah pada masa pentadbiran BN, tetapi usaha untuk mengawal suara politik itu tetap ada. Daripada memperkenalkan undang-undang yang bertujuan mengawal suara politik hinggalah langkah tidak rasmi bagi mengawal hantaran dalam media sosial.
Dalam sejarah, Persekutuan Tanah Melayu sendiri lahir pada 1948 ketika negara berada dalam suasana darurat yang menuntut kawalan maklumat atas nama keselamatan. Malah ketika Malaya mencapai kemerdekaan pada 1957, keadaan darurat masih berlaku. Walaupun semasa penubuhan Malaysia pada 1963, darurat sudah diisytiharkan berakhir, tetapi Konfrontasi dan ketegangan antara Kuala Lumpur dan Singapura tetap menuntut kawalan maklumat. Lebih-lebih lagi apabila tercetusnya Peristiwa 13 Mei, kawalan maklumat dirasakan perlu demi keselamatan awam.
Semasa Mahathir mula menjadi perdana menteri pada 1981, timbul harapan supaya terdapat kebebasan akhbar dalam erti kata seperti dalam demokrasi yang diamalkan Barat. Tetapi itu tidak berlaku kerana pergolakan politik dalaman Umno turut membawa kepada amalan kawalan pada maklumat. Begitu juga ketika Perang Dingin berakhir yang sepatutnya membolehkan negara ini melepaskan kawalan pada maklumat. Ini kerana ancaman komunis sudah tidak relevan.
Namun sekali lagi pergolakan politik Umno, pada mulanya membabitkan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1990 dan Anwar pada 1999 menuntut supaya maklumat dikawal bagi mempertahankan kedudukan politik golongan berkuasa, dalam hal ini diketuai oleh Mahathir sendiri.
Ketika pertembungan itu, Tengku Razaleigh melalui Parti Semangat 46 bersama Angkatan Perpaduan Ummah serta Gagaan Rakyat dan Anwar melalui Parti Keadilan Nasional bersama Barisan Alternatif menjanjikan kebebasan akhbar dan bersuara.
Tetapi teknologi media massa yang berasaskan pada bahan cetak dan siaran elektronik memudahkan pihak kerajaan mengawal maklumat, sementara pembangkang sukar menyebarkan pandangan mereka. Tetapi keadaan sekarang sudah berbeza.
Adalah dipercayai suasana demokratik dari segi kebebasan bersuara dalam hal politik yang ada sejak PH memerintah ini adalah atas 4 sebab. Pertama, perubahan teknologi maklumat. Kedua, sikap Mahathir sendiri yang berbeza daripada semasa beliau menjadi perdana menteri ke-4 dahulu. Ketiga, prinsip asas ahli-ahli politik parti asal PH iaitu PKR, DAP dan Amanah dalam soal demokrasi dan kebebasan bersuara. Ini kerana ketika mereka aktif menentang Mahathir dan penggantinya pada waktu berbeza dari 1982, soal kebebasan media dan bersuara sentiasa menjadi prinsip perjuangan mereka dalam konteks demokrasi berkesan. Keempat, sikap rakyat terutama golongan muda yang tidak berasa takut untuk menyuarakan pendapat mereka berbeza dengan keadaan dahulu.
Maka semua rakyat wajar membiasakan diri dengan suasana “kecoh” atau “tidak stabil” ini. Ia merupakan sebahagian daripada iklim demokrasi yang diharap dapat dikekalkan tanpa mengira siapa yang menjadi kerajaan kelak. Merindu zaman lalu di mana “suara rakyat’ dikawal hanyalah suatu nostalgia yang wajar tersimpan dalam memori kolektif sejarah negara.
0 comments:
Catat Ulasan